Wednesday, September 28, 2022

Antara Cara Merawat Penyakit Hati

 

Assalamualaikum. Saya nak bertanya berkenaan hati atau qalbu. Jika ada penyakit hati, macam mana nak rawat? Contohnya sombong, riak.


JAWAPAN : Waalaikumussalam. Mohon maaf lewat membaca dan membalas.

Antara cara yang sesuai :


1. Mula2 kita minta kepada Allah agar Dia jadikan kita orang yang tidak sombong dan tidak riak. Hal ini kerana pada hakikatnya hanya Dia sahaja yang ada kuasa untuk menentukan dan mengubah sesuatu termasuklah hati kita. Selain daripada Dia, langsung tidak punya walau sezarah upaya untuk mengubah apa-apa. Dia sahaja yang dapat menundukkan atau membuang sifat sombong dan riak daripada diri kita. Makhluk2 lain termasuklah diri kita sendiri tidak ada kuasa untuk melakukan hal tersebut. Itu dari segi hakikatnya.


2. Kita kena selalu ingatkan diri kita bahawa dari segi hakikatnya juga tidak ada yang punya KEHEBATAN selain daripada Allah. Dia sahaja satu-satunya YANG ADA HEBAT. Jika kita ada berasa mempunyai hebat walau sedikit pun, dari segi tasawufnya hal itu bererti sudah syirik. Syirik itu paling berbahaya. Maka selalulah kita tekankan kepada diri dengan kata (sebagai contoh) : "Aku tak mahu buat syirik. Allah sahaja yang ada hebat. Aku langsung tak ada hebat." Elok juga jika dapat selalu diucapkan untuk peneguhan. Hal ini kerana sombong dan riak itu datangnya daripada berasa ada hebat. Jika perasaan ADA HEBAT itu berjaya ditundukkan atau dihilangkan, maka insya-Allah susahlah atau tiadalah perasaan sombong dan riak.


3. Kita banyakkan istighfar dengan menghayati perasaan memohon keampunan. Apabila dosa-dosa kita diampunkan, maka mudahlah permohonan2 kita untuk dikabulkan oleh-Nya termasuklah doa agar dijauhkan daripada sifat sombong, riak dan sifat2 mazmumah yang lain.


4. Kita renungkan... sifat sombong, riak dan sebagainya itu ibarat api marak yang sedang rakus membakar daun-daun kering. Sebegitulah sifat sombong dan riak itu menghanguskan pahala2 kita, maqam kita di sisi Allah, dan kasih sayang Allah kepada kita. Tentu sahaja kita tidak mahu hal itu berlaku kerana kerugiannya terlalu besar.


Begitulah antara langkah-langkah yang boleh diambil. Semoga bermanfaat. Dan tolong doakan saya juga.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

20/9/22 (tarikh soalan)

28/9/22 (baru dapat menjawab)


No comments: