Saturday, July 26, 2025

Nota Live : Tanda2 Engkau Mencintai Allah

 

NOTA LIVE : TANDA-TANDA SESEORANG ITU MENCINTAI ALLAH   

 

Pertama : Orang yang cinta akan Allah tentunya cinta untuk bertemu dengan Allah di akhirat kelak, yakni setelah masuk ke jannah nanti. “Memandang” Allah di akhirat nanti merupakan kenikmatan dan kelazatan yang tertinggi, mengalahkan nikmat-nikmat Jannah itu sendiri.

 

Sabda Nabi SAW : “Sesiapa yang mencintai untuk bertemu dengan Allah, nescaya Allah juga cinta untuk bertemu dengannya.” (Bukhari, Muslim)

 

Kedua : Membanyakkan sujud (banyak melakukan solat-solat sunat).

 

Sebahagian salaf berkata : “Tidak ada suatu perkara pun yang lebih dicintai oleh Allah pada hamba sesudah cinta untuk bertemu dengan Allah,selain daripada banyak sujud. Maka dahulukanlah kecintaan untuk bertemu Allah dengan sujud.”

 

Ketiga : Sanggup berperang (berjuang) pada jalan Allah dengan perancangan yang bagus.

 

Firman Allah : “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang pada jalan Allah dalam barisan perang yang teratur.” (As-Saf : 4)

 

Keempat : Tidak membenci mati.

 

Sufyan ath-Thauri dan Bisyr al-Hafi mengatakan : “Tidak benci kepada mati kecuali orang yang ragu.”

 

Benci mati berlaku kerana kuatnya cinta kepada dunia. Ahli-ahli sufi meminta dipanjangkan umur bukan kerana mereka membenci mati, tetapi kerana mahu mempertingkatkan maqam masing-masing sebagai persediaan terbaik sebelum bertemu dengan Allah.

 

Kelima : Mengutamakan apa yang disukai oleh Allah berbanding apa yang disukai oleh diri sendiri.

 

Maksudnya, hatinya memang suka untuk mentaati perintah-perintah Allah dan suka untuk menjauhi segala larangan Allah. Orang yang bercinta sudah tentu akan mendahulukan kemahuan kekasihnya berbanding kemahuan dirinya sendiri.

 

Keenam : Mencintai zikrullah.

 

Ketujuh : Mencintai Al-Quran.

 

Kata Sahl : “Tanda mencintai Allah ialah mencintai Al-Quran. Tanda mencintai Al-Quran ialah mencintai Nabi saw. Tanda mencintai Nabi ialah mencintai sunnah.”

 

Kelapan : Mencintai Nabi SAW.

 

Kesembilan : Suka berkhilwah dan bermunajah.

 

Maksudnya suka memperuntukkan masa tertentu untuk bersendirian lalu bermesra-mesraan dengan Kekasihnya yakni Allah SWT, lebih-lebih lagi pada malam hari.

 

Firman Allah Taala : “Orang-orang yang beriman itu, hati mereka tenteram dengan mengingati Allah. Ketahuilah, dengan mengingati Allah, tenteramlah hati.” (Ar-Ra’d : 28)

 

Kesepuluh : Tertanam dalam jiwanya bahawa terlepas selain Allah tidak mengapa lagi, asalkan jangan terlepas akan Allah. Orang jenis ini akan berasa sedih atas keluputan setiap saat yang kosong daripada zikir dan taat kepada Allah. Jika boleh, dia hendak sentiasa dalam keadaan ingat akan Allah dan sentiasa dalam keadaan taat.

 

Kesebelas : Berasa sedap dan lazat untuk taat kepada perintah-perintah Allah.

 

Orang yang merindu itu tidak berasa berat berjalan (berusaha) untuk memenuhi keinginan orang yang dirinduinya. Dia berasa enak melayaninya dengan hatinya sekalipun kesukaran melanda tubuh badannya. Adakah kita sebegitu dengan Allah?

 

Kedua belas : Mengasihi segala makhluk Allah tetapi bertegas terhadap musuh-musuh Allah dan orang-orang yang melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh Allah.

 

Firman Allah SWT : “Bersikap tegas terhadap orang-orang yang tidak beriman, (dan) bersikap kasih sayang antara sesama mereka.” (Al-Fath : 29)

 

Orang jenis ini tidak terkesan dengan celaan orang-orang yang suka mencela.

 

Ketiga belas : Ada perasaan takut (risau, bimbang, khuatir), iaitu takut terlepas Allah, takut terjauh daripada Allah, takut cinta menjadi lemah, takut terubah hati dan sebagainya. Apabila ada takut, maka adalah juga harap akan hal-hal itu.

 

Inilah antara tanda-tanda cinta akan Allah.

 

Kata Imam Al-Ghazali : “Sesiapa yang sempurna pada dirinya tanda2 ini, maka sempurnalah kecintaannya dan ikhlaslah cintanya. Maka bersihlah di akhirat minumannya (air Tasnim) dan lazatlah minumannya. Sesiapa yang bercampur kecintaannya itu dengan kecintaan kepada selain Allah, nescaya ia bernikmat-nikmatan di akhirat menurut tahap kecintaannya itu, kerana bercampur minumannya dengan kadar minuman orang-orang muqarrabin.”

 

Firman-Nya : “Mereka (orang-orang abrar) diberi minuman yang dimeterai. Meteranya ialah kasturi. Dan untuk itu hendaklah berlumba-lumba orang-orang yang mahu berlumba. Dan campurannya daripada Tasnim (sebuah mata air di jannah) - satu mata air minuman orang-orang muqarrabin (golongan yang lebih tinggi darjat mereka di dalam jannah).” (Al-Mutaffiffin : 25-28)

 

Kata Imam al-Ghazali : “Baiknya (hebatnya) minuman orang-orang abrar itu adalah kerana ada bercampur dengan air minuman para muqarrabin (air tasnim).”

 

…live streaming channel TG Ilmu2 Imam Al-Ghazali, 21.7.25

No comments: