Thursday, December 14, 2023

Penerangan Asas Untuk Saudara Baru 2

 

IBADAH SOLAT (SEMBAHYANG)


Ada 5 solat fardhu iaitu :

1. Solat subuh

2. Solat zuhur.

3. Solat asar.

4. Solat maghrib.

5. Solat isyak.


Bilakah waktu mengerjakan (membuat) 5 solat di atas?

Umumnya :

1. Solat subuh – Awal pagi. Biasanya antara pukul 6.00 hingga 7.00 pagi.

2. Solat zuhur – Tengah hari. Biasanya antara pukul 1.00 hingga 4.30 petang.

3. Solat asar – Petang. Biasanya antara pukul 4.30 petang hingga 7.00 malam.

4. Solat maghrib – Senja (awal malam). Biasanya antara pukul 7.00 hingga 8.30 malam.

5. Solat isyak – Malam. Biasanya antara pukul 8.30 malam hingga 6.00 pagi (sebelum subuh).


Ada berapa rakaat untuk setiap solat itu?

1. Solat subuh – 2 rakaat (2 kali berdiri dan duduk).

2. Solat zuhur – 4 rakaat (4 kali berdiri dan duduk)

3. Solat asar – 4 rakaat

4. Solat maghrib – 3 rakaat

5. Solat isyak – 4 rakaat

Untuk memudahkan ingat, kita ingat sahaja nombor 2-4-4-3-4 (24434).


Saya belum pandai mengerjakan solat. Tak mengapakah?

Tak mengapa. Asalkan dalam hati kita memang ada niat (bercadang, ada keinginan) untuk melakukannya suatu hari nanti. Cuma sekarang kita belum ada ilmu tentang solat dan cara2 melaksanakannya. Nanti apabila sudah tahu dan ada peluang, kita buatlah.


Allah Maha Penyayang. Dia sangat sayang kepada kita semua. Dia Maha Tahu bahawa kita baru hendak belajar. Kita mahu belajar itu pun, Allah sudah sangat suka. Setiap perbuatan baik kita mendapat pahala daripada Allah. Allah beri pahala itu sebagai tanda Dia suka (cinta) kepada kita. Setelah kita meninggal dunia nanti, Allah akan masukkan kita ke dalam syurga (jannah).


Apa itu syurga (jannah)?

Syurga ialah satu tempat atau alam yang sangat luas, yang penuh dengan keindahan dan kegembiraan buat selama-lamanya. Orang2 yang baik akan dimasukkan ke dalam syurga selepas meninggal dunia.


Saya sukar untuk melakukan ibadah solat kerana masalah2 tertentu.

Tak mengapa. Solat ini ada pelbagai cara untuk melakukannya mengikut keadaan, masa dan tempat. Sekiranya ada kekangan (halangan), kita boleh melakukan solat secara berdiri sahaja, atau duduk sahaja, atau berbaring sahaja, atau menggunakan isyarat mata sahaja, atau jika keadaan tidak mengizinkan, boleh solat di dalam hati sahaja. Insya-Allah kita akan belajar ilmu solat2 ini dari semasa ke semasa.


Allah Maha Penyayang. Dia tahu hamba-hamba-Nya ada masalah dan kesulitan tertentu. Oleh sebab itu, Dia beri pelbagai cara dan jalan untuk memudahkan hamba-hamba-Nya. Sentiasalah kita bersangka baik dengan Allah dan sangat sayang kepada-Nya.


Saya belum pandai bacaan2 dalam solat. Bolehkah saya mengerjakan ibadah solat sekiranya ada peluang?

Tentu sahaja boleh. Allah yang menjadikan kita. Dia Maha Tahu masalah dan kesulitan2 kita. Maka Dia beri kepada kita begitu banyak kemudahan dan kelonggaran. Pada peringkat awal ini, boleh sahaja melakukan solat walaupun tanpa sebarang bacaan. Kita belajar cara-cara mengerjakan solat dari segi perbuatan tubuh badan sahaja dulu. Ada berdiri lurus, tunduk, sujud (kepala kena lantai/ tikar/ tanah dan sebagainya), dan ada duduk. Kita buat yang ini sahaja dulu.


Sebenarnya Islam itu mudah, dan Islam itu indah.

No comments: