ADAB SEBELUM MAKAN BERSENDIRIAN
1. Makanan itu
hendaklah halal dan baik. Baik itu adalah baik pada agama dari segi
mengusahakannya agar sesuai dengan sunnah dan wara’.
2. Membasuh
tangan. Maksudnya pastikan kebersihan peralatan untuk makan sama ada dengan
tangan atau dengan peralatan lainnya.
3. Makanan itu
diletakkan di atas lantai yang beralas (sufrah). Hal ini lebih mendekati
perbuatan Rasulullah saw.
Orang mengatakan bahawa ada 4 perkara yang
diada-adakan sesudah Rasulullah saw iaitu meja makan, pengayak tepung, pembasuh
tangan menggunakan tumbuhan (al-isynan) dan kenyang.
Kata Imam Al-Ghazali : “Ketahuilah, bahawa kami,
walaupun kami mengatakan makan beralas meja (di lantai) itu lebih utama, tetapi
tidaklah kami mengatakan bahawa makan bermeja makan itu dilarang sama ada
makruh atau haram. Hal ni kerana tidak ada larangan dalam hal itu. Apa yang
bid’ah (diada-adakan) sesudah Rasulullah saw, maka tidaklah segala yang bid’ah
(diada-adakan) itu dilarang. Yang dilarang ialah bid’ah (yang diada-adakan)
yang berlawanan dengan sunnah yang sudah tegas.”
Bahkan kadang-kadang mengadakan kebid’ahan itu
adalah wajib dalam sebahagian hal, apabila sebab-sebabnya sudah berubah.
4. Duduk dengan
baik. Dikatakan Rasulullah saw kadang-kadang meletakkan kedua-dua lututnya
untuk makan dan baginda duduk di atas kedua-dua belah tapak kakinya. Dan
kadang-kadang baginda menengakkan kakinya yang kanan dan duduk di atas kakinya
yang kiri.
Sabda baginda saw : “Tidaklah aku makan dengan
bersandar. Sesungguhnya aku seorang hamba yang makan sebagaimana makannya
hamba, dan aku duduk sebagaimana duduknya hamba.” (Bukhari)
Minum dengan bersandar dimakruhkan kerana
mendatangkan kemelaratan kepada perut. Dimakruhkan makan ketika berbaring dan
bersandar kecuali untuk barang yang dapat dibawa-bawa (mudah dipegang dan
dimakan), contohnya biji-bijian.
5. Berniat untuk
mendapatkan kekuatan agar dapat taat kepada Allah, bukannya berniat untuk
berlazat-lazat dan bernikmat-nikmat dengan makanan itu. Apabila berniat dengan
makan itu untuk menguatkan ibadah, maka hendaklah ada keinginan untuk
menyedikitkan makan, biarlah berhenti sebelum kenyang (penuh perut), kerana
kenyang (penuh perut) itu melemahkan diri pula daripada mengerjakan amal
ibadah.
Boleh dicuba agar perut itu terbahagi kepada tiga
: satu bahagian untuk makanan, satu bahagian untuk minuman, dan satu bahagian
untuk nafas. Makanlah apabila sudha lapar dan berhentilah sebelum kenyang. Kata
Imam Al-Ghazali : “Sesiapa yang mengamalkan sedemikian, nescaya ia tidak
memerlukan doktor.”
6. Berasa senang
hati dengan rezeki yang ada di hadapan kita itu.
7. Berusaha
untuk ‘membanyakkan tangan’ pada makanan itu. Maksudnya jika dapat dan sesuai,
biarlah makanan itu dimakan beramai-ramai.
Sabda Nabi saw : “Berkumpullah pada makanan
kamu agar kamu dberkati padanya.” (Abu Dawud, Ibnu Majah)
- Ihya' 'Ulumuddin (ringkasan)
No comments:
Post a Comment