Thursday, December 29, 2022

Antara Sebab Engkau Sibuk2 Berdakwah

Berdakwah ini amanah tok guru.

Itulah antara sebab berdakwah.

Tok guru ambil dari mana amanah itu?

Dia pun diamanahkan oleh tok gurunya.

Tok gurunya ambil dari mana pula?

Daripada tok gurunya juga.

Begitulah seterusnya bersambungan

sampailah kepada Rasulullah saw.


Jadi yang berdakwah ini,

asal-asalnya diamanahkan oleh Rasulullah saw.

Sebab itulah

dalam keadaan suka atau tidak,

dalam keadaan orang suka atau tidak,

dalam keadaan susah atau senang,

dakwah tetap kena diusahakan dan diikhtiarkan.


Jika tidak,

terabailah amanah guru ke guru

sampailah kepada Rasulullah.

Melainkanlah jika menghadapi kekangan

yang membuatkan tidak dapat berdakwah.


28/12/22

Syarahan Tentang Akidah?

 

Seorang sahabat bertanya sama ada saya ada syarahkan tentang akidah.


Jawapannya : Ada. Rakaman penuh syarahan terperincinya boleh diikuti di sini https://youtu.be/_-_z01sqJuk iaitu Syarah Ihya' 'Ulumuddin fail ke-549 dan berakhir di sini https://youtu.be/zKyBw-KDiaI iaitu Syarah Ihya' 'Ulumuddin fail ke-853 (khatam).


Syarahan ringkasnya pula (di tempat lain) bermula dari sini https://youtu.be/I9ddxLgeEro iaitu Masjid PGA siri 28 dan berakhir di sini https://youtu.be/lqNVpMtK5Us iaitu Ihya' Masjid PGA siri ke-54.


Syarahan ilmu aqidah ini sebenarnya saya mensyarahkan Kitab Qawaid al-'Aqaid iaitu kitab ke-2 daripada 40 kitab dalam kitab induk Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali. Di dalam Qawaid al-'Aqaid ini juga terdapat pelajaran Risalah Qudsiyah. Imam al-Ghazali tidak menggunakan sukatan pelajaran Sifat 20 tetapi sukatan pelajarannya sendiri iaitu Rukun 3. Isi kandungan kedua-dua sukatan pelajaran ini umumnya sama cuma berbeza dari segi susunan dan olahan sahaja.


Sanad ilmu ini bersambungan sehinggalah kepada Imam al-Ghazali dan seterusnya ke atas sampai kepada Rasulullah saw. Dulu sewaktu saya belajar ilmu2 Tariqah Ghazaliyah, sukatan pelajaran dalam Kitab Qawaid al-'Aqaid inilah yang dijadikan oleh mursyid saya sebagai sukatan pelajaran aqidahnya. Dia juga mendapat sebegitu daripada gurunya dan seterusnya ke atas. Tetapi sewaktu mengajar di masjid/surau biasanya dia akan gunakan sukatan pelajaran Sifat 20 kerana banyak orang yang terbiasa dengan sukatan tersebut.


Tuan boleh pilih untuk mengikuti syarahan terperinci atau syarahan yang ringkas. Semoga bermanfaat.


29/12/22


Maqam2 Ruh dan Wali2 Allah

 

Biasanya mula2 engkau sang sufi akan berpusat kepada dirimu sendiri. Engkau hanya nampak dirimu sendiri. Engkau "terlebur" ke dalam dirimu sendiri. Dan engkau hanya "nampak" Diri itu "pada/dalam" dirimu sendiri sahaja.


Sampai suatu maqam lagi, barulah engkau akan mula nampak diri-diri. Maka kemudiannya engkau terlebur ke dalam diri-diri. Kemudian barulah nampak Diri pada diri-diri.


Kemudian barulah engkau akan nampak semua diri itu sebenarnya satu diri sahaja. Kemudian barulah engkau nampak Diri pada diri yang menyeluruh itu.


Kemudian engkau akan nampak hanya Diri.


Kemudian engkau sudah tiada nampak lagi.

Kemudian yang ada hanya Diri.


Kemudian...


Maka tamatlah pendakian dan pengembaraanmu. Biasanya begitulah jalannya, tanpa perinciannya.


Dari syariat menuju tarekat menuju hakikat menuju ma'rifat (awwal ad-diin). Inilah 4 sekawan menuju awal. Kemudian dari ma'rifat awwal ad-diin menuju nisf ad-diin menuju akhir ad-diin menuju kamal ad-diin. Inilah 4 sekawan menuju kamal.


Dan itulah hakikat kenabian (bukan kenabian itu sendiri) yang dicapai oleh Imam al-Ghazali yang pada zamannya sudah tiada lagi kerana sudah mati. Lalu diusahakannya sendiri lalu diihya'kannya (dihidupkannya kembali). Ihya' 'Ulum Ad-Diin - menghidupkan kembali ilmu2 ad-diin (yang sudah tiada lagi kerana sudah mati sebelumnya). Tidak ditajukkannya sebagai menyegarkan kembali, menyihatkan kembali, membanyakkan kembali, memperkenalkan kembali atau sebagainya tetapi - MENGHIDUPKAN kembali.


Sebab itulah nama kitabnya begitu - Ihya' Ulum Ad-Din. "Ad-diin" yang dimaksudkannya dan yang dihidupkannya kembali itu sangat luas, sangat jauh, lagi sangat mendalam.


Dengan segala ilmu, segala kitab dan segala guru pada zaman itu, beliau masih gagal mencapai suatu maqam yang sudah sangat dinampaknya itu hinggakan beliau jatuh sakit misteri yang tiada sebarang rawatan, ubat atau tabib dapat mengubati. Lalu beliau keluar "beruzlah" diri. Maka dalam uzlahnya itulah barulah diperolehinya kembali sesuatu yang sudah mati itu. Maka diihya'kannya (dihidupkannya kembali).


Pada tingkat perenggan pertama di awal-awal tadi memang sudah ada orang2 bertaraf wali. Orang2 biasa tentunya ramai lagi. Umumnya mereka akan terus di situ kecuali jika mereka mahu meneruskan capaian2 ke tingkat2 seterusnya.


Ibarat peluang untuk mendapat kerja. Ada SPM sudah cukup, tetapi sangat digalakkan agar terus berusaha untuk mencapai diploma menuju ijazah menuju master menuju PHD.


Walaupun engkau wahai diriku sendiri berasa cukup untuk dirimu dengan sekadar SPM, jangan pula engkau lemahkan semangat orang2 lain untuk terus mencapai yang atas-atas lagi. Bahkan sepatutnya engkau lorong, dorong dan galakkan lagi walaupun engkau sendiri tidak mencapainya.


Peluang dan ruang untuk engkau mungkin setakat SPM sahaja, tetapi peluang dan ruang untuk orang2 lain mungkin lebih lagi. Rezeki engkau mungkin setakat diploma tetapi rezeki sebahagian hamba Allah lagi mungkin lebih daripada itu jika mereka berusaha dan berikhtiar dengan gigih. Gaji engkau mungkin sebesar gaji SPM tapi engkau tetap motivasikan orang lain agar mereka berpeluang mendapakan gaji sebesar gaji Ijazah dan seterusnya. Begitulah tamsilan sekadar untuk menghampirkan engkau kepada faham.


Maka jangan kerana diri engkau berasa cukup dengan SPM maka engkau tidak mahu ambil peduli dengan orang lain atau engkau mahu orang lain pun bercukup2lah dengan SPM macam engkau juga.


Jika engkau bermatlamat sekadar untuk berjaya masuk ke dalam jannah, engkau tetap kena menyokong orang2 lain yang bermatlamatkan lebih daripada itu untuk mencapai jannah muqarrabin, mencapai redha Allah, dan mencapai Tuan Punya Jannah sendiri.


Jangan kerana engkau berasa cukup dengan mencapai jannah sahaja maka engkau tidak mahu ambil peduli dengan hamba2 Allah yang lain, atau engkau mahu orang lain pun sekadar macam engkau sahaja.


Maqam2 di sisi Allah banyak tingkatannya. Para wali Allah itu juga banyak tingkatannya.


Sesungguhnya "perjalanan" kepada Allah itu "24 jam" jarak waktunya. Ada wali2 yang bertempat pada 1 minit perjalanan, ada wali2 yang bertempat pada 30 minit perjalanan, 1 jam perjalanan, 6 jam perjalanan, 15 jam perjalanan dan sebagainya. Di penghujung jalan itu antaranya ialah R4S - Rasulullah saw, 4 orang sahabat paling utama, dan sahabat2 utama yang lain.


Engkau berusaha dan berikhtiarlah dengan gigih agar mudah-mudahan direzekikan oleh Allah SWT dapat "sehampir" mungkin dengan-Nya.


27/12/22

Tafsir Mimpi Anak Perempuan Degil

 

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Mohon untuk bertanya tentang mimpi. Saya ada mengalami satu mimpi yang agak mengganggu fikiran saya. Begini ceritanya. Saya bermimpi kononnya saya ada seorang lagi anak perempuan. Lebih kurang usia anak itu 5 atau 6 tahun. Anak itu ada melakukan satu kesalahan yang saya sudah tidak ingat apa kesalahan itu. Lalu saya mahu menegur dan mengajarnya. Tapi anak itu melawan cakap saya. Saya cuma minta dia duduk di depan saya untuk saya nasihatkan. Waktu itu saya berada di atas sejadah. Tapi dia enggan.


Saya pun mengambil rotan lama lalu merotannya. Pelik, rotan itu seperti sudah rosak. Anak perempuan itu tidak berasa sakit langsung. Dia terus melawan kata2 saya. Saya cari rotan lama yang lain. Apabila dipukul ke kaki anak itu, rotan itu jadi pecah-pecah. Anak itu macam mengejek saya. Saya cari pula rotan lama yang lain. Ketika dilibaskan, rotan itu jadi lembik macam kain. Kejadian ini berlaku banyak kali. Memang pelik. Kalau kakak dan abangnya dulu, digertak dengan rotan sahaja pun mereka terus ikut cakap.


Saya makin naik angin. Kali ini anak itu mengendur sikit sikap melawannya. Dia sudah mahu duduk tapi bukan di lantai. Dia cuma duduk di atas katil. Katanya, "Nak duduk di bawah, tak akan!" (*Seolah-olah budak itu berkata, "Ok, saya duduk. Tapi atas katil ini je le. Jangan harap saya akan duduk di bawah). Masih ada sikap melawannya tu.


Waktu itu saya cuba cari sesuatu yang lebih keras. Saya ternampak pembaris plastik. Satu tebal dan satu nipis. Saya pilih yang tebal. Dalam masa yang sama anak tadi turun dari katil dan duduk di depan sejadah (*maksudnya si anak akur juga akhirnya). Nampak wajahnya masih ada rupa hendak melawan. Saya pun memukulkan pembaris itu sekali ke punggungnya.


Apakah mimpi ini membawa alamat yang tidak baik? Terima kasih.


JAWAPAN : Waalaikumussalam. Alhamdulillah, syukur. Saya berjaya mendapatkan tafsirnya. Sebenarnya mimpi ini membawa maksud yang baik.


Sefaham saya, pada suatu hari secara tiba-tiba sahaja tuan mendapat satu masalah kesihatan yang sangat tidak dijangka berlaku ketika itu. Masalah kesihatan itu memang membuatkan tuan dalam kesusahan. Lalu tuan pun berusaha melakukan sekian banyak cara, kaedah, rawatan, dan ubat2an untuk mengurang dan menyembuhkannya. Hal ini kerana sebelum ini tuan sudah pernah kena tetapi tuan berjaya mengatasinya dengan baik. Tapi kali ini ia tidak berkurang walaupun sudah 5-6 hari.


Pada malam terakhir, yakni malam ke-5 atau malam ke-6 tu, sefaham saya itulah malamnya tuan mendapat mimpi dia atas. Dan pada malam terakhir itu jugalah (sebelum bermimpi) tuan ada cuba melakukan sesuatu rawatan atau pengubatan yang berbeza daripada hari2 sebelumnya.


Apabila tuan terjaga pada paginya, masalah kesihatan itu sudah mula "menunduk" atau "mengalah". Badan tuan mengalami banyak perubahan positif walaupun belum benar2 sembuh lagi.


Begitulah lebih kurang pengertian daripada mimpi tuan itu. Maka tuan janganlah berasa tergganggu fikirannya lagi. Semoga Allah mudahkan segala urusan kita.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

29/12/22

Blog Debunga Teratai Syurgawi


Buku Pengajian Zaman Akhir?

 

Pertanyaan oleh Tokcik dari group Ashabul Kahfi : "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ya sahabat Tokcik fillah. Sukanya hati Tokcik baca apa yang sahabat Tokcik share bab pengajian akhir zaman. Adakah bukunya? Apa tajuknya ye sahabat ukhwah fillah?"


JAWAPAN : (*Ada banyak pertanyaan yang berkaitan dan lebih kurang sama isinya. Saya tak mampu untuk menjawab setiap seorang dan sudah tertangguh lama. Jadi saya kumpulkan isinya dalam jawapan kepada Tokcik ini sebagai jawapan kepada semua yang bertanya)


Waalaikumussalam Tokcik. Yang sesekali saya kongsikan itu ke? Tak ada bukunya. Yang sesekali saya share itu namanya pengajian zaman akhir. Ada sedikit perbezaan dengan pengajian akhir zaman.


Akhir zaman bermula pada zaman Rasulullah saw. Sebab itulah baginda juga dikenali sebagai nabi & rasul ahir zaman. Zaman akhir pula bermula pada penghujung akhir zaman.


Ringkasnya, akhir zaman itu ada tiga fasa besar iaitu :

1. ZAMAN AWAL kepada akhir zaman

2. ZAMAN PERTENGAHAN kepada akhir zaman

3. ZAMAN AKHIR kepada akhir zaman (yang inilah yang saya maksudkan)


Dalam agama Islam ini ada 4 tungku agama atau 4 tungku ad-diin sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith2 Jibril iaitu tungku al-iman, tungku al-ihsan dan tungku al-sa'ah. Semuanya rukun agama dan bertaraf fardhu. Pengajian zaman akhir yang saya kongsikan itu ialah ilmu tungku ke-4 iaitu tungku as-sa'ah.


Ringkasnya, 4 tungku ad-diin itu ialah :

1. al-iman ('aqidah, usuluddin, ilmu kalam, perbandingan agama dan seumpamanya)

2. al-islam (fekah, usul fiqh, hukum-hakam, syariat agama ds)

3. al-ihsan (tasawuf, sufi, tariqah ds)

4. al-sa'ah (zaman akhir, zaman fitnah, hari kehancuran ds) - yang inilah yang dimaksudkan


Setiap tungku itu ada ilmu2nya, ahli2nya, sanad2nya, kaedah2nya dan disiplin2nya.


Tentang buku, saya memang ada merancang untuk menulisnya tetapi entah bilalah masanya akan dapat disiapkan. Saya merancang menulis 8 siri buku tentang Tarekat Ghazaliyah. Pada buku ke-8 itulah nanti cadangnya akan dimuatkan dengan ilmu as-sa'ah. Namun setakat ini saya hanya berjaya menyiapkan 4 siri sahaja. Siri ke-5 pun sudah makan tahun tertangguhnya. Sekiranya diizinkan Allah terhasilnya buku itu suatu hari nanti, insya-Allah tajuknya "Terbit Yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyah (siri ke-8) : Ilmu As-Sa'ah"


Ilmu tungku as-sa'ah yang saya sampaikan ini datangnya daripada guru saya daripada gurunya sehinggalah ke atas, sampai kepada Imam al-Ghazali yang merupakan pengasasnya. Dan terus ke atas sampailah kepada Rasulullah saw. Sanadnya bersambungan tiada terputus.


Ilmu ini turun sampai ke zaman kita ini bersama-sama dengan sanad Tarekat Ghazaliyah. Tarekat Ghazaliyah turun dengan 4 bidang ilmu. Yang utamanya ialah Tarekat Ghazaliyah itu sendiri manakala 3 ilmu lagi merupakan pengiring2 yang turun bersama-sama sanad tarekat ini. Tiga ilmu lagi itu ialah ilmu aqidah, ilmu alam (bukan ilmu geografi), dan ilmu as-sa-ah. Namun begitu 3 ilmu pengiring ini tetaplah bukan Tarekat Ghazaliyah itu sendiri walaupun ada perkaitan.


Tentang ilmu AKHIR ZAMAN, saya pernah mengkuliahkannya seawal2 saya buat pengajian umum iaitu bermula 2007 (hingga sekitar 2009 rasanya). Itulah ilmu yang mula2 saya dakwahkan dalam bentuk pengajian umum. Ketika itu ilmu zaman akhir belum masanya untuk dikuliahkan secara umum lagi, sebagaimana yang dipesan dan diisyaratkan oleh mursyid saya dahulu. Kemudian barulah saya kuliahkan serba-sedikit ilmu fekah, ilmu hadis, ilmu tasawuf dan sebagainya.


Semoga jawapan yang sangat ringkas ini dapatlah menjawab kesemua soalan berkaitan sekaligus. Untuk penjelasan lanjut, bolehlah terus mengikuti pengajian2 kitab Ihya' 'Ulumuddin yang saya adakan umumnya dan khususnya dalam Pengajian Zaman Akhir yang sudah sampai siri ke-56.


29/12/22

Tuesday, December 27, 2022

Debu2 Kotoran Kita Akan Dibakar

 

Kita mati dengan membawa "debu-debu kotoran" yang melekat pada diri kita. Untuk masuk ke dalam jannah, debu2 ini mesi dinyahkan terlebih dahulu. Diri kita kena bersih terlebih dahulu. Untuk menyahkan debu2 kotoran ini, ia memerlukan kepada pembakaran. Orang yang banyak dan kuat debu2 kotorannya, lamalah proses pembakarannya di sana nanti.


Debu2 kotoran ini kita sendiri yang mengumpulnya di sini lalu kita membawanya dari dunia ini ke akhirat sana. Oleh itu, jangan kumpul debu, jangan bawa debu. Semoga di sana nanti kita tidak perlu dibakar untuk menyahkan debu2 itu.


26/12/22

Bersibuk2lah dengan Allah

 

Sesiapa yang di dunia ini banyak ingat akan selain Allah, banyak ‘pandang’ selain Allah, dan banyak "berurusan" dengan selain Allah, di akhirat nanti dia akan sibuk dengan selain Allah. Tetapi sesiapa yang dalam hayat hidup di dunia ini dia banyak ingat akan Allah, banyak ‘memandang’ akan Allah, dan banyak "berurusan" dengan Allah, di akhirat nanti dia akan sibuk dengan Allah.


Ada orang akan bersibuk2 dengan seksaan, ada yang bersibuk2 dengan nikmat makan-minum, ada yang berisibuk2 dengan nikmat berpasang-pasangan, dengan nikmat istana dan kebun-kebun, dengan pakaian2 dan perhiasan2, dan ada orang yang bersibuk2 dengan kenikmatan tertinggi iaitu bersibuk2 dengan Ilah-nya.


Kelazatan "memandang" keelokan Allah diibaratkan oleh Rasulullah saw di mana baginda menceritakan daripada Alah Yang Maha Tinggi : “Aku sediakan (siapkan di akhirat nanti) bagi hamba-hamba-Ku yang soleh, apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, (tidak pernah) didengar oleh telinga, dan tidak (pernah) terbayang (terguris) oleh hati.” (Bukhari , Muslim)


Inilah matlamat kaum sufi.


26/12/22

Kita Akan Dibalas Berkali2 Ganda

 

Apa yang kita dapat buat di dunia ini, hasilnya di akhirat nanti semuanya akan dibalas berlipat kali ganda.


  • Sesiapa yang di dunia buat kebaikan, akan dibalas kebaikan di sana berkali-kali ganda.

  • Sesiapa yang di dunia ini buat keburukan, akan dibalas keburukan di sana berkali-kali ganda.


Hal ini kerana semua yang berkait dengan dunia adalah kecil, sempit lagi sedikit. Apa sahaja yang berkait dengan akhirat adalah besar, luas dan banyak.


Allah Taala berfirman : “Dan sesungguhnya kampung akhirat itulah kehidupan yang sebenar, jika mereka mengetahui.” (Al-‘Ankabut : 64)


26/12/22

Hijab Antara Allah dan Kita

 

Antara kita dan Allah terdapat "hijab" yang sangat "tebal". Jika tiada hijab itu, maka akan "binasa"lah seluruh alam ini dan isinya. Di dunia ini, para ahli tasawuf berusaha gigih "menyingkap/ membuka/ menyelak" satu demi satu hijab-hijab ini.


1. Sesiapa yang di dunia ini hijab antara dirinya dengan Allah "tebal", di akhirat nanti "sejauh" itu jugalah antara dia dengan Allah.


2. Sesiapa yang di dunia ini hijab antara dirinya dengan Allah "nipis", "sedekat" itulah dia dengan Allah di akhirat nanti.


Hendak menyingkap hijab2 ini ada mata pelajarannya, ada jalannya, dan ada tariqnya. Orang yang tidak melalui pelajaran, jalan dan tariq ini, hampir2 pasti yang dia tidak dapat hendak menyingkap dan menipiskan hijab2 antara dia dengan Tuhan? Sebab itulah pelajaran tasawuf ini sangat penting.


26/12/22

Rawatan dan Ubatan Hati Tak Sama Antara Individu

 

Ubat2 dan rawatan2 asas untuk penyakit2 hati umumnya sama. Tetapi ubat lanjutannya biasanya berbeza mengikut keadaan si pesakit.


Seseorang doktor mengkhususkan ubat dan rawatan bagi pesakitnya dengan mempertimbangkan banyak hal seperti usia si sakit, kerjanya, kesihatan sedia adanya, saiz badannya, tahap sakitnya, dsb. Begitu jugalah dengan ubat dan rawatan untuk masalah2 kesihatan qalbu. Ada beberapa hal yang dipertimbangkan oleh doktor qalbu (guru, mursyid, syaikh dsb) dalam menentukan "ubat" dan rawatan kepada para pesakitnya.


Jika seseorang doktor itu merawat semua orang sakit hanya menggunakan satu jenis ubat atau satu jenis rawatan sahaja, nescaya ia akan memudaratkan banyak orang dan mungkin terbunuh orang.


25/12/22

Sifat Marah Itu Bukan Untuk Dibuang

 

Sifat marah ini ibarat anjing pemburu. Jika dididik dengan jalan yang betul, ia akan bertindak ikut arahan – bila masanya nak serbu, bila nak berhenti, di mana hendak digigit, berapa banyak dan berapa kuat nak digigit? Elok sahaja urusan-urusannya.


Jika tidak dididik dengan jalan yang betul? Anjing pemburu itu tidak menyerbu mengikut masa yang sesuai, ikut suka hendak berhenti mengejar atau tidak, menggigit sesuka hati, menggigit pada banyak tempat lagi kuat gigitnya hingga hampir hancur haiwan buruan itu.


Begitu jugalah dengan nafsu. Kita perlu didik nafsu. Ilmu mendidiknya berada dalam Tungku Al-Ihsan yang di dalamnya terkandung tasawuf, sufi, tariqah dan seumpamanya. Maka akan cantiklah urusannya - bila nak diguna, bila nak dilepaskan, bila nak dihalang, dan sebagainya.


Kena buangkah sifat marah? Tidak. Sufi tak suruh buang. Sufi suruh letak pada tempatnya. Marah kena ada dan dikeluarkan pada tempat yang sesuai dengan kehendak agama. Kedudukannya terletak di tengah2 antara pengecut dan berani membuta tuli. Itulah tempat terbaiknya.


Allah tak sebut orang2 yang tidak marah, tetapi Allah sebut orang2 yang menahan marahnya. Maksudnya marah itu kena ada, bukan ditiadakan.


25/12/22

Apa Yang Manusia dan Jin Buat di Jannah?

 

Kenikmatan di dalam jannah itu berbeza-beza. Jannah atau syurga itu sendiri ada beberapa tingkat. Orang2 beriman yang dapat masuk ke dalam jannah, dia akan leka dengan nikmat mana yang sangat disukainya di dunia, iaitu nikmat yang paling kuat berpengaruh di dalam jiwanya semasa hayatnya.


  1. Jika di dunia dia sangat suka akan makan minum, di jannah nanti umumnya dia akan banyak sibuk dengan nikmat makan dan minum.

  2. Jika di dunia dia sangat suka akan nikmat perhiasan diri dan rumah, di akhirat nanti dia akan banyak leka dengan nikmat perhiasan, pakaian, perhiasan2 syurga dan sebagainya.

  3. Jika di dunia ini dia sibuk dengan nikmat berpasang-pasangan, nikah kahwin, hamba2 wanita, di akhirat nanti dia akan banyak berada dalam nikmat berpasang2an dengan para bidadari.

  4. Jika di dunia ini dia asyik dengan ALLAH (ma’rifat dan cinta-Nya), di akhirat nanti dia akan asyik dengan "memandang Wajah Allah". Dan inilah nikmat yang paling nikmat, paling tinggi, paling agung dan paling besar di akhirat kelak, yang membuatkan segala kenikmatan jannah "terpadam". Inilah nikmat yang menjadi maksud (matlamat) para ahli tasawuf (para sufi, ahli tariqah dan seumpamanya). Bahkan di dunia ini lagi pun, inilah juga kelazatan yang tertinggi.


Usaha dan ikhtiarlah dengan gigih agar mendapat yang tertinggi.


26/12/22

Makrifah, Mahabbah dan Tajalli

Ma’rifah akan Allah di dunia ini ada pelbagai tahap. Ada yang banyak ma’rifahnya dan ada yang sikit. Mahabbah juga begitu. Tajalli akan Allah di akhirat nanti juga sama - ada pelbagai tahap. Ada yang kuat tajallinya dan ada yang lemah. Sesiapa yang ma’rifah dan mahabbahnya kuat di dunia, musyahadahnya di akhirat pun akan kuat juga.


Ma’rifah dan mahabbah akan Allah di dunia ini bolehlah diumpamakan seperti tunas pokok. Manakala tajalli di akhirat nanti bolehlah diumpamakan sebagai tunas pokok yang sudah pun menjadi pokok besar yang subur.


Kita buat kebaikan yang sedikit dan sekejap di dunia ini, tapi Allah balas dengan ganjaran yang banyak dan lama di akhirat. Kita buat kejahatan sedikit dan sekejap, tapi Allah balas dengan azab yang besar dan lama di akhirat. Mana yang kita mahu usahakan?


Pelajaran ma’rifah, mahabbah, mukasyafah, musyahadah dan seumpamanya umumnya hanya ada dalam mata pelajaran tasawuf. Maka teruskanlah penjelajahan kita dalam pelajaran tasawuf ini.


26/12/22

Friday, December 23, 2022

Yang Berilmu Zaman Akhir Akan Berjuang

 

Dikhabarkan bahawa Constantinople

akan sebenar2 dibuka pada zaman akhir,

tapi sejak zaman para sahabat lagi

mereka tidak duduk diam menunggu,

bahkan ada sahabat baginda

yang dimakamkan

berdekatan tembok gah Constantinople itu

iaitu Abu Ayyub al-Ansari r.a

yang berusaha mendapatkannya.


Yang berilmu akhir zaman akan bertenang,

yang berilmu zaman akhir akan berjuang.


Mr. D akan zahir pada zaman akhir

tetapi para sahabat yang hidup pada zaman awal itu

begitu bersungguh2 menyelidiki Mr. D

apabila peribadi Ibnu Sayyad diragui.

Mereka tidak duduk menunggu

tetapi sentiasa siaga bertindak

walaupun belum masanya zaman akhir.


Yang berilmu akhir zaman akan bertenang,

yang berilmu fardhu al-sa'ah akan berjuang.


Hari Kehancuran jadinya pada zaman akhir

tetapi Rasulullah saw sendiri pada zamannya

sentiaga siaga.

Pernah berlaku gerhana matahari

lalu baginda nampak ketakutan

kerana khuatir berlakunya Hari Kehancuran,

sebagaimana hadith riwayat Imam Muslim,

sekalipun belum masanya zaman akhir.


Yang berilmu akhir zaman akan bertenang,

yang berilmu zaman akhir akan berjuang.


Tungku 4 sekawan

itulah pegangan

dan itulah perjuangan.


23/12/22


Fitnah Itu Sudah, Sedang dan Akan Lagi Berlaku

 

Banyak orang masih menyangka

ujian2 itu akan berlaku suatu hari nanti,

yang entah bila,

lambat lagi,

dan dirinya belum terkena

bahkan belum gagal pun.


Padahal sebahagiannya sudah berlaku,

sebahagian lagi sedang berlaku,

dan sebahagian lagi akan berlaku.


Pendek kata semua sudah terkena.

Banyak yang gagal,

sedikit lagi ghuraba yang lulus.


Di sini jelas pentingnya ilmu as-sa'ah -

tungku ad-diin ke-4

daripada 4 beradik dalam hadis Jibril.


Jibril bekalkan 4,

Nabi Muhammad saw bekalkan 4,

para wali utama bekalkan 4,

kita pun tetap teruskan 4.

Sebagaimana yang kita terima,

sebegitulah yang kita sampaikan.


Yang punya,

belum tentu akan berterusan lulus.

Tetapi sekurang2nya

usaha dan ikhtiarnya lurus lagi terus.


Yang punya ilmu tungku al-iman,

belum tentu berterusan lulus 'aqidahnya.

Yang punya ilmu tungku al-islam,

belum tentu berterusan lulus fiqhnya.

Yang punya ilmu tungku al-ihsan,

belum tentu berterusan lulus tasawufnya.

Yang punya ilmu tungku al-sa'ah,

pun belum tentu berterusan lulus zaman akhirnya.

Tapi jika sedari awal sudah tiada ilmunya,

lebih besarlah kemungkinan untuk tidak lulusnya.


Menang, seri, kalah - Allah yang tentukan.

Berjaya, gagal, tergantung - Dia yang tetapkan.


23/12/22

Thursday, December 22, 2022

10 Tazkirah Pendek Juga

 

1. Jangan benci orang2 yang membenci kita, cuma kita kawal jarak sahaja agar mudarat mereka sukar atau kurang sampai kepada kita.


2. Rawatan untuk orang alami tekanan perasaan ada beza dengan rawatan untuk orang yang hilang perasaan. Jenis kedua tu makin banyak.


3. Tak ada mimpi yang saja2 kerana semuanya bermesej sekalipun jenis mimpi permainan tidur atau sekadar gangguan syaitan.


4. Sebagaimana ahli Quran cepat mengesan kesalahan bacaan, begitulah ahli tasawuf cepat mengesan sifat2 mazmumah, jika mereka mahu.


5. Banyak orang yang dijatuhkan dengan fitnah yang keji oleh orang2 yang keji kerana orang2 itu tak mahu sertai kekejian mereka.


6. Selain doa, majukan RUHani dengn berkorban untuk tambah ilmu, tambah amal, tambah penghayatan.


7. Belajar sufi seakan belajar silat. Nak yang tinggi2 tak dapat dalam majlis ramai2 tapi insya-Allah dapat dalam halaqah kecil lagi terhad.


8. Yang tak jadi perawat mungkin jarang2 mendapat khabar kematian dan sakit teruk. Bagi yang aktif merawat (pelbagai masalah kesihatan), agak selalu mendapatnya. Itu biasa. Tetapi tahun ini (2022) memang benar2 selalu.


9. Ramai yang belajar fiqhnya perkahwinan tapi kurang yang belajar tasawufnya perkahwinan. Kitab Nikah ada dalam Kitab Ihya'.


10.Tubuh manusia asalnya lemah. Ia kuat dengan asuhan jasmani. Qalbu juga asalnya lemah. Ia kuat dengan asuhan ruhani.

 

Abu Zulfiqar al-Amsyari

Wednesday, December 21, 2022

Tukang Perbaik Rupanya Tukang Perosak

 

Kisah di sebuah desa (kini sudah jadi bandar) pada tahun 80-an di Seberang Perai. Semua jalan di kampung itu jalan pasir atau tanah merah kecuali sebatang jalan utama. Zaman itu kebanyakan penduduk menggunakan basikal.


Suatu ketika, banyak tayar basikal pecah dan kerap pula pecahnya. Kata tauke kedai basikal, hal itu berpunca daripada tayar2 yang sudah kurang berkualiti menyebabkan ia cepat bocor jika terlanggar sesuatu yang tajam. Maka banyaklah orang ke kedainya menampung tayar atau menukar tayar baharu.


Beberapa bulan kemudian barulah penduduk dapat tahu bahawa si tauke dan anak buahnyalah yang selalu menabur benda2 tajam di serata jalan kampung. Sebab itulah banyak dan kerap tayar pecah.


Jadi, jika ditanya kepada tauke kedai basikal itu, dia akan menyalahkan tayarlah. Dia tak ceritalah tentang benda2 yang ditaburkannya ke serata kampung itu sebagai sebenar-benar punca. Lagi banyak ditabur, lagi banyaklah dia menuai hasil.


1/12/22


*Teringat sawah padinya yang luas dan banyaknya pokok2 besar di sekeliling kampung. Pokok2 kelapanya tinggi menyayup. Di dalam tali airnya ada banyak ikan.

Yang 1,4,5 dan 90 Peratus

 

1% - para pemain yang sebenar

4% - boneka kepada yang 1%

5% - yang menyedari dan berusaha untuk menghalang yang 1% dan yang 4%

90% - yang mengikut yang 4%

 

Yang 1% menggunakan yang 4% untuk menghalang yang 5% daripada menyedarkan yang 90%.


Yang 5% berusaha untuk melepasi halangan yang 4% untuk menyedarkan yang 90% daripada percaturan yang 1%.

 

Disember 2022

Dakwah Ustaz Kat FB Laju Benor Katanye

 

Komen : Dakwah ustaz kat FB laju benor. Tak terkejor. Tapi saya try follow.


Balasan : Ada masa laju mengalahkan ribut tapi ada juga masa lembab mengalahkan siput. Tuan ikut mana yang berkesempatan sahaja. Nanti musim2 update lambat macam siput, masa tu baru tuan cover balik le rakaman2 pengajian :)


18/12/22

Sedikit Tentang Perubatan Sufi

 

Ada satu penulisan pendek yang saya buat berbunyi : "Kadang2 sakit berterusan bukan kerana saka tapi kerana suka2 kurung haiwan. Lepaskan haiwan, lepaslah penyakit - rawatan sufi."


Seorang sahabat menulis komen : "Bagaimana dengan bela ikan dalam akuarium ustaz? Dulu masa baru2 kahwin saya bela ikan. Ada satu kali ikan macam bercakap. Saya tanya dia kenapa tak bertelur, tak membiak? Pasangan dah ada. Ikan kata nak membiak macam mana, tempat sempit, aku stress. Saya terus lepas semua ikan kat Tasik Putrajaya."


Jawapan kita :

Alhamdulillah. Syukur. Tahniah. Bagus sungguh tindakan tuan itu.

Sebenarnya bela ikan, burung, arkus, kura-kura, serangga dan yang seumpama dengannya dalam hal ini iaitu yang berkaitan dengan pengekangan kebebasan (kurungan, ikatan) adalah mengikut niat, kesesuaian tempat, masa dan bilangan.


NIAT


Umumnya walaupun tempatnya kecil tetapi jika dalam hal2 yang molek tujuannya seperti untuk kajian bermanfaat, pelajaran (contohnya di zoo, taman2 tertentu), pembiakan (terutamanya haiwan2 yang semakin berkurangan), keselamatan, rawatan, dilatih untuk tugas2 tertentu (memburu, hantar surat, perisikan, senjata), dan sebagainya adalah dibolehkan. Tentulah tidak sesuai jika niatnya atas tujuan saja-saja, suka-suka, sekadar melayan hobi dan sebagainya.


TEMPAT


Jika mahu dipelihara atas tujuan saja-saja, suka-suka atau hobi sahaja, pergerakan haiwan itu janganlah terhad sangat. Jika ikan, biarlah sampai ia dapat "berlari" (meluncur dengan laju). Kasihan mereka jika mereka sekadar boleh "berjalan" beberapa kali badan lalu berputar2 sahaja. Kalau boleh elakkan mengurung ikan di dalam akuarium melainkan akuarium itu betul-betul besar. Jika arnab, biarlah sampai ia boleh berlari. Janganlah mereka baru meloncat dua tiga kali, sudah sampai ke tepi jaring. Jika burung, biarlah mereka sampai boleh terbang dan melayang buat beberapa saat (hal ini sangat sukar untuk dilakukan).


Macam manusia jugalah. Jika kita diletakkan di suatu bilik yang hanya boleh duduk, berdiri dan melangkah dua tapak ke hadapan, belakang, kiri dan kanan, tentulah kita sangat menderita. Contohnya sel khas untuk banduan tertentu. Tapi jika tempat itu agak luas sehingga kita dapat berjalan berlenggang dengan laju dan boleh berlari-lari anak, kita sudah agak selesa. Contohnya seluas bilik darjah. Itu pun kita tetap tak boleh duduk lama dalam bilik itu melainkan kena keluar ke lapangan juga.


MASA


Jika untuk kajian dan rawatan, habis tempoh masanya dan haiwan itu masih hidup, lepaskanlah semula. Jangan dipanjang2kan. Jika untuk latihan perburuan dan seumpamanya di atas tadi, kenalah bagi masa untuknya keluar beriadah dengan riadah yang sesuai. Janganlah dikeluarkan waktu hendak diguna sahaja. Begitulah antara contohnya.


JUMLAH/BILANGAN


Jika untuk pameran (pelajaran) dan kajian, cukuplah kurung beberapa ekor sahaja. Elakkan berbanyak-banyak. Begitulah antara contohnya.


PENUTUP


Sangat banyak lagi hal ehwal dalam ilmu perubatan sufi. Cuma dalam hal di atas, kita boleh ringkaskan sebegini sahajalah :


Umumnya, sebagaimana engkau membebaskan mereka daripada kurungan, insya-Allah sebegitulah keluarnya masalah-masalahmu. Wallahua'lam.


18/12/22


***Zaman aktif merawat dulu, perubatan jalan kesufian sebegini biasanya hanya dibuat setelah pesakit berulang kali datang berubat pun masih belum ada perubahan.