Antara soalan yang selalu dikemukakan kepada saya ialah : "Pernah bermimpi akan Imam al-Ghazali?" Maka selalulah saya menjawab hal sama berulang-ulang sama ada secara berhadapan atau melalui media internet. Semalam ada seorang lagi yang bertanya. Jadi saya berfikir ada baiknya saya menulis satu jawapan agar mudah digunakan pada masa-masa akan datang.
1. Saya pernah satu kali bermimpi akan Imam al-Ghazali yang beliau kelihatan di dalam mimpi itu
2. dan pernah satu kali bermimpi yang beliau tidak kelihatan di dalam mimpi itu tetapi beliau ada di sana.
Oleh kerana dalam mimpi kedua itu beliau tidak kelihatan, biasanya jika ditanya, untuk meringkaskan bicara maka saya akan menjawab pernah bermimpi akan beliau sekali sahaja.
MIMPI PERTAMA
Mimpi ini berlaku sudah lama. Mimpi ini ringkas sahaja. Imam al-Ghazali melintas di hadapan saya. Itu sahaja. Sungguh pun sangat ringkas, tetapi sebenarnya ada dialog ringkas yang bukan dalam bentuk kata-kata berbunyi dan bersuara. Hal ini sukar untuk dijelaskan tetapi saya ceritakan sekadar yang tertulis oleh saya sahajalah.
Dalam masa beberapa saat sahaja itu seolah2 ada dialog antara hati kami.
Saya bertanya, "Boleh saya ikut tuan imam?"
Tanpa berhenti, beliau menjawab, "Aku sendiri ikut (menuju) R4S (Rasulullah saw, 4 orang sahabat paling utama, dan sahabat2 utama yang lain) dan sedang menuju kepada mereka. Sesiapa yang mengikut aku pun, aku bawa kepada (ke arah, menuju) mereka juga."
Tamat mimpi.
Begitulah mimpi yang sangat ringkas itu. Melintas dan berjalan dengan lajunya Imam al-Ghazali dalam mimpi itu bererti beliau dengan bersungguh-sungguh lagi pantas semasa hayatnya "menuju" ke arah R4S. Wallahua'lam.
MIMPI KEDUA
Pada penghujung tahun 2019, saya bermimpi sedang menghadap salah satu kitab karya sang mujaddid itu (Al-Ghazali) iaitu kitab Minhaj al-'Abidin yang ada di rumah. Kitab itu sedia terbuka di hadapan saya dan sedang saya pegang kedua-dua tepinya walaupun ia berada di atas sesuatu (yang mungkin suatu meja kecil atau yang seumpamanya). Keadaan sekeliling gelap. Yang kelihatan hanyalah kitab Minhaj. Samar-samar sahaja kelihatan kitab itu namun ada bahagian2 pada kitab itu yang bercahaya, seolah-olah disuluh atau disinari suatu cahaya.
Saya pun melihat bahagian itu dan membacanya. Ketika itu qalbu saya memang maklum bahawa Imam al-Ghazali ada di situ dan mahu saya membaca bahagian itu, cuma saya tidak melihatnya. Wallahua'lam.
Setelah terjaga, saya tidak ingat apa yang saya baca itu tetapi saya tahu kedudukannya di dalam kitab Minhaj. Sungguhpun begitu, saya tidak terus mencarinya melainkan setelah beberapa hari.
Beberapa hari kemudian, saya pun membuka kitab Minhaj dan terjumpalah bahagian yang bercahaya yang saya baca di dalam mimpi tersebut. Isinya nampak biasa2 sahaja iaitu tentang jangan terpesona dengan keduniaan. Begitulah pemahaman saya pada waktu itu.
Jadi, saya sekadar kongsikanlah bahagian2 yang tersuluh di dalam kitab Minhaj al-'Abidin itu dalam mimpi tersebut. Wallahua'lam.
Imam al-Ghazali menulis : "Aku akan kemukakan contoh bagimu tentang hal itu. Yakinlah bahawa pandangan seperti itu boleh berlaku dengan mudah. Umpamanya seseorang yang membuat suatu kuih yang lengkap syaratnya, dicampur dengan gula secukupnya, (tetapi) ditambah pula dengan sedikit racun yang berbahaya. Ketika hal itu berlaku, ada orang yang melihatnya dengan mata kepala atau mata qalbu) dan ada pula orang yang tidak melihatnya."
"Setelah kuih itu masak, dihidangkanlah kepada kedua-dua orang tadi dengan ditaburi hiasan yang menarik selera. Bagi orang yang melihat atau mengetahui bahawa di dalamnya ada racun, maka dia akan menjauh dan sama sekali tidak ada niat atau keinginan untuk memakannya. Dia tidak menoleh sedikit pun kepada kuih itu, seolah-olah dia sedang berhadapan dengan hidangan daripada api bahkan lebih bahaya daripada api. Hal ini berlaku kerana dia tahu dengan yakin bahawa kuih itu berbahaya dan dia tidak mahu tertipu dengan hiasan zahirnya sahaja."
"Ada pun yang seorang lagi itu tidak mengetahui yang kuih itu ada racunnya, maka dia pun terpesona dengan rasa dan hiasan lahirnya, serta dia sudah sangat teringin lagi tidak sabar untuk memakannya. Di samping itu dia berasa sangat hairan dengan orang yang tidak mahu memakan kuih itu. Bahkan sampai dia menganggap orang yang tidak mahu itu sebagai orang yang bodoh."
Tulis Imam al-Ghazali lagi : "Perbezaan pendapat antara dua golongan itu disebabkan yang satu golongan itu berhati-hati dan berilmu, sedangkan yang satu golongan lagi jahil dan sangat cuai walaupun bentuk, sifat dan tabiat kedua-duanya adalah sama iaitu sama-sama manusia biasa."
TAMAT
Begitulah kisah dua mimpi tersebut. Biasa-biasa sahaja paparannya. Tiada yang ajaib2 paparannya sebagaimana mimpi2 sebahagian orang akan tokoh2 tertentu. Namun sangat bersyukur rasanya. Semoga mata hati kita semakin dipertajam oleh-Nya.
Jadi selepas ini jika ada lagi yang bertanyakan tentang bermimpi akan Imam al-Ghazali, dapatlah saya share terus penulisan ini kepada mereka.
24/9/22
No comments:
Post a Comment