Sunday, July 20, 2025

Di Sebalik Live Streaming Ilmu2 Imam Al-Ghazali

 

Kitab Anugerah Berwangian Cinta Untuk Tetamu Taman Cahaya (Petikan, Ringkasan & Rumusan kepada kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin) ini sekurang2nya sudah 3 kali saya syarahkan seluruhnya secara talaqqi berhadapan hingga khatam (dengan syarahan tahap sederhana bercampur sedikit2 syarahan tahap lanjutan) kepada ahli keluarga saya. Tetapi kepada orang2 lain, belum ada peluang untuk saya syarahkan seluruh kitab hingga khatam, sama ada secara talaqqi ataupun secara jarak jauh.

 

Oleh yang demikian, kita mengambil peluang melalui live streaming di channel TG Ilmu2 Imam Al-Ghazali untuk mensyarahkan keseluruhan kitab ABC ini dengan syarahan/ penjelasan TAHAP ASAS (sekadar baca dan buat penjelasan ringkas sedikit).  Harapan kita agar akan ada lebih ramai orang2 yang pernah menerima syarahan keseluruhan kitab ini hingga khatam terus daripada saya walaupun sekadar kupasan asas dan secara jarak jauh. Jika suatu hari nanti tuan2 mensyarahkan atau menyampaikan isi kandungan kitab ini, tuan2 akan berasa lebih yakin, teguh lagi tenteram kerana sudah pernah mengikuti keseluruhan syarahan kitab ini hingga khatam.

 

Sebagai makluman, kitab2 Imam al-Ghazali yang saya ajarkan semuanya sudah saya lalui syarahannya secara keseluruhannya hingga khatam (dan umumnya dengan syarahan tahap lanjutan) daripada mursyid saya iaitu Tuan Guru Muhammad Soleh al-Ghazali. Contohnya kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin, Misykatul Anwar, Risalah al-Ladunniyah dll. Cuma bagi kitab Kimiya’ us-Sa’adah yang umumnya terdiri daripad 44 buah kitab di dalamnya, tuan guru hanya mensyarah dan mentarbiahkan 4 kitab terawal kepada saya. Maka 4 yang terawal itu sahajalah yang sahaya syarahkan. Bahagian2 lain seboleh2nya saya akan cuba elak daripada menyentuhnya, melainkan jika ada hal2 bertaraf perlu.

 

Sebab itu jugalah saya tidak mensyarahkan kitab2 Imam al-Ghazali walaupun diminta oleh masyarakat seperti Bidayatul Hidayah, Minhaj al-‘Abidin, Nasihah al-Muluk dll sekalipun isi kandungannya lebih mudah dan insya-Allah memang mampu saya syarahkan. Seboleh2nya saya akan cuba mengelak daripada mensyarahkan kitab2 Imam al-Ghazali yang saya tidak pernah mengikuti syarahannya secara keseluruhannya daripada Tuan Guru Muhammad Soleh al-Ghazali, melainkan jika ada hal2 mendatang yang bertaraf perlu, ada darurah2 tertentu, atau terpaksa untuk berbuat demikian.

 

Kitab2 yang sudah disyarahkan seluruhnya hingga khatam (dengan syarahan tahap sederhana dan tahap lanjutan) kepada ahli keluarga saya adalah seperti kitab Misykatul Anwar, Al-Munqiz min adh-Dhalal, Risalah Ladunniyah dan 4 kitab terawal dalam kitab Kimiya’ us-Sa’adah. Mereka ada ilmu2 berkenaan dan sudah mula mesyarahkannya kepada sebahagian ikhwah Al-Ghazaliyah. Majlis untuk ahli keluarga mudah dibuat kerana tinggal sekali dan memang bertemu pada setiap hari. Tetapi untuk orang2 lain tidak dapatlah hendak dibuat sedemikian kerana kita tidak tinggal setempat, tidak dapat bertemu pada setiap hari, dan majoritinya memang tinggal berjauhan daripada saya.

 

Dengan Tuan Guru Muhammad Soleh dahulu, secara puratanya bolehlah dikatakan yang saya bertemu dengan beliau lebih kurang 300 HARI (bukan 300 kali, kerana kadang2 dalam sehari ada dua kali PERTEMUAN DALAM HAL EHWAL TARBIAH) dalam setahun kerana kami tinggal berdekatan dan hampir setiap hari bertemu dan duduk dalam majlis tarbiahnya. Untuk murid2 hari ini, tentulah tidak dapat kita berbuat demikian kerana kita tinggal berjauhan dan jarang2 dapat duduk bersama2 dalam majlis tarbiah secara talaqqi (berhadapan). Paling kuat pun ada yang sebulan dua kali. Itu pun jarang2 dapat kita buat. Ada yang sebulan sekali, ada yang 2-3 bulan sekali, ada yang setahun sekali, dan ada yang bertahun2 sekali baru dapat bertemu dalam tarbiah (PERTEMUAN BIASA tidaklah termasuk). Hanya ahli keluarga saya sahaja yang dapat bertemu pada setiap hari. Itu pun majlis tarbiahnya bukanlah dapat diadakan pada setiap hari. Secara puratanya mungkinlah seminggu dua kali sahaja (setahun lebih kurang 100 kali pertemuan majlis tarbiah sahaja).

 

Dalam menyampaikan isi kandungan kitab2 Imam al-Ghazali, memang saya mensyaratkan diri sendiri dengan syarat2 yang ketat. Tapi syarat ini adalah untuk diri saya SAHAJA, bukan untuk orang2 lain. Maka saya akan berusaha sedapat mungkin agar hanya mensyarahkan kitab2 Imam al-Ghazali :

1.      Yang umumnya sudah disyarahkan SELURUHNYA oleh mursyid kepada saya hingga khatam.

2.      Yang umumnya syarahannya adalah pada TAHAP LANJUTAN (bukan tahap asas atau sederhana).

3.      Yang ADA SANAD kitab itu dan ilmunya itu daripada guru sampailah kepada Imam al-Ghazali.

4.      Yang sanad zahirnya muttasil, TIDAK TERPUTUS walau satu tempat (sanad ghaib tidaklah kita jadikan hujah kerana macam2 dakwaan, tipuan dan rekaan selalu sahaja dibuat orang atau jin).

5.      Yang keluar daripada mulut mursyid sendiri bahawa saya LAYAK mensyarahkan sesuatu kitab itu (dan ada kitab2 yang memang beliau AMANAHKAN saya untuk menyampaikannya).

 

Berbalik kepada majlis bacaan bersama2 sedikiiiiit penjelasan akan kitab ABC (petikan, ringkasan dan rumusan kitab Ihya’) ini, buat masa ini nampaknya setakat itu sahajalah yang termampu kita adakan. Kita perlukan sekurang2nya 40 kali live streaming untuk menghabiskan 40 bab di dalamnya (bersesuaian dengan 40 kitab yang terdapat dalam kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin). Insya-Allah malam ini (20/7/25) siri yang ketiga (malam ketiga berturut2). Cuma kita tidak dapatlah buat pada setiap malam melainkan pada malam2 yang saya ada sedikit kelapangan. Wallahu’alam. 200725

No comments: