Bertanyalah seorang hamba Allah , "Selawat apakah yang terbaik?"
Jawab sahaya, "Di sana sini ada sahaja yang mengatakan selawat itu ini yang terbaik. Masing-masing dikhabarkan luar biasa khasiatnya. Maka pilihlah salah satu lalu istiqamahlah amalkan. Sekiranya mahu dua, tiga atau lebih pun dipersilakanlah. Semoga dimudahkan Allah."
Di kira perbualan sudah pun tamat, tetapi bertanya lagi si hamba Allah, "Yang itu hamba sudah sedia maklum. Cuma hamba mahu dengar kata2 tuan hamba sendiri."
Setelah beberapa lama, sahaya pun menulis :
Ibarat 1000 pukulan pulang ke asal,
1000 pedang pulang ke asal,
maka 1000 kalimah juga pulang ke asal,
1000 syahadah pulang ke asal,
dan 1000 zikir pun pulang ke asal.
1000 selawat?
Sama, pulang ke asal.
Asalnya kita satu diri
yang datang "daripada" Diri.
Kemudian menjadi banyak diri,
lalu wujudlah diri sendiri,
sehingga lupa kepada diri.
Disangka diri sendiri
ialah diri yang mula-mula tadi.
Maka yang didapatnya itu diri sendiri
bukannya diri
dan bukan juga Diri.
Kembali kepada bicara...
Pada asalnya kita sudah punya segala,
selawat utama begitu juga,
sehinggalah pada permulaan jalan pulang.
Cuma, ia belum berisi cukup isi.
Dalam pertengahan jalan pulang,
kita mula mencari cabang.
Dalam akhir2 jalan pulang,
maka lebih bercabang2.
Kita akan terhenti,
jalan pulang selawat kita juga terhenti
setakat mana usia kita
yang ditentukan
pada jalan pulang.
Tamsilnya - Sewaktu mula-mula hendak belajar kung fu, Ali diminta menyerang dengan tangan oleh gurunya. Ali yang tidak ada sebarang asas pun cuba menumbuk. Gurunya berkata, "Tak betul tu." Lalu si guru pun mengajarkan cara gaya menumbuk yang betul.
20 tahun kemudian, Ali sudah menguasai kesemua 108 cara gaya serangan tangan kung fu alirannya. Banyak antaranya yang dahsyat2, dengan gaya2 yang memukau, dan kesan2 yang luar biasa.
Ramai murid si guru juga sudah bertaraf pendekar termasuklah Ali. Murid A mengatakan gaya ke 97 paling berbisa. Murid B kata gaya ke 104. Murid C kata gaya ke 108. Begitulah seterusnya.
"Jurus ke-95 lebih baik daripada 107 jurus yang lain."
"Jurus ke-100 itu 10 kali ganda lebih kuat daripada segala jurus."
"Jurus ke-108 itu penamat segala jurus."
"Jurus ke-44 itu ibarat 1000 jurus dalam seluruh dunia kependekaran.
Dan pelbagai kelebihan lagi yang diuar-uarkan oleh masing2 pihak.
Suatu hari si guru berasa hayatnya sudah tidak berapa lama. Lalu diamanahkannya Ali sebagai sifu utama. Ali pun diperturunkanlah serangan tangan paling afdhal.
Alangkah terperanjatnya Ali kerana cara gaya serangan paling utama itu tidak lain ialah tumbukan yang dibuatnya sewaktu kali pertama diminta menyerang dengan tangan oleh gurunya 20 tahun yang lalu. Segala kehebatan 108 jenis serangan tangan itu terangkum di dalam tumbukan asalnya pada zaman dia bodoh-bodoh dahulu. Cuma bezanya, 20 tahun yang lalu serangan tangannya itu belum berisi. Tetapi hari ini serangan tangannya itu sudah berisi malah cukup isi dengan semua intipati 108 serangan tangan tadi.
Si guru juga ada berkhabar, bahawa pada zaman si guru dan kawan2nya belajar dulu, beberapa orang antara mereka sudah dengan sendirinya mendapat serangan semulajadi itu sebelum dimaklumkan oleh mahaguru mereka lagi. Hebat orang dulu-dulu.
Rupa-rupanya... cuma perlu kembali kepada fitrah, kepada semulajadi, kembali ke jalan pulang (yang juga merupakan titik asal perjalanan). Itu sahaja rahsia besarnya. Sejak itu, Ali pun tiada hairan lagi menyaksikan para pendekar di bawahnya yang masih saling berbeza pandangan tentang cara gaya yang manakah dalam 108 serangan itu yang lebih afdhal. Ali sudah tidak hairan dan tidak terkesan lagi, kerana di dalam dirinya sudah ada jurus asal yang bersih lagi suci.
Allahumma solli 'ala Muhammad.
Pada awalnya kita mendapat "Tiada Ilah selain Allah",
tetapi ketika itu belum berisi.
Untuk mengisinya di sepanjang jalan pulang
maka pelbagai pihak pun cuba menghayati
dengan kaedah itu dan ini.
Ada yang "Tiada Tuhan selain Allah",
ada yang "Tiada Yang Disembah selain Allah",
ada yang "Tiada Yang Berkuasa selain Allah",
"Tiada Yang Ada selain Dia",
"Tiada Aku selain Aku"
dan sebagainya.
Macam-macam cerita ada.
Ada yang benar dan ada yang tidak.
Namun apabila sudah benar-benar terisi,
pada hujungnya
tetaplah kembali kepada
"Tiada Ilah selain Allah" jua.
Bukankah akhir kalimat nanti
sebelum nyawa berlepas pergi
itulah kalimat yang kita idami?
Barulah tersedar...
Yang pertama itu rupa2nya yang terakhir.
Yang terendah itu rupa2nya yang tertinggi.
Yang termudah itu rupa2nya yang terumit.
Yang teringkas itu rupa2nya yang terluas.
Ibarat sebatang pokok besar di hutan.
Bermulanya dengan benih sebiji.
Ada yang hendak bawa pulang akar,
ada yang hendak bawa pulang batang,
atau dahan2, ranting2, daun2, bunga2, buah2...
Tetapi ahli2 awwal (arifbillah),
dan seterusnya ahli2 akhir dan ahli2 kamil
membawa pulang salah satu bijinya sahaja
kerana kesemua akar, batang, dahan dan lain2 itu
sudah terangkum di dalam biji.
Sebab itulah kadang2 doa AHLI sufi itu sangatlah pendeknya walaupun ribuan mintanya. Disebutnya : "Ya Allah... ya Allah... ya Allah...." sahaja, sebagaimana lafaz Zikir Harian hari Jumaat itulah. Doa kita pula? Selain "Ya Allah", kita katakan juga mohon dipanjangkan umur, diluaskan rezeki, disihatkan tubuh badan, diindahkan rupa, dicapaikan hajat, dibanyakkan anak, dipercepatkan naik haji, dimajukan perniagaan... dan bermacam-macam lagi. Semuanya sangat bagus, teruskan. Cuma dalam medan ini kita sedang berbicara sufi, maka "yang hujung2" itulah yang kita maksudkan. Ia tidaklah sama dengan bicara yang bukan khusus bicara sufi.
Kesimpulannya, boleh sahaja hendak dan menyudahi "jalan pulang" sebarang versi selawat yang benar kerana bagus2 belaka. Bertanyalah kepada guru2 tua anda agar diminta jalan pentarbiyahannya, mengikut kesesuaian.
Berkata ahli2 yang kamil, ahli2 yang akhir dan sebahagian ahli2 yang 'arif, "Jika engkau mahu begmu yang asal, hendaklah engkau mengosongkannya lebih dahulu. Barulah dapat begmu yang asal. Maka ketika itu insya-Allah barulah begmu akan terisi penuh. "
Wallahua'lam.
Abu Zulfiqar al-Amsyari
2/9/22
***Melencong ke Pedang Setiawan... untuk sesiapa yang mahu menguasai ilmu tarung tertinggi iaitu Hikmat Seribu Pedang Pulang ke Asal, mereka mestilah membatalkan segala hikmat (ilmu tarung) yang mereka miliki. Sebab itulah hampir2 tidak ada pendekar yang dapat menguasainya kerana tidak sanggup berkorban untuk mengosongkan diri lalu menjadi orang biasa yang tiada ilmu tarung... kecuali Pendekar Tanpa Nama.
***Kosong tidak wujud. Kosong itu penuh.
***Sukarnya untuk berusaha menghampirkan kepada faham.
No comments:
Post a Comment