Wednesday, September 18, 2019

20 Jenis Bahaya Lidah


20 JENIS BAHAYA LIDAH

Bahaya pertama : Lidah boleh membuatkan kita bercakap hal-hal yang tidak perlu.

Nab saw bersabda : “Antara kebagusan Islam seseorang manusia itu adalah dengan meninggalkan hal-hal yang tidak diperlukannya.” (Turmizi, Ibnu Majah)

Berkata-kata yang tidak perlu itu menyia-nyiakan waktu dan menambah panjang hisab kita di akhirat nanti. Lebih baiklah gantikan percakapan yang tidak perlu itu dengan contohnya berfikir atau berzikir.

Bahaya kedua : Boleh membuatkan kita banyak berkata-kata.

Yahya bin Abi Habib berkata : “Antara fitnah orang berilmu itu ialah berkata-kata lebih disukainya berbanding mendengar.

Ibrahm an-Nakha’I berkata : “Manusia dibinasakan oleh dua sifat iaitu lebih harta dan lebih kata-kata.

Bahaya ketiga : Boleh membuatkan kita bercakap kosong pada hal yang batil (yang maksiat, yang mendatangkan dosa).

Antaranya berbual tentang hal keadaan wanita dan lelaki, tempat-tempat bahan mabuk dan khayal,
Salman Al-Farisi berkata : “Manusia yang paling banyak dosanya pada Hari Qiamat ialah yang paling banyak kata-katanya tentang perbuatan maksiat terhadap Allah.”

Bahaya keempat : Boleh membuatkan kita berbantah-bantahan dan bertengkar.

Nabi saw bersabda : “Sesiapa yang meninggalkan pertengkaran sedangan dia benar, nescaya dibangunkan sebuah rumah baginya dalam jannah tertinggi. Dan sesiapa yang meninggalkan pertengkaran sedangkan dia salah, nescaya dibangunkan sebuah rumah baginya di tengah-tengah jannah.” (Turmizi, Ibnu Majah)

Bahaya kelima : Boleh menimbulkan permusuhan.

Sabda Nabi saw : “Orang yang sangat dimurkai oleh Allah ialah orang yang suka bermusuhan.” (Bukhari)

Ada pun orang yang teraniaya, yang menolong hujahnya dengan jalan agama, tanpa bersangatan, berlebih-lebihan dan tambahan perbantahan sekadar perlu, tanpa maksud kedengkian dan menyakitkan, maka perbuatan itu tidaklah haram. Begitu juga halnya dalam masalah pertengkaran.

Bahaya keenam : Boleh membuatkan kita memberat-beratkan dalam berkata-kata.

Nabi saw bersabda : “Ketahuilah, orang2 yang memberat2kan itu binasa. (3x)” (Muslim)

Ringankan, pendekkan dan mudahkan perkataan, kecuali dalam hal-hal yang memerlukan kelazatan bahasa untuk mengekalkan perhatian orang, seperti ketika berpidato.

Bahaya ketujuh : Boleh menimbulkan kata-kata yang keji, makian dan kotor.

Rasulullah saw melarang memaki orang-orang musyrik yang terbunuh pada Perang Badar. Sabdanya : “Janganlah kamu memaki mereka. Sesungguhnya tidak sampai sesuatu kepada mereka daripada kata-kata kamu. Dan (sebaliknya) kamu menyakiti orang-orang yang hidup. Ketahuilah bahawa kotor lidah itu tercela.” (An-Nasa’i, dengan sanad sahih)

Nabi saw bersabda : “Tidaklah orang mukmin itu pencela, pengutuk, pelaku kekejian dan berlidah kotor.” (Turmizi, isnad sahih)

Anatar kaedah untuk menjaga kebersahan lidah adalah dengan melapikkan kata-kata pada tempat yang sesuai, iaitu berkata-kata secara kinayah (sindiran Arab).

Allah Taala menyebut dengan kinayah : “menyentuh” untuk bersetubuh. Maka perkataan menyentuh, berteman dan seumpamanya adalah kinayah bagi berjimak. Dan tidaklah kata-kata itu keji.

Tidaklah ini khusus dengan berjimak sahaja, tetapi kinayah yang memakai perkataan qadha’ hajat untuk kencing dan berak, kerana hal itu termasuk yang disembunyikan. Setiap yang disembunyikan adalah malu untuk disebut secara terus (terang-terangan). Maka tiada sayugialah disebut kata-katanya yang terus, kerana itu adalah keji.

Begitu juga dipandang baik pada adat kebiasaan untuk menyebutkan secara kinayah tentang wanita. Maka tidak dikatakan “isteri kamu cakap begini begini” tetapi dikatakan “dikatakan di dalam kamar” atau “dikatakan di sebalik tabir” atau “kata ibu anak-anak”. Maka menggunakan kata-kata secara halus itu terpuji.

Begitu juga halnya dengan orang-orang yang punya kekurangan yang malu disebutkan. Tidaklah sesuai disebut terang-terangan akan penyakit sopak, botak, buasir dan lain-lain.B

Bahaya kelapan : Boleh membuatkan kita mengutuk

Kutuk adalah ibarat daripada menghalau dan menjauhkan daripada Allah Taala. Hal itu tidak dibolehkan kecuali terhadap orang yang bersifat dengan sifat yang menjauhkannya daripada Allah, iaitu kufur dan zalim. Lalu ia mengatakan : “Kutukan Allah ke atas orang zalim dan orang-orang kafir.”

Sabda Nabi saw : “Orang beriman itu bukanlah pengutuk.” (Turmizi, dipandangnya hasan)

Tingkat pertama : Kutukan yang bersifat umum. Contohnya : “Kutukan Allah ke atas orang-orang kafir, pembuat bid’ah dan fasik.” Yang ini boleh.

Tingkat kedua : Yang lebih khusus. Contohnya : “Kutukan Allah ke atas orang Yahudi, Nasrani, Majusi, Qadariyah, Khawarij, Rafhidi/Rafidhah.” Yang ini boleh.

Tingkat ketiga : Kutukan bagi orang tertentu. Yang ini berbahaya. Contohnya engkau katakan : “Si Zaid yang dikutuk Alah.”

Penjelasannya – setiap yang sudah tegas kutukannya pada agama, maka bolehlah mengutukinya. Contohnya : “Fir’aun yang dikutuk Allah.” “Abu Jahal yang dikutuk Allah.” Kerana telah jelas/tegas bahawa mereka mati dalam kekufuran. Yang tidak jelas dan tegas, kita kena sangat ebrhati-hati.

Bahaya kesembilan : Nyanyian dan syair

Telah kami sebutkan pada Kitab Mendengar akan hal-hal yang diharamkan tentang berkaitan nyanyian dan hal-hal yang dihalalkan. Maka tiadalah kami mengulanginya lagi.

Ada pun syair, yang baiknya itu baik dan yang buruknya itu buruk. Hanya bersungguh-sungguh untuk bersyair itu tercela.

Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya penuh rongga seseorang kamu dengan nanah sehingga membusukkannya adalah lebih baik daripada penuhnya rongga itu dengan syair.” (Bukhari, Muslim)

Kesimpulannya, melagukan syair dan menyusunnya itu tidaklah  haramkecuali berlebihan.

Bahaya kesepuluh : Senda gurau.

Asalnya senda gurau itu tercela dan terlarang kecuali sekadar sedikit yang dapat dikecualikan. Yang dilarang itu adalah berlebih-lebihan atau berkekalan bergurau (asyik bergurau). Berlebih-lebihan dalam bergurau akan mempusakai banyak ketawa, dan banyak ketawa itu mematikan qalbu dan menjatuhkan kehebatan diri dan kemuliaan diri. Sekiranya terlepas daripada bahaya itu, maka tidaklah tercela (kerana Nabi saw pun bergurau).

Umar ra berkata : “Sesiapa yang banyak tawanya, nescaya kurang haibahnya (kurang disegani orang).”

Umar ra berkata : “Sesiapa yang banyak cakapnya, nescaya banyak jatuhnya (salahnya). Sesiapa yang banyak jatuhnya, nescaya kurang malunya. Sesiapa yang kurang malunya, nescaya kurang wara’nya. Sesiapa yang kurang wara’nya, nescaya mati hatinya.”

Imam Al-Ghazali berkata : “(Banyak) tertawa itu menunjukkan kepada kelalaian akan akhirat.”

Sabda Nabi saw : “Sekiranya kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit tertawa.” (Bukhari, Muslim)

Said bin Al-‘Ash berkata kepada puteranya : “Wahai anakku! Janganlah engkau bersenda gurau dengan orang yang mulia, nanti dia sakit hati terhadap engkau.Dan jangan engkau bersenda gurau dengan orang yang rendah hina, nanti ia berani (pijak kepala) terhadap engkau.”

Bahaya kesebelas : Ejekan dan memperolok-olok

Perbuatan itu diharamkan apabila menyakitkan, sebagaimana firman Allah Taala : “Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah sekumpulan lelaki merendah-rendahkan (mentertawakan) sekumpulan yang lain, boleh jadi (yang ditertawakan itu) lebih baik daripada mereka. Dan jangan pula sekumpulan wanita (merendahkan) kumpulan wanita yang lain, boleh jadi (yang direndahkan itu) lebih baik daripada mereka.” (Al-Hujurat : 11)

Erti mengejek ialah menghina, melecehkan dan memberitahukan sifat yang memalukan dan kekurangan-keurangan dengan cara yang melucukan. Hal itu kadang-kadang berlaku dengan meniru perbuatan dan perkataan, dan kadang-kadang dengan isyarat dan tunjukan.

Apabila ada yang demikian itu di hadapan orang yang diejek, nescaya tidak dinamakan umpatan, tetapi mengandungi erti umpatan.

Ibnu Abbas berkata tentang firman Allah : “Aduhai, malangnya kami! Kitab apakah ini? Tidak ditinggalkannya perkara yang kecil dan yang besar melainkan dihitungnya semua?” (Al-Kahfi : 49)

Bahawa yang kecil “itu ialah tersenyum dan memperolok-olokkan orang mu’min. Dan “yang besar” itu ialah tertawa terbahak2 dengan yang demikian.
Sesungguhnya perbuatan itu diharamkan tentang orang yang berasa sakit dengan perbuatan itu.

Ada pun orang yang membuat dirinya terhina dan kadang-kadang ia bergembira dihinakan, nescaya adalah pengejekan tentangnya itu termasuk dalam jumlah senda-gurau.

Bahaya kedua belas : Boleh membuatkan kita membuka rahsia

Membuka rahsia itu dilarang kerana padanya menyakitkan dan penghinaan hak orang yang dikenal.

Sabda Nabi saw  : “Apabila seseorang berbicara sesuatu hal lalu kemudian ia berlalu pergi, maka itu adalah amanah.” (Abu Dawud, Turmizi)

Hasan al-Basri berkata : “Sesungguhnya termasuk pengkhianatan apabila engkau membicarakan rahsia saudaramu.”

Maka membuka rahsia itu satu pengkhianatan dan haram apabila padanya ada kemelaratan. Dan tercela jika tidak ada padanya kemelaratan.

Bahaya ketiga belas : Berjanji dusta

Berjanji dusta adalah sebahagian daripada tanda-tanda nifaq (munafik).

Allah Taala berfirman : “Wahai orang2 yang beriman! Tepatilah segala janji.” (Al-Ma’idah : 1)

Nabi saw bersabda : “3 perkara yang sesiapa ada pada dirinya, maka dia itu orang munafik sekalipun dia berpuasa, mengerjakan solat dan mengaku sebagai muslim iaitu : apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia menyalahi janji dan apabila diberi kepercayaan dia berkhianat.” (Bukhari, Muslim)

Rasulullah saw bersabda : “Ada 4 perkara yang jika sesiapa ada pada dirinya nescaya dia orang munafik. Dan sesiapa yang ada pada dirinya suatu sifat daripada yang 4 itu, nescaya ada padanya suatu sifat daripada nifaq, sampailah dia ditinggalkannya sifat tersebut. Iaitu apabila berkata-kata dia berdusta, apabila berjanji dia menyalahi janji, apabila membuat suatu perjanjian dia menyalahinya dan apabila bermusuhan dia menganiayai.” (Bukhari, Muslim)

Bahaya keempat belas : Dusta dalam kata-kata dan sumpah
Rasulullah saw bersabda : “Awaslah daripada berdusta! Sesungguhnya orang yang berdusta itu bersama-sama orang yang zalim. Kedua-duanya dalam naar.” (Ibnu Majah, An-Nasa’i)
Nabi saw bersabda : “Neraka Wail bagi orang yang berkata-kata lalu berdusta untuk mentertawakan orang ramai dengan kata-katanya itu. Neraka Wail baginya, Neraka Wail baginya.” (Abu Dawud, Turmizi)
Nabi saw bersabda sambil bersandara : “Tidakkah aku beritahu kepada kamu tentang dosa besar yang terbesar?” Iaitu mempersekutukan/mensyirikan Allah dan menderhakai ibu bapa.” Kemudian baginda duduk seraya bersabda : “Ketahuilah, dan juga berdusta (menipu).” (Bukhari, Muslim)

