APA ITU QALBU? Qalbu itu ada dua pengertian :
i) Qalbu yang pertama ialah jantung, yang disebut juga sebagai daging jantung atau organ jantung. Bentuknya seperti buah sanaubar. Daripada situlah datangnya perkataan sanubari. Ia terletak di dalam dada pada sebelah kiri sedikit. Di dalamnya ada rongga. Di dalam rongga itu ada darah. Itulah sumber nyawa dan lombongnya. Qalbu jenis ini termasuk dalam bidang ilmu ketabiban/kedoktoran, bukannya dalam bicara bidang keagamaan atau keruhanian. Qalbu jenis ini terdapat juga pada haiwan dan pada orang mati. Qalbu jenis ini bukanlah qalbu yang kita hendak sentuh dalam pelajaran agama ini, khususnya dalam pelajaran tasawuf sufi. Qalbu ini termasuk dalam alam yang boleh dilihat (alam syahadah) sedangkan qalbu yang kita maksudkan dalam pelajaran ini ialah qalbu yang tidak boleh dilihat dengan mata. Qalbu jenis jantung ini boleh dilihat, dipegang (dijamah), dibelah. Ia terdiri daripada pepejal dan cecair. Ia barang zahir.
ii) Qalbu jenis kedua pula ialah sesuatu yang halus (latifah), yang bersifat keTuhanan (Rabbaniyyah), dan bersifat keruhanian (ruhaniyyah). Qalbu jenis kedua inilah hakikat manusia. Qalbu itulah yang merasa, yang mengetahui dan yang mengenal. Qalbu jantung jenis pertama tadi tidak boleh ada perasaan, tidak boleh mengetahui dan tidak boleh mengenal kerana ia semata-mata seketul daging sahaja. Jadi, qalbu jenis kedua inilah yang dimaksudkan dalam pelajaran agama. (Orang-orang di Nusantara menyebutnya sebagai “hati”). Ia tidak boleh dilihat, dipegang atau dibelah2. I abukan daripada jenis pepejal atau cecair. Ia barang batin/ ghaib.
(petikan live streaming 10/10/25 di Channel Tlgrm ILMU2 IMAM AL-GHAZALI)
No comments:
Post a Comment