Monday, October 20, 2025

Mengimani Zat Allah

 

ZAT ALLAH (nota drpd live streaming 28.9.25)

Kita mestilah yakin sepenuh hati (100%) bahawa :

 

a)         Allah memang ada (wujud).

 

b)         Zat Allah qadim. Dia sudah sedia wujud sejak azali (MENGIMANI sebelum Dia menjadikan makhluk), sudah sedia ada sebelum terciptanya ruang dan masa. Dia tidak diadakan. Dia tidak ada permulaan, dan Dia tidak dilahirkan.

 

c)         Zat Allah baqa’. Dia kekal, sebagaimana dahulu, sebegitulah sekarang, dan seperti itu jugalah sampai bila-bila pun. ZatNya langsung tidak mengalami sebarang perubahan kerana ZatNya sempurna sejak azali, sekarang dan sampai bila-bila pun. ZatNya tidak bertambah dan tidak juga berkurang kerana ZatNya sudah sedia sempurna.

 

d)         Zat Allah bukanlah jauhar (benda). Hal ini kerana semua jauhar sifatnya bertempat (ada tempatnya) sedangkan Zat Allah tidak terpengaruh dengan tempat. ZatNya sudah sedia ada sebelum Dia menjadikan tempat dan ruang. Maka mustahil ZatNya dipengaruhi pula oleh tempat dan ruang, kerana ZatNya tidak pernah berubah sejak azali. Semua makhluk berada dalam satu keadaan, iaitu sama ada sedang berdiam atau sedang bergerak. Sebaliknya Zat Allah langsung tidak dipengaruhi oleh diam atau gerak. Alangkah ajaibnya!

 

e)         Zat Allah Taala tidak berjisim (tidak bertubuh/berjasad). ZatNya sudah sedia ada lagi Maha Sempurna sebelum Dia menciptakan jisim. Selepas Dia menjadikan jisim (tubuh/jasad), ZatNya masih seperti itu juga yakni sedikit pun tidak dipengaruhi oleh jisim, sampai bila-bila pun.

 

f)          Zat Allah bukanlah ‘aradh (sifat/keadaan). ZatNya sudah sedia ada lagi Maha Sempurna pada azali, yakni sebelum Dia menjadikan sifat-sifat (keadaan) makhluk. Zat Allah langsung tidak sama dengan suatu apa pun, dan tidak ada suatu apa pun yang sama dengan ZatNya.

 

g)         Zat Allah tidak dipengaruhi oleh arah dan posisi, contohnya seperti ZatNya berada di tengah, di tepi, di atas, di bawah, di kiri, di kanan, di hadapan, di belakang dan sebagainya. Hal ini kerana ZatNya sudah sedia sempurna sejak azali, iaitu sebelum arah dan posisi dijadikan-Nya. Oleh kerana ZatNya bersifat baqa’ (kekal), maka mustahillah tiba-tiba ZatNya berubah lalu dipengaruhi oleh arah dan posisi pula.

 

h)         Allah beristiwa’ atas ‘Arasy-Nya dengan erti yang dikehendaki oleh-Nya, yang tidak berlawanan dengan sifat keagunganNya, dan tanpa terkena kepada-Nya tanda-tanda baharu atau tanda-tanda makhluk.

 

Ahli kebenaran (ahlul haqq) memerlukan kepada penta’wilan sebagaimana ahli kebatinan (ahlul batin) memerlukan kepada penta’wilan firman Allah dalam Surah Al-Hadid ayat 4 : “Dia (Allah) bersama-sama dengan kamu di mana sahaja kamu berada.”

 

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW : “Hati orang beriman itu di antara dua anak jari daripada anak-anak jari Tuhan Yang Maha Pengasih.”

 

Dan sabda Nabi SAW : “Hajarul Aswad (batu hitam) itu adalah tangan kanan Allah di bumi-Nya.”

 

Begitu jugalah dengan istiwa’. Jika dibiarkan ertinya sebagai menetap dan bertempat, maka tentulah yang bertempat itu jisim yang bersentuh dengan ‘Arasy yang adakalanya seperti ‘Arasy, atau lebih besar, atau lebih kecil. Itu adalah mustahil.

 

i)          Zat Allah langsung tidak terpengaruh oleh bentuk, batasan, had, sempadan, tepi, dan penjuru. Zat Allah tidak ada tepi.

 

j)          Allah Taala itu Maha Esa. Dialah satu-satunya, tiada yang selain Dia.

No comments: