HAK IBU BAPA DAN ANAK
Apabila hak kaum kerabat dan keluarga pun sudah sedemikian kuat
tuntutannya, maka dalam hubungan antara anak dengan ibu bapa tentulah lebih
lagi.
Nabi Muhammad saw bersabda : “Buatlah kebajikan kepada ibumu, bapamu,
saudara perempuanmu dan saudara lelakimu. Kemudian kepada yang lebih dekat
kepadamu, lalu kemudian kepada yang lebih dekat kepadamu.” (An-Nasa’i,
Ahmad, Al-Hakim)
Malik bin Rabi’ah berkata : Ketika kami berada di samping Rasulullah
saw. tiba-tiba datang seorang lelaki dari kabilah Bani Salmah. Lelaki itu
bertanya : “Ya Rasulullah! Adakah tinggal menajdi tanggunganku sesuatu daripada
berbuat baik kepada ibu bapaku yang akan aku lakukan untuk kedua-duanya setelah
mereka meninggal dunia?”
Nabi saw menajwab : “Ada, iaitu berdoa (mendoakan mereka),
beristghfar (memohonkan) untuk kedua-duanya, melunaskan janji kedua-duanya,
memuliakan sahabat kedua-duanya, dan menyambung silaturrahim yang tiada
disambungkan kecuali dengan kedua-duanya.” (Abu Dawud, Ibnu Majah dan
lain-lain)
Nabi saw bersabda : “Setiap orang anak itu sama ada lelaki atau
perempuan adalah tergadai dengan aqiqahnya, yang disembelihkan pada hari
ketujuh (daripada lahirnya) dan dicukurkan rambutnya.” (Turmizi dan
lain-lain, katanya sahih)
Seorang lelaki datang kepada Abdullah bin Al-Mubarak lalu dia mengadukan
kepadanya tentang keadaan sebahagian anak-anaknya. Abdullah bin Mubarak
bertanya : “Adakah engkau mendokan yang buruk terhadap anak itu?”
“Ada,” jawab orang itu.
Maka Abdullah bin Mubarak menyambung : “Engkau telah merosakkan anak
itu.”
Al-Aqra’ bin habis melihat Nabi saw memeluk anaknya Hasan (kebiasaan
orang-orang Arab menyebut keturunannya sebagai anaknya, kerana Hasan ialah cucu
baginda). Lalu Al-Aqra’ berkata : “Sesungguhnya aku mempunyai 10 orang anak.
Tidak seorang daripada mereka yang aku peluk.”
Maka Nabi saw bersabda : “Sesungguhnya sesiapa yang
tidak menyayangi akan orang, nescaya dia tidak akan disayangi orang.” (Bukhari)
Abdullah bin Syaddad berkata : “Sewaktu Rasulullah saw sedang solat
berjemaah (sebagai imam) dengan orang ramai, tiba-tiba datanglah kepadanya
Husin (cucunya). Lalu ia (Husin) mengenderai ke atas leher Rasulullah saw yang
sedang bersujud. Maka Nabi saw melamakan sujud bersama-sama orang ramai itu
sehingga mereka menyangka sesuatu telah terjadi.”
“Tatkala Nabi saw sudah menyelesaikan solatnya, orang ramai
pun berkata : “Wahai Rasulullah! Engkau telah melamakan sujud hinggakan kami
menyangka sesuatu telah terjadi.”
Nabi saw menjawab : “Anakku (cucunya Husin) telah
mengenderai aku. Maka aku tidak suka menyegerakannya sehinggalah dia berpuas
hati menunaikan kemahuannya.” (An-Nasa’i, Al-Hakim)
Abu Sa’id al-Khudri berkata : “Seorang lelaki berhijrah dari Yaman
lalu pergi menemui Rasulullah saw dan ingin berjihad. Lalu Rasulullah saw
bertanya : “Adakah ibu bapamu di Yaman?”
“Ada” jawab orang itu.
Maka Nabi saw bertanya pula : “Sudahkah kedua-duanya
memberi izin kepada kamu?”
Orang itu menjawab : “Tidak.”
Lalu Nabi saw bersabda : “Kembalilah kepada ibu
bapamu. Mintalah izin kedua-duanya. Jika kedua-duanya bersetuju, maka
berjihadlah. Tetapi jika tidak, maka buatlah kebajikan kepada kedua-duanya
mengikut kesanggupanmu. Sesungguhnya itulah yang sebaik-baiknya untuk kamu
bertemu dengan Allah, sesudah tauhid.” (Ahmad, Ibnu Hibban)
Ada seorang lelaki datang kepada Nabi saw memohon pertimbangan untuk
pergi ke medan perang. Lalu Rasulullah saw bertanya : “Adakah engkau
mempunyai ibu?”
“Ada,” jawab orang itu.
Maka Nabi saw menyambung : “Hendaklah engkau
bersama-sama ibumu itu, kerana jannah adalah pada kedua-dua belah kakinya.” (An-Nasa’i,
Ibnu Majah, Al-Hakim).
Diringkaskan daripada Ihya' 'Ulumuddin
No comments:
Post a Comment