Monday, October 20, 2025

Mengimani Sifat Allah

 

MENGIMANI SIFAT-SIFAT ALLAH (nota drpd live streaming 28.9.25)

 

a)         Kita mestilah yakin sepenuhnya bahawa Allah Maha Berkuasa, Dia bersifat Pekuasa.

 

b)         Kita mestilah yakin sepenuhnya bahawa Allah Maha Tahu, Dia bersifat Petahu.

 

c)         Kita mestilah yakin sepenuhnya bahawa Allah Hidup. Mustahil Dia tidak hidup atau pernah tidak hidup walau sedetik. Dia hidup selama-lamanya.

 

d)         Kita mestilah yakin sepenuhnya bahawa Allah ada kehendak (bersifat iradah). Apa sahaja yang berlaku dahulu, sekarang dan akan datang semuanya atas kehendak dan ketentuan Dia.

 

e)         Kita mestilah yakin sepenuhnya yang Allah Maha Melihat, Dia bersifat Pelihat dan Maha Mendengar, Dia bersifat Pedengar.

 

f)          Kita mestilah yakin sepenuhnya yang Allah berkata-kata (berkalam) tetapi kata-kataNya tidak sama langsung dengan kata-kata selain Dia. Kata-kataNya tidak bersuara (tidak berbunyi) dan tidak berhuruf.

 

g)         Kita mestilah yakin sepenuhnya bahawa segala kalam (kata-kata) dan sifat-sifat Allah itu adalah qadim.

 

h)         Kita mestilah yakin sepenuhnya bahawa ilmu atau pengetahuan Allah itu juga qadim. Maksudnya Allah sudah sedia tahu segala-galanya yang akan berlaku sejak azali. Dia mengetahui tanpa perlu kepada berfikir. Semua yang berfikir adalah lemah, adalah makhluk.

 

i)          Kita mestilah yakin sepenuhnya bahawa iradah Allah (kehendak Allah) itu qadim. Semua kehendakNya sudah ada dan sudah sedia terancang dalam ilmuNya sejak azali. Selepas azali, Dia hanya melaksanakan segala kehendakNya itu.

 

j)          Allah mengetahui dengan ilmun, hidup dengan hayah, berkuasa dengan qudrah, berkehendak dengan iradah, berkata-kata dengan kalam, mendengar dengan sama’ dan melihat dengan basar. Semua sifat ini adalah qadim. Semua sifat ini sudah sedia ada sebelum ada mana-mana makhluk lagi.

No comments: