ADA 4 KATEGORI ORANG BERTAUBAT :
Pertama : Orang yang bertaubat selamanya. Dia tidak lagi dengan sengaja mengulangi segala kesalahan atau maksiat tersebut sepanjang hidupnya di dunia ini. Inilah sebenar-benar taubat nasuha. Ini jenis yang terbaik. Orang jenis ini memiliki NAFSU MUTMAINNAH iaitu jiwa yang tenteram. Dia tidak perlu bersusah-payah melawan keinginannya kerana dia memang tidak merindui pun kesalahan atau maksiat itu. Orang sebegini sangat jarang ada.
Kedua : Orang bertaubat yang berusaha keras untuk beristiqamah, tetapi di hatinya masih ada perasaan suka terhadap kesalahan atau maksiat tertentu. Sungguhpun begitu, dia sangat gigih menentang agar dirinya tidak lagi terbuat kesalahan atau maksiat itu. Sekiranya berlaku kesalahan tersebut, dengan pantas dia kembali bertaubat dan mencela dirinya sendiri. Ketika melakukan kesalahan atau maksiat tersebut, dia melakukannya dalam keadaan yang serba salah yakni antara suka dan benci. Ini dinamakan NAFSU LAWWAMAH iaitu jiwa yang mencela dirinya. Orang sebegini agak ramai jumlahnya.
Ketiga : Orang bertaubat yang berusaha untuk istiqamah, tetapi sesekali ada juga dilakukannya kesalahan atau maksiat tertentu. Dia melakukannya dalam keadaan dia memang suka, tetapi kemudiannya dia bertaubat. Begitulah berulang kali. Ini dinamakan NAFSU AL-MUSAWWILAH iaitu jiwa yang menanyakan. Firman Allah SWT : “Dan ada pula yang lain yang mengakui kesalahan mereka, telah mencampur adukkan pekerjaan baik dengan yang buruk.” (At-Taubah : 102) Orang sebegini sangat ramai.
Keempat : Orang yang pernah bertaubat, tetapi kemudiannya dia mengulangi kesalahannya dan berasa seronok dengan kesalahan tersebut. Di samping itu, dia tidak pula terfikir untuk bertaubat lagi. Ini dinamakan NAFSU AL-AMMARATU BISSU’I (jiwa yang menyuruh kepada kejahatan). Orang sebegini juga sangat ramai.
Maka, marilah menjadi orang yang selalu bertaubat dan banyak bertaubat. Semoga kita tidak mengulangi dosa-dosa yang telah lalu sehingga ke akhir hayat kita nanti.
(petikan live streaming 5/10/25 di Channel Tgrm ILMU2 IMAM AL-GHAZALI)
No comments:
Post a Comment