Bahaya kelima belas : Mengumpat
Firmn Allah SWT : “Dan janganlah mengumpat antara satu sama lain. Apakah seorang antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka kamu tiada menyukainya.” (Al-Hujurat : 12)
Sabda Nab saw : “Dan janganlah kamu mengumpat antara satu dengan yang lain. Adalah kamu semua hamba Allah yang bersaudara.” (Bukhari, Muslim)

Bahaya keenam belas : Fitnah
Firman Allah SWT : “Yang suka mencaci, lagi suka menyebarkan fitnah.” (Al-Qalam : 11)
Sabda Nabi saw : “Tidak akan masuk ke jannah orang yang membuat fitnah.” (Bukhari, Muslim)
Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang fasiq membawa berita, periksalah dengan saksama, agar kamu tidak sampai mencelakakan suatu pihak tanpa usul periksa, lalu kemudannya kamu menyesal atas perbuatan kamu.” (Al-Hujurat : 6)

Bahaya ketujuh belas : Talam dua muka. Gergaji dua mata.
Itulah kemunafikan. Orang jenis ini suka berdolak -dalik kepada dua pihak yang bertentangan/bermusuhan.
Sabda Nabi saw : “Sesiapa yang mempunyai dua muka di dunia, nescaya dia mempunyai dua lidah daripada naar pada Hari Qiamat.” (Bukhari, Abu Daud)

Bahaya kelapan belas : Bahaya pujian.
Ada 6 bahaya pada pujian . 4 pada si pemuji dan 2 pada yang dipuji.
Bahaya pada si pemuji :
i)                    Kadang-kadang terlebih dalam memuji lalu membawa kepada dusta.
ii)                   Kadang-kadang jadi riya’, kerana pujian itu menunjukkan kecntaan sedangkan di hatinya tidaklah sampai sebegitu cintanya kepada pihak yang dipuji. Maka ia menjadi riya’ dan munafik.
iii)                 Kadang-kadang memuji dengan tanpa usul periksa, layakkah pujian itu.
iv)                 Kadang-kadang pujiannya tu membuatkan gembira orang yang zalim atau fasik. Hal itu tidak dibolehkan.
Bahaya pada yang dipuji :
i)                    Boleh mendatangkan kesombongan dan kebanggan baginya.
ii)                   Boleh melemahkan usaha an amal kerana berasa dirinya sudah bagus.

Bahaya kesembilan belas : Dikhuatiri tersalah cakap tentang Allah dalam hal yang halus-halus (yang sukar diperasan.

Ibnu Abbas berkata : “Datang seorang lelaki kepada Rasulullah saw yang memperkatakan dengan Rasulullah saw tentang persoalan tertentu. Lalu orang itu mengatakan : “Masya Allahu wa syi’ta” (apa yang dikehendaki oleh Allah DAN apa yang engkau kehendaki). Lalu Nabi saw menjawab : “Apakah engkau menjadikan aku setanding/setara dengan Allah? Tetapi (sepatutnya katkanlah) : “Apa yang dikehendaki oleh Allah Yang Maha Esa.” (An-Nasa’i, Ibnu Majah)

Nabi saw bersabda : “Janganlah dikatakan oleh seseorang daripada kamu : “Apa yang dikehendaki oleh Allah DAN apa yang engkau kehendaki.” Tetapi katakanlah : “Apa yang dikehendaki oleh Allah, LALU/KEMUDIAN apa yang engkau kehendaki.” (Abu Daud, An-Nasa’i)

Seorang lelaki berpidato di sisi Rasulullah saw lalu mengucapkan : “Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia mendapat petunjuk. Dan sesiapa yang menderhakai KEDUA-DUANYA, maka sesunguhnya ia sesat.” Lalu Nabi saw berkata : “Katakanlah : Sesiapa yang menderhakai Allah DAN Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia sesat.” (Muslim)

Rasulullah saw tidak menyukai perkataan : “Sesiapa yang menderhakai KEDUA-DUANYA.”, kerana hal itu penyamaan dan pengumpulan.

Bahaya kedua puluh : Dikhuatiri akan bertanya yang dalam-dalam tentang Allah (tentang sifat-sifatNya, kalam-Nya dan sebagainya)

Pertanyaan orang awwam tentang persoalan agama yang sulit-sulit itu termasuk dalam bahaya yang terbesar. Dan termasuk dalam hal yang dapat mengobarkan fitnah.

- Diringkaskan daripada Ihya' 'Ulumuddin


No comments: