Saturday, July 26, 2025

Benarkah Surat Nabi Gunakan Salamun Alaikum?

 

Pada 6 Jun 2025, Redhuan D. Oon kongsikan satu gambar surat Nabi Muhammad saw kepada raja Rom yang bernama Heraclius dan menulis:

 

Surat daripada Pesuruh Allah kepada Heraclus, Maharaja Rumawi dengan ucapan Salamun alaykum..

Bahan bersejarah..

Digital kan tahan dek masa..

Kembalilah kepada Jalan Allah sebenarnya.. dengan ikut cara RasulNya menyeru dengan bahasa terbaik..

 

TAMAT

 

Saya mendapati ada kesalahan dalam perkongsiannya lalu menulis dalam komen :

“Maafkan saya tuan. Perkataan dalam surat tersebut ialah "SALAM kepada orang yang mengikut petunjuk." Bukannya SALAMUN ' ALAIKUM.”

 

Namun tiada sebarang balasan atau pembetulan atau pemadaman posting tersebut sehingga hari ini 10 Julai 2025.

 

Sebenarnya surat Nabi Muhammad saw kepada Heraclius ini pernah saya kongsikan ketika mensyarahkan kitab Misykatul Anwar karya Imam al-Ghazali suatu ketika dahulu. Beberapa bulan lepas, Ustaz Dzul al-Ghazali yang sedang mensyarahkan kitab Misykatul Anwar juga ada menyentuh surat ini.

 

Jelas dalam surat yang ringkas itu tertulis dalam bahasa Arab perkataan SALAM dan bukannya perkataan SALAMUN ‘ALAIKUM. Boleh jadi Tuan Redhuan tersalah pandang.

 

Bukannya apa, kita risau jika kita ada menisbahkan atau ternisbahkan sesuatu yang bukan daripada Nabi kepada Nabi. Wallahua’lam.

Nota Live : Hak Ibu Bapa dan Anak2

 

ANTARA YANG DISENTUH DALAM LIVE STREAMING siri ke-6 (Rabu 23/7/25) :

 

HAK IBU BAPA DAN ANAK-ANAK

 

Nabi Muhammad SAW bersabda : “Buatlah kebajikan kepada ibumu, bapamu, saudara perempuanmu dan saudara lelakimu. Kemudian kepada yang lebih dekat kepadamu, lalu kemudian kepada yang lebih dekat kepadamu.” (An-Nasa’i, Ahmad, Al-Hakim)

 

Malik bin Rabi’ah berkata : Ketika kami berada di samping Rasulullah SAW. tiba-tiba datang seorang lelaki dari kabilah Bani Salmah. Lelaki itu bertanya : “Ya Rasulullah! Adakah tinggal menjadi tanggunganku sesuatu daripada berbuat baik kepada ibu bapaku yang akan aku lakukan untuk kedua-duanya setelah mereka meninggal dunia?”

Nabi SAW menjawab : “Ada, iaitu berdoa (mendoakan mereka), beristighfar (memohonkan) untuk kedua-duanya, melunaskan janji kedua-duanya, memuliakan sahabat kedua-duanya, dan menyambung silaturrahim yang tiada disambungkan kecuali dengan kedua-duanya.” (Abu Dawud, Ibnu Majah dan lain-lain)

 

Nabi SAW bersabda : “Setiap orang anak itu sama ada lelaki atau perempuan adalah tergadai dengan aqiqahnya, yang disembelihkan pada hari ketujuh (daripada lahirnya) dan dicukurkan rambutnya.” (Turmizi dan lain-lain, katanya sahih)

 

Seorang lelaki datang kepada Abdullah bin Al-Mubarak lalu dia mengadukan kepadanya tentang keadaan sebahagian anak-anaknya. Abdullah bin Mubarak bertanya : “Adakah engkau mendoakan yang buruk terhadap anak itu?” “Ada,”  jawab orang itu.

Maka Abdullah bin Mubarak menyambung : “Engkau telah merosakkan anak itu.”

 

Al-Aqra’ bin Habis melihat Nabi saw memeluk anaknya Hasan (kebiasaan orang Arab menyebut keturunannya sebagai anaknya, kerana Hasan ialah cucu baginda). Lalu Al-Aqra’ berkata : “Sesungguhnya aku mempunyai 10 orang anak. Tidak seorang daripada mereka yang aku peluk.”

Maka Nabi saw bersabda : “Sesungguhnya sesiapa yang tidak menyayangi akan orang, nescaya dia tidak akan disayangi orang.” (Bukhari)

 

Abdullah bin Syaddad berkata : “Sewaktu Rasulullah SAW sedang solat berjemaah (sebagai imam) dengan orang ramai, tiba-tiba datanglah kepadanya Husin (cucunya). Lalu ia (Husin) mengenderai (naik) ke atas leher Rasulullah saw yang sedang bersujud. Nabi SAW melamakan sujud bersama-sama orang ramai itu sehingga mereka menyangka sesuatu telah terjadi.”

“Tatkala Nabi saw sudah menyelesaikan solatnya, orang ramai pun berkata : “Wahai Rasulullah! Engkau telah melamakan sujud hinggakan kami menyangka sesuatu telah terjadi.”

Nabi SAW menjawab : “Anakku (cucuku Husin) telah mengenderai aku. Maka aku tidak suka menyegerakannya sehinggalah dia berpuas hati menunaikan hajatnya.” (An-Nasa’i, Al-Hakim)

 

Abu Sa’id al-Khudri berkata : “Seorang lelaki berhijrah dari Yaman lalu pergi menemui Rasulullah saw dan ingin berjihad. Lalu Rasulullah saw bertanya : “Adakah ibu bapamu di Yaman?”

“Ada” jawab orang itu.

Maka Nabi saw bertanya pula : “Sudahkah kedua-duanya memberi izin kepada kamu?”

Orang itu menjawab : “Tidak.”

Lalu Nabi saw bersabda : “Kembalilah kepada ibu bapamu. Mintalah izin kedua-duanya. Jika kedua-duanya bersetuju, maka berjihadlah. Tetapi jika tidak, maka buatlah kebajikan kepada kedua-duanya mengikut kesanggupanmu. Sesungguhnya itulah yang sebaik-baiknya untuk kamu bertemu dengan Allah, sesudah tauhid.” (Ahmad, Ibnu Hibban)

 

Ada seorang lelaki datang kepada Nabi saw memohon pertimbangan untuk pergi ke medan perang. Lalu Rasulullah saw bertanya : “Adakah engkau mempunyai ibu?”

“Ada,” jawab orang itu.

Maka Nabi saw menyambung : “Hendaklah engkau bersama-sama ibumu itu, kerana jannah adalah pada kedua-dua belah kakinya.” (An-Nasa’i, Ibnu Majah, Al-Hakim).

 

-          Live streaming channel tele Ilmu2 Imam Al-Ghazali

Adab dan Akhlak Nabi dalam Berpakaian

 

ANTARA YANG DISENTUH :

ADAB DAN AKHLAK NABI SAW TERHADAP PAKAIAN & PERHIASAN

 

Qatadah meriwayatkan : “Aku bertanya kepada Anas bin Malik : “Bagaimanakah bentuk sandal Rasulullah saw?” Anas bin Malik menjawab : “Sepasang sandalnya menggunakan dua buah qibal (dua tempat untuk disepit dengan anak-anak jari).” (Bukhari, Turmizi, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad)

 

Aisyah r.ha meriwayatkan : “Sedapat mungkin Rasulullah SAW mendahulukan anggota badan yang kanan ketika menyikat rambut, memakai sandal dan ketika bersuci.” (Bukhari, Muslim, Turmizi, Abu Dawud, An-Nasa’i, Ahmad)

 

Ibnu Umar meriwayatkan : “Rasulullah SAW membuat cincin daripada perak. Ketika baginda memakainya, baginda selalu menghadapkan mata cincin itu ke telapak tangannya. Cincin itu bertuliskan “Muhammad Rasulullah”. Baginda tidak membenarkan seorang pun menambah tulisan pada cincin itu. Cincin itulah yang jatuh ke sumur Aris.” (Bukhari, Muslim, Turmizi, Abu Dawud, An-Nasa’i, Ibnu Majah)

 

Said bin Yazid r.a meriwayatkan : “Pada Perang Uhud, Rasulullah SAW memakai dua rangkap baju besi.” (Turmizi, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad)

 

Jabir r.a meriwayatkan : “Pada peristiwa Fathul Makkah, Rasulullah SAW masuk ke kota Makkah dengan mengenakan serban hitam di kepala baginda.” (Muslim, Turmizi, Abu Dawud, An-Nasa’i, Ad-Darimi, Ahmad)

 

Amr bin Harits r.a menceritakan : “Aku melihat Rasulullah saw memakai serban hitam di kepalanya.” (Turmizi, Ibnu Majah)

 

Amr bin Harits r.a berkata : “Sungguh, Rasulullah SAW pernah berkhutbah di hadapan orang ramai dengan memakai serban hitam di kepalanya.” (Muslim, Turmizi, Abu Dawud, An-Nasa’I, Ibnu Majah, Ahmad)

 

Ibnu Abbas r.a mengatakan : “Sungguh, Rasulullah SAW pernah berkhutbah di hadapan orang ramai dengan memakai serban hitam di kepalanya.” (Turmizi, Ahmad)

 

Huzaifah al-Yaman meriwayatkan : “Sabda Rasulullah SAW : “Inilah batas engkau memakai kain sarungmu. Jika engkau enggan, janganlah sampai sarung itu menutup kedua-dua mata kakimu.” (Turmizi, Ibnu Majah, An-Nasa’i, Ahmad)

 

…live streaming channel Telegram ILMU2 IMAM AL-GHAZALI 22/7/25