Wednesday, October 8, 2025

Antara Uzlah dan Mukhalatoh

 

ANTARA ‘UZLAH DAN MUKHALATOH

 

Ber’uzlah ertinya mengasingkan diri daripada orang ramai. Bermukhalatoh pula ertinya bergaul dengan orang ramai. Manakah yang lebih baik antara kedua-duanya? (kedua2nya pun bagus dan diseimbangkan mengikut keadaan)

 

Antara tokoh2 yang lebih memilih ‘uzlah ialah Sufyan Ath-Thauri, Ibrahim bin Adham, Daud at-Tai, Fudhail bin Iyadh, Sulaiman al-Khawwas, Yusuf bin Asbath, Huzaifah al-Mar’asyi dan Bisyr Al-Hafi.

 

Kebanyakan tabi’in pula mengatakan sunat bergaul (bermukahalatoh), membanyakkan kenalan dan teman, berjinak-jinak hati (bermesra) dan berkasih-kasihan dengan orang mu’min, meminta pertolongan kepada mereka dalam hal ehwal agama, dan bertolong-tolongan atas kebajikan dan takwa.

 

Bagaimana dengan para sahabat? Umumnya para sahabat lebih memilih bercampur gaul dengan manusia berbanding uzlah, walaupun mereka tidak meninggalkan terus uzlah, termasuklah ahli2 suffah di Masjid Nabi.

 

Antara tokoh2 yang lebih memilih bergaul berbanding ‘uzlah ialah Sa’id al-Musayyab, Asy-Sya’bi, Ibnu Abi Laila, Hisyam bin ‘Urwah, Ibnu Syibrimah, Syuraih, Suraik bin Abdillah, Ibnu ‘Uyainah, Ibnu Mubarak, Asy-Syafi’i, Ahmad bin Hanbal dan ramai lagi.

 

Mestilah kita ingat bahawa R4S - Rasulullah saw, 4 orang sahabat utama dan sahabat-sahabat besar semuanya banyak bermukhalatoh dengan orang ramai.

 

Ringkasnya, ber’uzlah dan bermukhalatoh itu masing-masing ada kelebihannya. Jadi, kita hendaklah bijak membahagikan masa kita untuk ber’uzlah dan bermukhalatoh. Ikutilah panduan orang-orang yang berilmu tentangnya.

 

(petikan live streaming 3/10/25 di Channel Tgrm ILMU2 IMAM AL-GHAZALI)

No comments: