Saturday, December 30, 2023

Bijak Permainan Pak Da Cemey

 

Apabila tiba2 banjir melanda kampung, Pak Da Cemey kata faktor alam – air sungai tinggi sangat. Padahal dia yang pecahkan ban (benteng) pasir di tepi sungai kerana dia punya “kira2” dengan penjual perabot dan penjual motosikal di pekan. Oleh kerana diyakini sebagai betul2 faktor alam, maka redhalah dan redalah perasaan orang kampung.


Apabila ikan2 di sungai sangat berkurangan sudah berbulan2, Pak Da Cemey kata faktor alam – sekarang kerap banjir. Padahal dia yang bubuh tuba ringan untuk matikan anak2 ikan beberapa bulan yang lalu kerana dia ada “saham” dengan penjual ikan dari bandar.


Apabila akhir2 ini kampung selalu pula dilanda ribut, Pak Da Cemey kata faktor alam juga. Angin sudah berubah arah lalu masuk banyak ke tengah kampung. Padahal dia yang tebang dan jual balak secara haram di bukit lalu terbukalah arus angin bukit yang meluru dan bergumpal ke tengah kampung.


Pabila akhir2 ini semakin banyak penduduk kampung mengadu hangat, tak macam dulu2, Pak Da Cemey kata faktor alam. Penapis cahaya matahari di langit kita sudah semakin menipis, sebab itulah panas. Padahal dia yang gesa orang2 kampung tutup segala lubang angin di rumah dan lubang lantai papan dengan tikar getah, atas alasan elakkan nyamuk. Sebenarnya dia ada share dengan kedai pendingin hawa agar orang2 kampung terdorong untuk pakai air conditioner, juga peniaga tikar getah di pekan. Ramai yang tak mampu guna pendingin hawa. Maka berhangatlah mereka kerana kurang angin dan udara. Tapi orang2 kampung terima sahaja, kerana betul2 menyangka semua itu berlaku atas faktr alam, bukan faktor buatan manusia.


Akhir2 ini Pak Da Cemey cerita pula kepada orang2 kampung, kononnya sebagai orang lama, dia tahu benar bahawa tanah-tanih kampung itu akan berubah bau dan rasanya pada setiap beberapa puluh tahun. Dan tidak lama lagi iaitu pada tahun hadapan akan sampailah masanya bumi kampung itu berubah bau kepada yang kurang menyenangkan. Faktor alam katanya. Padahal dia akan memulakan satu projek besar di hujung kampung yang akan melibatkan pembuangan sisa berbau tidak menyenangkan. Oleh itu awal2 lagi Pak Da Cemey sudah merekrut minda orang2 kampung agar percaya dan dapat menerima bau2 tersebut kerana... faktor alam semulajadi, bukan faktor buatan manusia. Pak Da Cemey sedia maklum yang orang2 kampung mustahil akan salahkan Tuhan. Maka mereka akan redha dan reda kerana... faktor alam.


Bukannya tak ada segelintir orang kampung yang tahu, faham dan sedar akan permainan Pak Da Cemey. Contohnya macam Abang Ta dan Mat Adi. Tapi, itulah... siapalah sangat yang mahu dengar dan percaya kata2 orang2 bawahan macam Abang Ta dan Mat Adi.


Bijak Pak Da Cemey.


30/12/23

No comments: