Wednesday, October 8, 2025

Bergaul Dengan Amir Yang Zalim dan Pendusta

 

TENTANG HALAL HARAM BERGAUL DENGAN PEMERINTAH YANG PENDUSTA DAN ZALIM

 

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab induknya Ihya’ ‘Ulumuddin, hubungan engkau dengan raja, pegawai dan orang pendusta dan zalim itu ada tiga bentuk :

a        Hubungan yang paling teruk – engkau masuk ke tempat mereka. Maksudnya engkau selalu bergaul dengan mereka di tempat mereka.

b        Yang kurang sedikit – mereka masuk ke tempat engkau. Maksudnya mereka selalu bergaul dengan engkau di tempat engkau.

c         Hubungan yang lebih selamat – engkau mengasingkan diri daripada mereka. Maksudnya engkau tidak banyak bergaul dengan mereka. Lebih baik engkau tidak melihat mereka dan mereka pun tidak melihat engkau.

 

Sabda Rasulullah SAW : “Akan ada sesudah aku amir2 yang berdusta dan zalim. Sesiapa yang membenarkan (menyokong) mereka dengan kedustaan mereka dan menolong mereka atas kezaliman mereka, maka tidaklah dia daripada aku dan tidaklah aku daripada dia. Dan dia tidak akan datang ke kolam (kolam Nabi pada hari akhirat kelak).” (An-Nasa’i, Turmizi)

 

Atsar daripada Huzaifah ra : “Awaslah daripada tempat-tempat fitnah.” Lalu orang bertanya : “Yang manakah tempat-tempat fitnah itu?” Huzaifah menjawab : “Pintu-pintu para amir, yang dmasuki oleh seseorang kamu ke tempat amir itu. lalu membenarkannya (mengiyakan/menyokong) dengan kedustaan dan mengatakan apa yang tidak ada tentang amir itu.”

 

Khalifah Umar bin Abdul Aziz ada mengambil seorang pekerja di bawahnya, lalu orang memberitahu kepadanya bahawa pekerja itu dahulunya bekerja sebagai pegawai kepada Hajjaj (seorang menteri yang zalim), lalu beliau memberhentikan lelaki itu. Lelaki itu berkata : “ Sesungguhnya aku bekerja sekejap sahaja untuk Hajjaj.” Jawab Umar : “Cukuplah jika engkau menyertainya walau sehari atau setengah hari kerana keburukan dan kejahatan.”

 

Menurut Imam al-Ghazali lagi, ulama dunia masuk ke tempat para pemerintah dengan tujuan untuk mendekatkan diri mereka dengan pemerintah. Mereka melakukan istinbath (mencari dalil dan hujah) untuk para pemerintah itu agar sesuai dengan kehendak pemerintah. Perbuatan mereka sebenarnya adalah untuk mencari kemegahan dan pemberian daripada para pemerintah itu.

 

Ada dua jenis penipuan yang tertipulah orang-orang jahil dengannya iaitu :

a        Para ulama dunia itu beralasan untuk selalu bersama-sama pemerintah kononnya untuk memperbaiki dan menasihati pemerintah. Sebenarnya mereka berbuat demikian untuk memenuhi nafsu keinginan yang tersembunyi bagi mendapatkan kemasyhuran.

b        Para ulama dunia itu mendakwa kononnya mereka bertujuan untuk menolong sesama muslim dalam menolak kezaliman.

 

(petikan live streaming 4/10/25 di Channel Tgrm ILMU2 IMAM AL-GHAZALI)

 

No comments: