Wednesday, September 28, 2022

Antara Cara Merawat Penyakit Hati

 

Assalamualaikum. Saya nak bertanya berkenaan hati atau qalbu. Jika ada penyakit hati, macam mana nak rawat? Contohnya sombong, riak.


JAWAPAN : Waalaikumussalam. Mohon maaf lewat membaca dan membalas.

Antara cara yang sesuai :


1. Mula2 kita minta kepada Allah agar Dia jadikan kita orang yang tidak sombong dan tidak riak. Hal ini kerana pada hakikatnya hanya Dia sahaja yang ada kuasa untuk menentukan dan mengubah sesuatu termasuklah hati kita. Selain daripada Dia, langsung tidak punya walau sezarah upaya untuk mengubah apa-apa. Dia sahaja yang dapat menundukkan atau membuang sifat sombong dan riak daripada diri kita. Makhluk2 lain termasuklah diri kita sendiri tidak ada kuasa untuk melakukan hal tersebut. Itu dari segi hakikatnya.


2. Kita kena selalu ingatkan diri kita bahawa dari segi hakikatnya juga tidak ada yang punya KEHEBATAN selain daripada Allah. Dia sahaja satu-satunya YANG ADA HEBAT. Jika kita ada berasa mempunyai hebat walau sedikit pun, dari segi tasawufnya hal itu bererti sudah syirik. Syirik itu paling berbahaya. Maka selalulah kita tekankan kepada diri dengan kata (sebagai contoh) : "Aku tak mahu buat syirik. Allah sahaja yang ada hebat. Aku langsung tak ada hebat." Elok juga jika dapat selalu diucapkan untuk peneguhan. Hal ini kerana sombong dan riak itu datangnya daripada berasa ada hebat. Jika perasaan ADA HEBAT itu berjaya ditundukkan atau dihilangkan, maka insya-Allah susahlah atau tiadalah perasaan sombong dan riak.


3. Kita banyakkan istighfar dengan menghayati perasaan memohon keampunan. Apabila dosa-dosa kita diampunkan, maka mudahlah permohonan2 kita untuk dikabulkan oleh-Nya termasuklah doa agar dijauhkan daripada sifat sombong, riak dan sifat2 mazmumah yang lain.


4. Kita renungkan... sifat sombong, riak dan sebagainya itu ibarat api marak yang sedang rakus membakar daun-daun kering. Sebegitulah sifat sombong dan riak itu menghanguskan pahala2 kita, maqam kita di sisi Allah, dan kasih sayang Allah kepada kita. Tentu sahaja kita tidak mahu hal itu berlaku kerana kerugiannya terlalu besar.


Begitulah antara langkah-langkah yang boleh diambil. Semoga bermanfaat. Dan tolong doakan saya juga.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

20/9/22 (tarikh soalan)

28/9/22 (baru dapat menjawab)


Mimpi Dikejar Gajah

 

Salam ustaz. Kalau mimpi gajah kejar kami sekeluarga masuk dalam rumah, apa maksudnya?


JAWAPAN : Waalaikumussalam. Gajah dalam mimpi ini ialah pemerintah atau penyakit, atau kedua-duanya sekali. Maksudnya tuan sekeluarga terpaksa berkurung di dalam rumah. Mimpi ini mungkin menceritakan keadaan sewaktu PKP tempoh hari. Wallahua'lam.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

September 2022

Tuesday, September 27, 2022

Ke Mana Imam al-Ghazali Mahu Membawa Kita?

 

Ke mana Hujatul Islam Imam al-Ghazali dan jalannya mahu membawa kita? Antaranya Imam al-Ghazali menulis di dalamnya kitab induk Ihya' 'Ulumuddin pada Kitab Ilmu :


"Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa KESUDAHAN MENGENAL ALLAH TA'ALA (penamat, penghujung, kemuncak) ialah mengakui kelemahan diri daripada mengenal-Nya."


(Contoh peringkat bawah : "Kita mana boleh mengenal Dia. Cukuplah jika kita tahu dan mengakui yang Dia itu Tuhan kita, Dia tak sama dengan kita, kita hambanya, dsb ................. Tidak ada pencapaian yang lebih daripada itu.")


(Contoh peringkat atas : "Apabila sampai ke peringkat engkau tidak mendapat, maka ketika itulah engkau mendapat. Itulah pencapaian yang tertinggi.")


"Ada lagi yang mengatakan bahawa batas mengenal Allah Taala itu ialah apa yang sampai kepada aqidah orang kebanyakan iaitu beriman bahawa Allah Taala itu wujud, Maha Mengetahui, Maha Kuasa, Maha Mendengar, Maha Melihat dan Berkata-kata." (Ringkasnya peringkat2 ilmu al-iman, a'qidah, usuluddin, ilmu kalam)


"(Namun) Kami (Imam al-Ghazali, jalannya dan ahli-ahlinya) maksudkan dengan ilmu mukasyafah itu ialah terangkat hijab yang menutupi sehingga jelas kenyataan kebenaran Allah pada semuanya itu dengan sejelas-jelasnya, laksana mata memandang - yang tidak diragukan lagi. Hal itu dapat berlaku pada diri manusia sekiranya cermin hatinya tidak tebal dengar karat dan kotor dengan kotoran dunia. Sesungguhnya yang kami maksudkan dengan ILMU JALAN KE AKHIRAT ini ialah ilmu tentang cara menggosok cermin itu daripada kotoran-kotoran tadi yang menjadi dinding (hijab) daripada Allah Taala, daripada mengenal sifat-sifat dan af'alNya."


Tambah Imam lagi, "Dan jalan ke arah itu tidak lain dengan latihan (latihan2/riadah2 tasawuf, sufi, tarekat) - yang akan datang perinciannya nanti pada tempatnya dan dengan ilmu dan mengajarinya."


27/9 22

Sunday, September 25, 2022

Mencari Guru Kitab Ihya yang Ahli

 

HAMBA ALLAH MENULIS : Org yg ahli dlm kitab ihya ni kat mana nak cari? Dengar dari youtube je boleh ke? Saya pilih ustaz yg berkredibiliti.


Saya percaya tuan mesti boleh ajar saya.


PENJELASAN : Saya mengajarkan Tarekat Ghazaliyah. Sekiranya tuan berminat untuk belajar dan mengamalkan Tarekat Ghazaliyah dengan IKHLAS HATI kerana Allah, insya-Allah saya boleh membantu setakat yang saya tahu.


Tentang orang yang ahli dengan kitab Ihya', tuan kenalah berusaha dan berikhtiar untuk mencarinya sendiri. Saya dulu berguru dengan arwah guru saya. Cuma jika tuan mahu mencari ustaz YANG BENAR2 AHLI dan BENAR2 BERREDIBILITI (bukan sekadar yang biasa-biasa), panduan paling asas dalam hal ini ialah :


1. Orang itu hendaklah yang SUDAH BERGURU KITAB IHYA' SEHINGGA KHATAM. Jika seseorang itu mempunyai 10 PHD tetapi dia TIDAK PERNAH BERGURU kitab Ihya' dan sehingga khatam, tiba2 hendak mengajarkan kitab Ihya', dari mana dia mendapat pemahaman tentang isi kandungan kitab Ihya' itu? Hal sebegini sangat berbahaya! Jelas dia tidak ahli dan tidak berkredibiliti dalam hal ini.


2. Orang itu hendaklah yang diperakui oleh gurunya sebagai LAYAK MENGAJARKAN KITAB IHYA'.

Ringkasnya walau seseorang itu bertaraf ulama antarabangsa tetapi tidak disahkan oleh gurunya sebagai pengajar kitab Ihya', tiba2 dia mengajar kitab Ihya'. Hal sebegini juga sangat berisiko. Gurunya sendiri tidak mengiktirafnya sebagai pengajar yang ahli dan berkredibiliti sebagai pengajar, bagaimana dia sendiri pandai2 hendak mengajar orang lain?


3. Orang itu memang MEWIRIDKAN (membaca) kitab Ihya' pada SETIAP HARI. Orang2 yang ahli dan berkredibiliti dalam kitab Ihya' ini, selain daripada mewiridkan Al-Quran pada setiap hari, mereka juga mewiridkan kitab Ihya'. Biasanya mereka sudah khatam kitab Ihya' belasan atau puluhan kali. Walau orang itu mempunyai jutaan murid di serata dunia tetapi HANYA SESEKALI membuka kitab Ihya', kita khuatir dia tidak mempunyai pemahaman yang sepatutnya dicapai. Masih berisiko.


4. Orang itu memang selama hari ini BERPEGANG DAN BERAMAL dengan tasawufnya Imam al-Ghazali sekalipun berbeza mazhab fekahnya, sekalipun berbeza mazhab aqidahnya, dan SEKALIPUN DIA TIDAK bertarekat dengan TAREKAT GHAZALIYAH. Jika dapat yang memang sedia bertarekat Ghazaliyah lagilah bagus kerana insya-Allah lebih tajam pemahaman dan penghayatannya. Walau orang itu dianggap oleh orang ramai sebagai wali Allah tetapi dia tidak berpegang dan tidak beramal dengan tasawufnya Imam al-Ghazali, apatah lagi jika dia MENOLAK tasawufnya Imam al-Ghazali, maka bagaimana dia boleh mengajarkan kitab Ihya'? Besar kemungkinan dia akan tersesat dan menyesatkan orang lain.



Inilah 4 kualiti asas yang mesti ada jika tuan mahukan seorang guru pengajar kitab Ihya' yang benar2 ahli dan benar2 berkredibiliti (bukan sekadar yang biasa2). Semoga Allah memudahkan urusan tuan untuk menemuinya. Dan sekiranya tuan ada menemui orang2 sebegini, harap dapat dimaklumkan kepada saya untuk saya selidik lebih lanjut kerana saya juga mahu mengulang kaji pelajaran kitab Ihya' ini dengan mereka sekiranya berkesempatan.


Hendak belajar Tarekat Ghazaliyah dengan saya tentu sahaja boleh. Tarekat Ghazaliyah memang untuk semua. Cuma sebagai adabnya, kita tidak dibenarkan mengajak orang lain untuk bertarekat Ghazaliyah melainkan orang itu yang dengan sendirinya mahu bertarekat Ghazaliyah. Sebab itu kami tidak pernah mengajak orang. Tarekat Ghazaliyah ini tidak bermatlamat membanyakkan pengikut. Ajarannya disampaikan kepada sesiapa sahaja yang berminat sama ada orang itu sudah bertarekat atau tidak. Sesiapa yang tahu dan JELAS, boleh sahaja mengamalkan isi kandungan Tarekat Ghazaliyah itu. Semua pelajarannya adalah percuma sampai bila-bila pun.


Hendak menonton pengajian kitab Ihya' 'Ulumuddin di Youtube tentu sahaja boleh.

Hendak menonton pengajian kitab Ihya' 'Ulumuddin di Youtube SAHAJA jika untuk pemahaman yang asas2 dan pertengahan tentu sahaja boleh. Sebaik2nya ada orang yang boleh kita rujuk juga secara terus.

Hendak menonton pengajian kitab Ihya' 'Ulumuddin di Youtube SAHAJA untuk pemahaman lanjutan, tentulah tidak sesuai melainkan kena ditambah dengan ada orang yang kita boleh rujuk secara terus juga.

Umumnya begitu.


Wallahua'lam.


22/9/22

Beberapa Pertanyaan Tentang Tarekat Ghazaliyah

 

HAMBA ALLAH MENULIS : Assalamualaikum, tumpang tanya, mcm mana kalau saya nak join Tarekat Ghazaliyah ni ?


PENJELASAN : Waalaikumussalam. Tarekat Ghazaliyah ini tidak perlu di"join" kerana ia memang sudah siap2 diijazahkan kepada seluruh umat Islam yang mahu mengamalkannya. Jika tuan ada mengetahui sebarang amalannya, boleh terus diamalkan dengan qalbu yang ikhlas. Bahagian2 yang kurang jelas, boleh bertanya kepada kami.


Namun ada juga orang2 yang mahu memuaskan hati dengan diijazahkan dan berbai'ah secara berhadapan. Tidak ada keperluan untuk itu tetapi jika masih mahu juga, sila tunggu pengumuman2 di page ini untuk mengetahui tarikh dan tempatnya. Cuma kami maklumkan awal2, majlis2 berhadapan sebegitu jarang2 sangat diadakan (kerana tiada keperluan).


Tuan pernah berguru akan mana2 tarekat?


HAMBA ALLAH MENULIS : Saya belum pernah berguru dengan mana2 tarekat, hanya baca karya2 tasawuf sahaja & penulisan tentang tarekat.


PENJELASAN : Ertinya jika suatu hari nanti tuan mahu bertarekat, tuan kenalah bermula daripada YANG PALING ASAS supaya lurus elok perjalanannya.



HAMBA ALLAH MENULIS : Saya dah lama pasang niat nak bertasawuf, tapi belum jumpa guru sahaja, kemudian ada yg bagitau al-Ghazali bertasawuf tanpa tarekat.


PENJELASAN : Alhamdulillah. Syukur. Tahniah. Jika sudah begitu niatnya, segeralah berusaha dan berikhtiar untuk mencari guru tasawuf.


Imam al-Ghazali bukan sahaja bertarekat, malah beliau pada mulanya mengamalkan beberapa tarekat. Bahkan kemudiannya beliau mengasaskan tarekatnya sendiri iaitu Tarekat Ghazaliyah. Dan daripada Tarekat Ghazaliyah itu pula terlahir beberapa tarekat lain lagi. Jadi, tidak benarlah dakwaan yang mengatakan bahawa Imam al-Ghazali bertasawuf tanpa bertarekat itu.


Hal-hal yang berkaitan dengan Imam al-Ghazali khususnya dalam tasawuf, eloklah kita bertanya kepada orang2 yang memang berguru, mengamal dan membawa aliran tasawufnya sendiri khususnya yang bertarekat Ghazaliyah. Jika ditanyakan kepada orang2 yang tidak berguru, tidak mengamal dan tidak membawa ajaran tasawufnya Imam al-Ghazali, hampir2 pastilah kita tidak akan dapat tahu hal sebenar tentang manhaj tasawufnya. Jika kita mahu tahu tentang ajaran tasawufnya yang secara khusus atau lebih mendalam pula (iaitu Tarekat Ghazaliyah), jika ditanya kepada orang2 yang tidak berguru, beramal dan membawanya, sangat sukarlah untuk kita mengetahui kedudukan sebenar tentang lanjutan pelajaran tasawufnya itu.



HAMBA ALLAH MENULIS : Jadi ada la berniat nak follow sahaja kita ihya ulumuddin, tapi takut tersesat pula,


PENJELASAN : Sekiranya tuan belum dapat mencari guru atau pengajian yang berkaitan kitab Ihya' 'Ulumuddin, tuan bolehlah mula membacanya sedikit-sedikit buat sementara waktu. Kemudian tuan follow bahagian2 yang memang tuan SUDAH JELAS SAHAJA. Bahagian2 yang tidak jelas atau tidak berapa jelas, letakkan ke tepi sahaja dahulu. Berusaha dan berikhtiarlah untuk dapat berguru kepada orang2 yang tahu akan bahagian2 itu sehingga beroleh jelas. Insya-Allah suatu hari nanti apabila sudah jelas bahagian2 tersebut, barulah tuan amalkan. Dengan cara begini, insya-Allah tidak akan tersesat.


Tersesat memang boleh berlaku terutamanya jika :

i) kita tidak mahu berguru.

ii) kita berguru tetapi kepada orang yang tidak berkeahlian dalam kitab Ihya'.


Untuk mengelakkan hal itu berlaku, tuan kenalah berusaha dan berikhtiar agar dapat berguru kepada orang yang memang ahli dalam kitab Ihya' ini.



HAMBA ALLAH MENULIS : Malah saya baca al-Ghazali juga berguru dengan Abu Ali al-Farmadzi yg merupakan salah satu murysid Tarekat Naqsyabandiyah, selain tu al-Ghazali juga berguru dengan Yusuf an-Nassaj,


PENJELASAN : Hujjatul Islam Imam al-Ghazali mempunyai banyak guru dalam pelbagai bidang termasuklah bidang tasawuf. Al-Farmadhi dan An-Nassaj hanya sebahagian sahaja daripada guru-gurunya dalam tasawuf.


Al-Farmadhi merupakan salah seorang mursyid dalam Tarekat Taifuriyah, bukan Tarekat Naqsyabandiyah. Ratusan tahun selepas zaman Al-Farmadhi, barulah diasaskan Tarekat Naqsyabandiyah oleh Syeikh Bahauddin an-Naqsyabandi. Daripada Tarekat Taifuriyah ini lahir tarekat2 lain dan Naqsyabadiyah ialah salah satu daripadanya.


HAMBA ALLAH MENULIS : Jadi saya keliru, boleh ke saya bertasawuf sorang2 ?


PENJELASAN : Jika tasawuf peringkat asas, boleh sahaja diamalkan sorang2. Ada banyak pengajian umum tentangnya di serata tempat dan media. Tetapi jika peringkat pertengahan dan tinggi, hendaklah dengan berguru.



HAMBA ALLAH MENULIS : Adakah al-Ghazali memang pernah sebut yg beliau sudah ijazahkan kepada seluruh umat Islam ?


PENJELASAN : Semua ajaran Tarekat Ghazaliyah diperturunkan daripada seorang mursyid kepada murid dan mursyid seterusnya secara berkesinambungan termasuklah segala adab-adabnya, aturan-aturannya, rahsia-rahsianya dan sebagainya. Oleh kerana pertanyaannya berbunyi : "Adakah al-Ghazali memang pernah sebut?" Maka jawapannya : "Ya."


Begitu juga dengan kata2 Imam al-Ghazali yang lain seperti :

- tarekat ini hendaklah sentiasa selari dengan Al-Quran

- perbanyakkan kitab Ihya' ini dan sebarkan

- 10 bacaan harian ini hendaklah disyarahkan

- orang perempuan pun boleh amalkan tarekat ini

- tidak ada pakaian khusus dalam tarekat ini

dan sebagainya.


Semua kata2 ini diperolehi melalui tarbiyahnya secara berhadapan lalu diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi sehinggalah sekarang.


September 2022


Ke Mana Menghilangnya Tarekat Qusyairiyah

 

Seorang hamba Allah bertanya tentang salah satu tarekat yang awal dalam dunia Islam iaitu Tarekat Qusyairiyah. Adakah lagi tarekat itu sekarang?


JAWAPAN : Tarekat Qusyairiyah ialah salah satu daripada tarekat induk sebagaimana Tarekat Junaidiyah, Taifuriyah, Ghazaliyah dan lain-lain. Ia diasaskan oleh Imam al-Qusyairi ((987-1073 M). Sefaham saya, tarekat itu sebagai satu jalan yang tersendiri sudah tidak ada lagi pada zaman ini. Wallahua'lam. Namun begitu isi pelajarannya tentu sahaja masih ada kerana terserap masuk ke dalam pelbagai tarekat yang datang kemudian.


Setakat yang saya maklum, antara pewaris Tarekat Qusyairiyah ini ialah cucu Imam al-Qusyairi sendiri iaitu Syeikh Abdul Ghafir al-Farisi (1059-1135 M). Cucunya ini kemudiannya menjadi murid kepada Imam al-Ghazali dan mengamalkan Tarekat Ghazaliyah. Dikatakan cucunya ini merupakan orang pertama yang menulis biografi Imam al-Ghazali. Wallahua'lam.


25/9/22

Saturday, September 24, 2022

Mimpi Akan Imam Al-Ghazali

 

Antara soalan yang selalu dikemukakan kepada saya ialah : "Pernah bermimpi akan Imam al-Ghazali?" Maka selalulah saya menjawab hal sama berulang-ulang sama ada secara berhadapan atau melalui media internet. Semalam ada seorang lagi yang bertanya. Jadi saya berfikir ada baiknya saya menulis satu jawapan agar mudah digunakan pada masa-masa akan datang.


1. Saya pernah satu kali bermimpi akan Imam al-Ghazali yang beliau kelihatan di dalam mimpi itu

2. dan pernah satu kali bermimpi yang beliau tidak kelihatan di dalam mimpi itu tetapi beliau ada di sana.

Oleh kerana dalam mimpi kedua itu beliau tidak kelihatan, biasanya jika ditanya, untuk meringkaskan bicara maka saya akan menjawab pernah bermimpi akan beliau sekali sahaja.


MIMPI PERTAMA


Mimpi ini berlaku sudah lama. Mimpi ini ringkas sahaja. Imam al-Ghazali melintas di hadapan saya. Itu sahaja. Sungguh pun sangat ringkas, tetapi sebenarnya ada dialog ringkas yang bukan dalam bentuk kata-kata berbunyi dan bersuara. Hal ini sukar untuk dijelaskan tetapi saya ceritakan sekadar yang tertulis oleh saya sahajalah.


Dalam masa beberapa saat sahaja itu seolah2 ada dialog antara hati kami.

Saya bertanya, "Boleh saya ikut tuan imam?"

Tanpa berhenti, beliau menjawab, "Aku sendiri ikut (menuju) R4S (Rasulullah saw, 4 orang sahabat paling utama, dan sahabat2 utama yang lain) dan sedang menuju kepada mereka. Sesiapa yang mengikut aku pun, aku bawa kepada (ke arah, menuju) mereka juga."

Tamat mimpi.


Begitulah mimpi yang sangat ringkas itu. Melintas dan berjalan dengan lajunya Imam al-Ghazali dalam mimpi itu bererti beliau dengan bersungguh-sungguh lagi pantas semasa hayatnya "menuju" ke arah R4S. Wallahua'lam.


MIMPI KEDUA


Pada penghujung tahun 2019, saya bermimpi sedang menghadap salah satu kitab karya sang mujaddid itu (Al-Ghazali) iaitu kitab Minhaj al-'Abidin yang ada di rumah. Kitab itu sedia terbuka di hadapan saya dan sedang saya pegang kedua-dua tepinya walaupun ia berada di atas sesuatu (yang mungkin suatu meja kecil atau yang seumpamanya). Keadaan sekeliling gelap. Yang kelihatan hanyalah kitab Minhaj. Samar-samar sahaja kelihatan kitab itu namun ada bahagian2 pada kitab itu yang bercahaya, seolah-olah disuluh atau disinari suatu cahaya.


Saya pun melihat bahagian itu dan membacanya. Ketika itu qalbu saya memang maklum bahawa Imam al-Ghazali ada di situ dan mahu saya membaca bahagian itu, cuma saya tidak melihatnya. Wallahua'lam.


Setelah terjaga, saya tidak ingat apa yang saya baca itu tetapi saya tahu kedudukannya di dalam kitab Minhaj. Sungguhpun begitu, saya tidak terus mencarinya melainkan setelah beberapa hari.


Beberapa hari kemudian, saya pun membuka kitab Minhaj dan terjumpalah bahagian yang bercahaya yang saya baca di dalam mimpi tersebut. Isinya nampak biasa2 sahaja iaitu tentang jangan terpesona dengan keduniaan. Begitulah pemahaman saya pada waktu itu.


Jadi, saya sekadar kongsikanlah bahagian2 yang tersuluh di dalam kitab Minhaj al-'Abidin itu dalam mimpi tersebut. Wallahua'lam.


Imam al-Ghazali menulis : "Aku akan kemukakan contoh bagimu tentang hal itu. Yakinlah bahawa pandangan seperti itu boleh berlaku dengan mudah. Umpamanya seseorang yang membuat suatu kuih yang lengkap syaratnya, dicampur dengan gula secukupnya, (tetapi) ditambah pula dengan sedikit racun yang berbahaya. Ketika hal itu berlaku, ada orang yang melihatnya dengan mata kepala atau mata qalbu) dan ada pula orang yang tidak melihatnya."


"Setelah kuih itu masak, dihidangkanlah kepada kedua-dua orang tadi dengan ditaburi hiasan yang menarik selera. Bagi orang yang melihat atau mengetahui bahawa di dalamnya ada racun, maka dia akan menjauh dan sama sekali tidak ada niat atau keinginan untuk memakannya. Dia tidak menoleh sedikit pun kepada kuih itu, seolah-olah dia sedang berhadapan dengan hidangan daripada api bahkan lebih bahaya daripada api. Hal ini berlaku kerana dia tahu dengan yakin bahawa kuih itu berbahaya dan dia tidak mahu tertipu dengan hiasan zahirnya sahaja."


"Ada pun yang seorang lagi itu tidak mengetahui yang kuih itu ada racunnya, maka dia pun terpesona dengan rasa dan hiasan lahirnya, serta dia sudah sangat teringin lagi tidak sabar untuk memakannya. Di samping itu dia berasa sangat hairan dengan orang yang tidak mahu memakan kuih itu. Bahkan sampai dia menganggap orang yang tidak mahu itu sebagai orang yang bodoh."


Tulis Imam al-Ghazali lagi : "Perbezaan pendapat antara dua golongan itu disebabkan yang satu golongan itu berhati-hati dan berilmu, sedangkan yang satu golongan lagi jahil dan sangat cuai walaupun bentuk, sifat dan tabiat kedua-duanya adalah sama iaitu sama-sama manusia biasa."

TAMAT


Begitulah kisah dua mimpi tersebut. Biasa-biasa sahaja paparannya. Tiada yang ajaib2 paparannya sebagaimana mimpi2 sebahagian orang akan tokoh2 tertentu. Namun sangat bersyukur rasanya. Semoga mata hati kita semakin dipertajam oleh-Nya.


Jadi selepas ini jika ada lagi yang bertanyakan tentang bermimpi akan Imam al-Ghazali, dapatlah saya share terus penulisan ini kepada mereka.


24/9/22



Thursday, September 22, 2022

Hamka Terjemah Kitab Ihya?

 

Assalamualaikum ustaz. Saya ada terbaca yang kitab Ihya' 'Ulumuddin ni ada versi yang telah diubah2 oleh orang Wahabi. Betul ke? Lagi satu, Ihya' 'Ulumuddin dari terjemahan arwah Prof Hamka ni boleh ke dibaca? Apakah isi kandungannya asli dan tidak diubah2? Sebabnya saya juga ada terbaca yang dulunya arwah Prof Hamka ni juga membawa fahaman wahabi dan pada penghujung usianya beliau telah kembali kepada landasan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Minta tolong penjelasan ustaz.


PENJELASAN SAHAYA : Waalaikumussalam. Setakat yang saya tahu, kitab Ihya' 'Ulumuddin yang dalam bentuk satu kitab penuh itu tidak ada orang yang mengubahnya. Pengubahan (sama ada secara langsung atau secara halus) berlaku kepada kebanyakan ringkasan2 kitab Ihya' 'Ulumuddin itu.


Ringkasan2 itu dikarang oleh orang2 yang datang kemudian daripada zaman Imam al-Ghazali. Ada bahagian2 dalam ringkasan2 mereka itu yang tidak membawa maksud (*tujuan, matlamat, objektif) yang sama sebagaimana maksud kitab asalnya. Sebab itulah dikatakan bahawa kebanyakan ringkasan kitab Ihya' sebenarnya lebih berperanan untuk membunuh kitab Ihya' itu sendiri.


Setakat yang saya tahu juga, tidak ada kitab terjemahan kepada kitab Ihya' 'Ulumuddin yang dilakukan oleh Prof. Hamka.


Wallahua'lam.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

22/9/22

Blog Debunga Teratai Syurgawi

Wednesday, September 21, 2022

Hendak Menang Pun Biarlah dengan...

 

Hendak menang biarlah dengan hujah,

tapi ramai juga yang lebih senang memilih fitnah.


Hendak menang biarlah dengan beradab,

tapi ramai juga yang lebih sedap memilih biadab.


Hendak menang biarlah dengan fakta,

tapi ramai juga yang lebih suka memilih reka-reka.


Cari kebenaran biarlah dengan pertimbangan,

tapi ramai yang lebih suka mengikut perasaan.


Cari kebenaran biarlah dengan saling meraikan,

tapi ramai juga yang pilih ejekan dan tawaan.


Cari kebenaran biarlah dengan mengakui kebenaran yang terserlah.

tapi ramai yang lebih suka pertahankan pegangan walaupun salah.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

20/9/22

Mimpi Berkenderaan di Alam yang Sangat Gelap

 

Hamba Allah bermimpi dia dan keluarganya berada di dalam kereta mereka yang sedang bergerak di sebatang jalan raya. Seluruh alam sekeliling gelap pekat hingga tidak terlihat suatu apa pun. Yang kelihatan hanya kawasan jalan raya yang disuluh lampu kereta mereka sahaja. Tiba-tiba mereka sudah berada di dalam rumah mereka. Ditanyakan kepada saya akan maksudnya.


JAWAPAN : Maksudnya orang yang bermimpi itu dan keluarganya telah, sedang dan akan melalui fitnah yang sangat berat, gelap dan besar. Namun mereka terus tabah melaluinya mengikut jalan/cara mereka dan setakat ini mereka masih terselamat. Wallahua'alam.


20/9/22

Mimpi Dikejar Gajah

 

SOALAN : Salam ustaz. Kalau mimpi gajah kejar kami sekeluarga masuk dalam rumah, apa maksudnya?


JAWAPAN : Waalaikumussalam. Gajah dalam mimpi ini ialah pemerintah atau penyakit, atau kedua-duanya sekali. Maksudnya tuan sekeluarga terpaksa berkurung di dalam rumah. Mimpi ini mungkin menceritakan keadaan sewaktu PKP tempoh hari. Wallahua'lam.


21/9/22