Saturday, September 3, 2022

Jiwa Generasi Dulu dan Sekarang

 

Zaman muda bapa-bapa dulu (70-an, awal 80-an) di tempat saya dan sekitarnya, pembelajaran dan khatam silatnya hebat-hebat lagi berbahaya. Tapi pada zaman kini (selepas 2000-an), umumnya murid-murid sudah tidak dilatih dan dikhatamkan sebegitu. Jika dibuat sebagaimana zaman dulu-dulu juga, daripada 40 orang murid dalam satu gelanggang, mungkin tidak ada seorang pun yang khatam. Jika dapat seorang sahaja pun, itu sudah dikira sangat terpencil lagi luar biasa.


Khatam kerisnya kena bertikam dengan guru dalam satu kain pelekat.

Khatam lembingnya kena duduk atau berbaring di bahagian bawah aliran air terjun lalu guru lepaskan lembing turun melalui aliran air terjun itu. Silap2 lembing boleh terpacak atas bahu, belakang atau kepala.

Khatam keyakinannya kena terjun ke dalam lubang separas kepala yang dipenuhi cerucuk-cerucuk buluh runcing pada waktu malam. Jika pada waktu siang, mata ditutup kain hitam.

Dan pelbagai lagi.


Zaman kini hampir-hampir sudah tidak ada yang sebegitu. Biasanya untuk khatam sesuatu senjata contohnya, cukup dengan menunjukkan bunga, jurus, pamerkan pergerakan, melakonkan tempur yang sudah dirancang, atau "bermain" dengan pasangan mengikut aturan2 gelanggang.


Hal ini antaranya kerana jiwa generasi sekarang tidak sebagaimana jiwa generasi dulu-dulu. Ada orangnya tetapi mungkin 1 dalam 10,000. Maka guru2 silat terpaksalah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk disesuaikan dengan tahap kesediaan generasi hari ini walaupun dari segi kualitinya nanti akan berkurangan. Jika tidak, semakin sedikitlah orang hendak belajar silat dan akhirnya nanti tiada penyambungnya.


Generasi terkemudian ini mahu yang kurang risiko, yang cepat, yang mudah, yang nampak gah, yang tidak mengganggu keselesaan hidup, yang kesukaan ramai, yang boleh buat duit, yang kurang pengorbanan atau yang banyak bermajlis-majlis.


Itu kisah orang-orang silat.


Begitu jugalah halnya dalam pelajaran keruhanian. Umumnya jiwa orang sekarang tidak sebagaimana orang dulu2. Maka banyak hal kena dilonggarkan asalkan murid-murid tidak berhenti belajar walaupun dari segi kualitinya akan banyak berkurangan. Harapannya agar ilmu2 ini tidak pupus. Insya-Allah masih ada 1 dalam 10,000 tetapi entah bila akan munculnya dan entah muncul atau tidak. Yang lebih penting, tarbiah terus sahaja dijalankan. Esok lusa pada Allah sahajalah sebenar2 pengetahuan tentangnya.


3/9/22


***Teringat zaman belajar pada sepanjang 80-an. Pembaris panjang 1 meter patah apabila guru menghinggapkannya ke belakang murid (bukan kerana pukulannya melampau tetapi kerana sudah banyak kali menghinggapi murid), kena rotan tiga kali di punggung depan perhimpunan, buku nota guru dihempuk ke kepala (sekadar hempuk mendidik, bukan hempuk yang melampau dengan niat untuk merosakkan), kena penampar (penampar yang mengajar, bukan penampar melepas geram), kena ketuk ketampi 100 kali, kena salin semula kesalahan tugasan 1000 kali, usung meja atau kerusi di atas kepala mengelilingi blok pondok, jalan itik pusing halaman, dan bermacam2 lagi kaedah mendidik, memberi pelajaran dan memberi pengajaran dipraktikkan. Namun murid2 tetap sayang akan guru2 mereka. Tidak ada ibu bapa yang datang mempertikai di pusat pengajian (kecuali kes2 yang melampaui batasan maka memang kena ada tindakanlah) malah dipesannya lagi kepada guru2 agar ditibai sahaja anak2 mereka jika melakukan kesilapan yang sepatutnya ditibai asalkan tidak rosak dan tidak cacat. Sebegitu jiwa orang dulu-dulu. Murid sekarang? Jangan dibuat pasal! Ditengking sedikit oleh si guru, silap2 esoknya sampailah penjaga bising2 di pusat pengajian.


No comments: