Wednesday, October 8, 2025

Bagaimana Dosa Kecil Menjadi Dosa Besar

 

BAGAIMANA DOSA KECIL MENJADI DOSA BESAR?

 

Dosa-dosa kecil tidak boleh dipandang ringan. Dosa-dosa kecil akan menjadi dosa besar atas beberapa faktor :

 

Pertama : Kerana seseorang itu berkekalan melakukan sesuatu dosa kecil itu, atau selalu melakukannya. Contohnya titisan air yang berterusan jatuh ke atas batu, nescaya lama kelamaan akan berlekuk atau terbelah juga batu itu. Sikit sikit lama-lama jadi bukit juga besarnya.

 

Kedua : Kerana seseorang itu memandang dosa kecil itu sebagai hal yang remeh-temeh sahaja. Dosa-dosa besar biasanya tidak terus berlaku melainkan setelah didahului oleh dosa-dosa kecil. Oleh itu, berhati-hatilah.

 

Ketiga : Kerana seseorang pendosa itu berasa gembira, berasa senang, atau berasa bangga dengan melakukan dosa kecil tersebut. Jadilah ia dosa besar.

 

Keempat : Kerana seseorang itu berasa bahawa Allah tidak akan membalas perbuatan dosanya itu dengan segera. Hal ini kerana selama hari ini pun tidak berlaku apa-apa musibah yang menimpa dirinya. Dia beranggapan dirinya belum akan terkena bala Allah. Jika hendak kena pun, lambat lagi kononnya. Maka, jadilah ia dosa besar. Contohnya dia bercadang untuk berhenti atau bertaubat setelah tua atau setelah banyak usia.

 

Kelima : Kerana seseorang itu suka dosa kecil yang dilakukannya itu tersiar kepada orang lain.  Contohnya, dia melakukan dosa itu di hadapan khalayak ramai agar dilihat oleh orang.

 

Contohnya, selepas dia melakukan dosa kecil itu secara tersembunyi tanpa diketahui oleh orang lain, kemudian dia bercerita tentang perlakuannya itu kepada orang lain. Jadilah ia dosa besar.

 

Keenam : Kerana yang melakukan dosa itu ialah orang yang dikenali ramai seperti ulama, tokoh, pimpinan, keturunan mulia dan seumpamanya. Mereka ini semuanya menjadi ikutan orang ramai. Maka, jadilah ia dosa besar.

 

Kesimpulannya, jangan pandang kecil terhadap dosa kecil kerana ia boleh berubah menjadi dosa besar tanpa disedari.

 

Bahkan hal2 yang makruh pun seboleh2nya jangan dibuat secara berterusan (berkekalan), jangan pandang kecil (remeh), jangan dibuat dengan rasa suka  selesa – bangga, dan jangan ditunjuk (dipamer) kepada orang lain.

 

(petikan live streaming 5/10/25 di Channel Tgrm ILMU2 IMAM AL-GHAZALI)

No comments: