Wednesday, September 18, 2019

Bila Dibolehkan Mengumpat?


Bilakah kita dibenarkan mengumpat?
Ada enam keadaan yang membolehkan kita mengumpat :

i)                    Sekiranya kita dizalimi oleh pihak berkuasa, kita boleh mengadukan hal itu kepada pihak yang lebih tinggi daripadanya. Dalam aduan itu sudah tentulah kita kena menceritakan apa yang berlaku.

ii)                  Untuk membetulkan kesalahan.

Contohnya Saiyidina Umar pernah memberi salam kepada Saiyiidan Uthman tetapi tidak dijawabnya. Lalu Saiyidina Umar mengadukan hal itu kepada Saiyidna Abu Bakar. Saiyidina Abu Bakar pun menyelesaikan hal itu.

Saiyidina Umar juga pernah menerima aduan tentang Abu Jundul membat khamar di Syam. Saiyidina Umar pun menulis surat kepada Abu Jundul, lalu Abu Jundul pun bertaubat. Aduan kepada Saiyidina Umar itu tidak dikira sebagai umpatan.

iii)                Untuk meminta fatwa daripada mufti (atau mana-mana pihak yang layak berfatwa).

Kita boleh menceritakan masalah yang kita hadapi dan tentang orang-orang yang terlibat. Jika dapat dibuat secara kinayah (sindiran) adalah lebih bagus.

Contohnya : Hindun binti ‘Utbah berkata kepada Nabi saw : “Abu Sufyan itu lelaki yang kikir (kedekut). Dia tidak memberikan kepada aku apa yang secukupnya untuk aku dan anakku. Bolehkah aku mengambil tanpa pengetahuannya?”
Maka Nabi saw menjawab : “Ambillah apa yang mencukupkan bagi engkau dan anakmu dengan yang baik.” (Bukhari, Muslim)

iv)                Untuk menakutkan orang Islam daripada melakukan kejahatan.

Contohnya apabila kita melihat seorang faqih yang kerap bergaul dengan pelaku-pelaku bid;ah atau orang fasiq, yang kita khuatir jika kebid’ahan dan kefasiqan itu berjangkit kepada si faqih tadi. Ketika itu bolehlah kita mengeluarkan cerita.

Contoh lagi apabila kita mengetahui yang seorang hamba (abdi) itu bermasalah seperti suka mencuri, suka berbuat fasiq atau sebagainya, maka kita berhak menreangkan keadaan itu agar tidak merugikan si pembeli hamba.

Ada tiga jenis manusia yang tidak ada pengumpatan terhadap mereka iaitu penguasa yang zalim, ornag yang melakukan bid’ah, dan orang yang menampakkan kefasiqannya.

v)                  Untuk memperkenalkan seseorang bagi orang yang memang terkenal dengan gelaran yang kurang enak.

Contohnya kita sebutkan orang tertentu sebagai Si Pincang, Si Kabur Mata, dan sebagainya, dengan syarat tidak dibenci oleh mereka.
Maka tidak berdosa orang mengatakan : “Diriwayatkan daripada Abuz Zanad, daripada Si Pincang (Al-A’raj) dan dirawikan oleh Salaman daripada Si Kabur Mata (Al-A’masy).”
Para ulama sudah berbuat demikian, kerana pentingnya pengenalan. tetapi jika ada cara lain untuk memperkenalkan seseorang, yang itu adalah lebih baik.

vi)                Untuk menyatakan tentang sesorang yang mempamerkan kefasiqannya.

Contohnya orang lelaki yang menampakkan dirinya seperti wanita, orang yang mempunyai tempat minuman keras, orang yang menampakkan dirinya yang meminum khamar, dan orang yang meminta harta orang lain dengan separuh paksaan.

Umar ra berkata : “Tidak ada kehormatan bagi pelaku maksiat.”
Yang dimaksudkan di sini ialah orang yang menampakkan kefasiqannya, bukan orang yang berusaha menutup perbuatannya, kerana orang yang ebrusaha menutup perbuatannya hendaklah dipelihara kehormatannya.

Ash-Shultu bin Thuraif berkata : “Aku bertanya kepada Al-Hasan Al-Basri : “(Ada) lelaki yang fasiq, yang menampakkan kemaksiatannya. Apakah menyebut tentang hal itu menjadi penumpatan terhadapnya?”
Hasan menjawab : “Tidak, dan tidak ada kemuliaan bagi orang itu.”

Al-Hasan berkata : “(Ada) tiga jens manusia yang tidak menjadi pengumpatan terhadap mereka iaitu orang yang mengiktui hawa nafsu, orang fasiq yang menampakkan kefasiqannya, dan penguasa yang zalim.”
Dengan syarat mereka menampakkan perbuatan mereka itu.

- Diringkaskan daripada Ihya' 'Ulumuddin

No comments: