Dari mana datangnya nama Azazil? Dalam Al-Quran tidak
disebut. Dalam hadith? Saya tak jumpa. Nama itu ada disebut dalam kitab-kitab
tafsir. Daripada sumber-sumber agama lain, nama itu bersimpang-siur ceritanya.
Tetapi apabila sudah menjadi tradisi dalam Islam nama Azazil itu dikaitkan
dengan Iblis, kita pakailah.
Hujah segelintir orang bahawa Iblis tidak bersujud kepada
Nabi Adam kerana kononnya perintah untuk bersujud itu hanya untuk para malaikat
(sedangkan Iblis keturunan jin), dikira tertolak. Hal ini kerana Iblis sendiri
tidak keluarkan hujah sebegitu untuk menyokong tindakannya. Hujah yang
digunakannya : “Aku tidak layak bersujud kepada (sesuatu) yang Engkau
jadikan daripada tanah liat yang kering.” (Al-Hijr : 31)
Iblis itu jin atau malaikat?
Allah SWT berfirman : “Dan ketika Kami berfirman
kepada malaikat : “Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka bersujud kecuali
Iblis, dia berasal daripada golongan jin, lalu ia menderhakai perintah
Rabbnya.” (Al-Kahfi : 50)
Persoalan hakikat itu pekerjaan Allah, maka janganlah
kita sibuk-sibuk hendak persoalkan.
Yang kita kena sibuk persoalkan (bertanggungjawab) ialah
persoalan wilayah syariat.
Hal ini diperintahkan oleh Allah dalam firmanNya : “Tidak
dipersoal tentang apa yang Dia kerjakan (yakni wilayah hakikat), tetapi
merekalah (kitalah) yang akan dipersoalkan (di akhirat nanti tentang apa yang
kita kerjakan, yakni wilayah syariat). “ (Al-Anbiya’ : 23)
Siapakah antara yang terawal persoalkan kerja-kerja
wilayah hakikat?
Jawapannya : Iblis!
Apabila dia tidak mahu bersujud kepada Adam (tidak mahu
melaksanakan syariat), dia persoalkan kerja (takdir) Allah (yakni wilayah
hakikat), sebagaimana kisahnya : “Iblis berkata : Wahai Rabbku! Oleh kerana ENGKAU
YANG MEMBUATKAN AKU SESAT, demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala
jenis maksiat kepada Adam dan keturunannya di dunia ini, dan aku akan
menyesatkan mereka semua.” (Al-Hijr : 39)
Jadi, janganlah kita bersikap sebagaimana Iblis yang
sibuk-sibuk nak persoalkan wilayah hakikat. Buat sahajalah segala tuntutan
syariat.
-
Petikan2 daripada : Kitab Latihan Qalbu 1
(Youtube)
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
September 2019
No comments:
Post a Comment