Sunday, September 22, 2019

Kewajiban Amar Makruf Nahi Munkar

KEWAJIBAN AMAR MAKRUH NAHI MUNKAR

Firman Allah SWT : “HENDAKLAH kamu tergolong dalam umat yang mengajak kepada kebajikan, menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang daripada melakukan yang salah. Mereka itulah orang yang berjaya.” (Ali Imran : 104)

Pada ayat ini terdapat arahan wajib, kerana firman Allah : “Hendaklah kamu…” pada dasarnya melambangkan kewajiban. Dan kejayaan di sisi Allah berkait dengan kewajiban tadi.
Pada ayat ni, amar ma’ruf dan nahi munkar itu fardhu kifayah. Apabila ada satu golongan dalam kalnagan masyarakat Islam yang melaksanakan amr ma’ruf dan nahi munkar, maka gugurlah fardhu itu daripada orang-orang lain. Hal ini kerana Allah Taala tidak berfirman : “Hendaklah setiap kamu beramar ma’ruf.”

Firman Allah : “Mereka beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang yang salah, dan menyegerakan mengerjakan perbuatan baik. Mereka itulah yang termasuk dalam golongan orang yang baik-baik.” (Ali Imran : 113-114)

Allah Taala tidak mengakui mereka termasuk orang yang baik-baik di sisi-Nya hanya kerana mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, sebelum ditambahkan kepada keimanan itu amar ma’ruf dan nahi munkar. Jelaslah, sangat penting untuk kita melibatkan diri dalam amar ma’ruf nahi munkar ini.

Firman-Nya : “Dan orang-orang BERIMAN lelaki dan perempuan, mereka satu sama lain pimpin memimpin. Mereka menyuruh mengerjakan yang baik dan melarang mengerjakan yang salah, mereka tetap mengerjakan solat.” (At-Taubah : 71)

Maka orang yang meninggalkan amar ma’ruf nahi munkar itu terkeluar daripada orang2 MUKMIN (BERIMAN) yang disifatkan pada ayat ini.

Allah Taala berfirman : “Orang-orang yang tidak beriman daripada Bani Israil telah kena kutukan lidah Daud dan Isa anak Maryam. Hal itu disebabkan mereka derhaka dan melanggar aturan. Antara mereka satu sama lain tidak melarang daripada perbuatan salah yang mereka kerjakan. Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka lakukan.” (Al-Maidah : 78-79)

Yang disebutkan pada ayat ini memang sangat keras, kerana menerangkan punca mereka berhak menerima kutukan adalah kerana mereka meninggalkan nahi munkar.

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman : “Kamu umat yang terbaik, yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang membuat yang salah.” (Ali Imran : 110)

Antara ciri ahli-ahli kepada umat terbaik ni adalah dengan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar.

Allah berfirman : “Dan setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada berbuat kesalahan dan Kami seksa orang2 yang aniaya itu dengan seksaan yang mengerikan disebabkan mereka berlaku jahat.” (Al-A’raf : 165)

Imam Al-Ghazali menulis : “Mereka memperoleh faedah keselamatan (pelepasan) kerana nahi munkar yang mereka lakukan. Yang demikian itu menunjukkan juga kepada wajib.”

Firman-Nya : “HENDAKLAH kamu bertolong-tolongan dalam mengerjakan kebaikan dan memelihara diri, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam mengerjakan dosa dan pelanggaran hukum.” (Al-Maidah : 2)

Allah berfirman : “Mengapa mereka tidak dilarang oleh ahli-ahli ilmu keTuhanan dan pendeta-pendeta daripada mengucapkan perkataan berdosa dan menahan yang haram? Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka kerjakan.” (Al-Maidah : 63)

Para sahabat bertanya : “Apakah hak jalan itu?”
Rasulullah saw menjawab : “Memicingkan mata, mencegah menyakitkan orang, menjawab salam, beramar ma’ruf dan bernahi munkar.” (Bukhari, Muslim)

Sabda baginda saw : “Allah Taala tidak menyeksa orang pilihan (orang khawwash) disebabkan dosa orang awam, kecuali kelihatan perbuatan munkar di hadapan mereka dan mereka mampu mencegahnya, tetapi tidak dicegahnya.” (Ahmad)

Rasululah saw bersabda : “Tidak sepatutnyalah bagi manusia yang menyaksikan suatu tempat yang padanya ada kebenaran (yang sepatutnya diperkatakan/diperbetulkan), melainkan dia (kenalah) mengatakan kebenaran itu. Kerana sesunguhnya hal yang demikian tidak akan mendahulukan ajalnya (tidak akan membuatkan dia cepat mati) dan tidak akan menghalangi rezeki yang diperuntukkan baginya.” (Baihaqi, Turmizi dan dipandangnya hasan)

Imam Al-Ghazali berkata : “Hadis ini menunjukkan bahawa tidak boleh masuk ke rumah/tempat orang-orang zalim dan orang-orang fasiq. Dan tidak boleh menghadiri tempat2 yang akan dipersaksikan perbuatan mungkar di situ, jika kita tidak sanggup merubahnya.”

Kata Al-Imam lagi : “Dan tidak boleh menyaksikan perbuatan munkar tanpa ada keperluan, dengan alasan lemah daripada mencegahnya. Kerana inilah segolongan daripada ulama terdahulu memilih ‘uzlah, kerana dilihat oleh mereka perbuatan munkar di pasar-pasar, hari-hari raya dan lokasi-lokasi berkumpulnya manusia, sedangkan mereka itu lemah daripada merubahnya. Dan ini menghendaki mestinya meninggalkan bergaul dengan orang ramai.”

Rasulullah saw bersabda : “Allah Azza wa Jalla tiada mengutuskan seorang nabi melainkan nabi itu mempunyai pembantu-pembantu (para hawari). Maka nabi itu pun berdiri di tengah-tengah mereka, masya Allah, berbuat baik kepada mereka menurut Kitabullah dan perintahnya. Sehingga apabila Allah mewafatkan nabi-Nya, nescaya para pembantu itu bangun bekerja menurut Kitabullah dan perintah-Nya dan sunnah nabi mereka. Apabila mereka sudah habis binasa, maka sesudah mereka ada suatu kaum yang naik di atas mimbar (berkata-kata kepada orang ramai) mengatakan apa yang mereka pandang baik dan berbuat apa yang mereka pandang buruk. Apabila kamu melihat hal sebegitu, maka berhaklah atas setiap mukmin berjihad menentang mereka dengan tangannya. Jikalau tidak sanggup, dengan lidahnya. Dan kalau tidak sanggup, dengan hatinya. Dan tidaklah lagi dibalik itu Islam.” (Muslim)

Abu Darda berkata : “Hendaklah kamu beramar ma’ruf dan bernahi munkar, atau (jika tidak) akan dikuasakan oleh Allah ke atas kamu seorang penguasa yang zalim, yang tidak dimuliakannya yang tua daripada kamu dan tidak dikasihinya yang kecil daripada kamu. Dan berdoa ke atas penguasa itu orang-orang pilihan daripada kamu, tetapi doa itu tidak diterima. Dan kamu meminta pertolongan tetapi tidak akan ditolong. Dan kamu meminta ampun tetapi tidak akan diberi ampunan bagi kamu.”

Huzaifah ditanyakan tentang orang yang mati daalam kalangan orang-orang hidup. Maka beliau menjawab : “Itulah orang yang tidak menentang perbuatan jahat dengan tangannya, dengan lisannya dan dengan hatinya.”

Huzaifah berkata : “Akan datang kepada manusia suatu masa di mana bagi mereka bangkai kaldai lebih mereka cintai daripada orang mukmin yang menyuruh mereka mengerjakan yang baik dan melarang mereka berbuat yang jahat.”

Bilal bin Saad berkata : “Sesungguhnya perbuatan maksiat apabila disembunyikan, nescaya tiada mendatangkan kemelaratan kecuali kepada yang mengerjakannya. Maka apabila dilahirkan dan tidak dihilangkan, nescaya mendatangkan kemelaratan kepada umum.”

Ka’ab al-Ahmar bertanya kepada Abu Muslim Al-Khaulani : “Bagaimana kedudukan engkau dalam kaummu?”
Abu Muslim menjawab : “Baik!”
Ka’ab menyambung : “Sesungguhnya Taurat mengatakan bukan demikian.”
Abu Muslim bertanya : “Apa kata Taurat?”
Ka’ab al-Ahmar menjawab : “Taurat mengatakan bahawa orang apabila beramar ma’ruf dan bernahi munkar, nescaya buruklah kedudukannya pada kaumnya.”
Lalu Abi Muslim berkata : “Benar Taurat dan bohong Abi Muslim.”

Imam Al-Ghazali berkata : “Maka jelaslah dengan dalil-dalil ini bahawa amar ma’ruf dan nahi munkar itu wajib. Dan fardhunya itu tidak gugur serta ada kesanggupan, kecuali bangun orang yang bangun melaksanakannya.”

- Ringkasan Ihya' 'Ulumuddin

No comments: