Monday, October 20, 2025

Antara Persediaan Memimpin Tariqah

 

Dalam ketenteraan zaman dahulu umumnya ada pasukan pejalan kaki, pasukan pemanah, pasukan berkuda, pasukan bergajah, pasukan meriam/ manjanik, pasukan kerahsiaan, pasukan pegawai dan lain-lain.

 

Menjadi salah seorang daripada askar pasukan berkuda itu agak mudah kerana kurang tanggungjawab2nya dan kurang bebanan fikirannya sehari2. Dia hanya perlu memikirkan urusan dirinya sahaja – uruskan diri, peralatan (tombak, baju pesi, perisai, pisau), kenderaan, amal2, latihan, kesihatan, mental, ikut arahan, dan sebagainya. Di medan perang pula, dia hanya perlu mengikut arahan berkaitan waktu bersiaga, waktu menyerang, waktu berundur dll. Maka hatinya umumnya masih agak lapang.

 

Tetapi bagi seorang pemimpin pasukan berkuda, dia bukan boleh fikirkan urusan dirinya sahaja. Dia kena fikirkan pengurusan diri ahli pasukannya yang ratusan atau ribuan orang, persiapan mereka sebanyak dan seberapa lama, peralatan mereka, kenderaan, amal2, latihan2, kesihatan, mental, masa bersedia, masa menyerang, masa menanti, masa berundur, masa mengubah ke plan B atau plan C, kerahsiaan, dsb. Banyak perkara sentiasa berjalan dalam fikirannya sehari2. Maha hatinya umumnya sentiasa penuh.

 

Begitulah tamsilan peringkat pendahuluan ke arah memahami tanggungan fikiran seorang pengamal tariqah berbanding seorang pemimpin tariqah. (Peringkat selanjutnya akan diusahakan dalam penulisan yang lain).

 

Sebagai seorang yang sekadar menjadi pengamal tariqah, umumnya minda kita masih banyak ruang lapang untuk diisi dengan hal2 lain. Kita hanya perlu belajar, mengamal (melayan amal2), mengikut panduan2, sertai program2, bertafakur dan berusaha untuk memajukan diri sendiri.

 

Namun apabila kita menjadi pimpinan tariqah, maka tanggungan kita bertambah dengan banyaknya. Selain memikirkan dan berusaha untuk diri sendiri, kita juga kena fikirkan tentang amal murid2, pencapaian mereka, tarbiyah untuk mereka, program2 untuk mereka (mencari ruang, masa, tempat, kesesuaian), kelurusan pandangan dan pegangan mereka, kelangsungan tariqah, keaslian dan kelurusan tariqah, isu2 mendatang, ilmu pengurusan tariqah, dsb.

 

Kadang kala, kita merindui zaman hidup sebagai seorang pengamal tariqah sahaja suatu waktu dahulu. Ketika itu kita tidak perlu banyak berfikir dan merancang, bebas ke sana ke mari, ada banyak masa untuk belajar ilmu2 lain, hanya uruskan diri sendiri dan orang2 terhampir, yag membuatkan hati kita sebenarnya banyak ringan dan lebih lapang. Tak perlu fikir tentang orang lain dalam hal ehwal tariqah ini.

 

Sebab itulah tidak banyak orang yang berpotensi dan mampu menjadi pimpinan. Sebahagiannya akan lebih cemerlang atau maju sebagai pengamal sahaja. Jika mereka ditempatkan atau cuba menempatkan diri sebagai pimpinan, kecemerlangan mereka akan hilang (sangat rugi), merosakkan diri sendiri, merosakkan ikhwah tariqah yang lain, dan merosakkan tariqah itu sendiri. Kesediaan untuk bertanggungjawab dengan baik ke atas diri dan diri2 yang lain itu tidak semua orang memilikinya.

 

Umumnya jadi pembesar/ wali/ gabenor kepada daulah/ kekhalifahan banyak orang yang teringin, tapi untuk menyelesaikan segala tanggungjawab sebagai pembesar itu, tak banyak yang sanggup berrkorban.

 

Oleh kerana itulah ada kalanya menjadi orang bawahan itu lebih meninggikan maqam seseorang itu “sisi” Allah ‘Aza wa Jalla. Wallahua’lam.

 

17/10/25

No comments: