Sunday, July 20, 2025

Nota Live : Adab2 Zahir Membaca Al-Quran

 

ANTARA YANG DISENTUH DALAM LIVE STREAMING 2b (19/7/25)

 

ADAB-ADAB ZAHIR KETIKA MEMBACA AL-QURAN

 

Eloklah membaca Al-Quran dalam keadaan berwudhu’, dalam keadaan tenang sama ada berdiri atau duduk, menghadap qiblat, menundukkan kepala, tidak duduk dengan sombong, duduk sebagaimana kita duduk berhadapan dengan guru. Yang paling utama, Al-Quran dibaca di dalam solat, dalam keadaan berdiri, dan di dalam masjid pula.

 

Bagi ahli-ahli bacaan Al-Quran, terdapat pelbagai kebiasaan. Ada yang mengkhatamkan Al-Quran sekali dalam sehari, ada yang dua kali dan ada yang tiga kali. Ada yang khatamkan sebulan sekali.

 

Nabi SAW menyuruh Abdullah bin ‘Amr r.a supaya mengkhatamkan Al-Quran pada setiap tujuh hari (bersesuaian dengan keadaan Abdullah ketika itu).” (sebagaimana hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Sebahagian sahabat mengkhatamkan Al-Quran pada setiap hari Jumaat seperti Saiyidina Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan Ubai bin Ka’ab.

 

Ada empat tingkatan khatam :

a        Khatam pada setiap hari. Sebahagian ulama menghukumkan makruh kerana terlalu banyak dan cepat.

b        Khatam seminggu sekali.

c         Khatam dua minggu sekali.

d        Khatam sebulan sekali. Yang ini dikira sudah sangat sedikit.

 

Bagi orang yang kuat beramal ibadah (orang ‘abid), sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu.

 

Bagi orang yang menempuh amalan hati dan pelbagai macam pemikiran atau daripada orang-orang yang menghabiskan waktunya dengan mengembangkan ilmu pengetahuan (pengajar agama), maka tidak mengapa jika diringankan menjadi seminggu sekali.

 

Bagi orang yang tembus pemikirannya tentang segala maksud Al-Quran, maka kadang-kadang mencukupilah baginya sebulan sekali kerana banyak keperluannya untuk membanyakkan mengulang-ulang dan meneliti.

 

Disunatkan mencantikkan tulisan (dan cetakan) ayat-ayat Al-Quran. Boleh ditandakan dan diwarnakan untuk memudahkan orang membacanya.

 

Baca dengan tartil – jelas bunyi setiap hurufnya. Jangan baca terlalu cepat sehingga terganggu bunyi butiran huruf-hurufnya.

 

Disunatkan menangis ketika membacanya.

 

Sabda Rasulullah SAW : “Bacalah Al-Quran dan menangislah. Jika engkau tidak menangis, maka buatlah menangis.” (Ibnu Majah, dengan sanad yang baik)

 

Sabda baginda SAW: “Tidaklah daripada golongan kami orang yang (sengaja) tidak berlagu dengan Al-Quran.” (Bukhari, Muslim)

 

Cara untuk menangis adalah dengan memerhatikan maksud isi cerita Al-Quran itu (yang tidak mahir bahasa Arab eloklah melihat terjemahan)

 

Apabila tiba pada ayat Sajadah, digalakkan bersujud. Terdapat 14 ayat Sajadah dalam Al-Quran. Disyaratkan pada sujud ini akan segala syarat solat iaitu menutup aurat, menghadap qiblat, suci pakaian dan badan daripada hadas dan najis.

 

Kesempurnaan sujud itu adalah dengan bertakbiratul ihram, bertakbir untuk turun, lalu sujud, takbir bangun dari sujud, dan beri salam.

 

Eloklah dimulakan bacaan dengan berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, dan akhiri dengan “Sadaqallahul ‘azim”.

 

Live streaming channel TG Ilmu2 Imam Al-Ghazali, 19.7.25  

No comments: