Huzaifah bin al-Yaman r.a ialah salah seorang sahabat utama kepada Rasulullah saw. Beliau dikenal sebagai Penyimpan Rahsia Nabi. Dalam salasilah atau sanad Tariqah Ghazaliyah, Huzaifah berada pada jalur yang kedua selepas Rasulullah saw.
HUBUNGAN HUZAIFAH R.A DAN IMAM AL-GHAZALI
Sanadnya adalah sebagaimana berikut :
Rasulullah saw menyampaikan kepada
Huzaifah bin al-Yaman, yang menyampaikan kepada
Hasan al-Basri, yang menyampaikan kepada
Habib al-Ajami, yang menyampaikan kepada
Dawud at-Ta’i, yang menyampaikan kepada
Ma’ruf al-Karkhi, yang menyampaikan kepada
Siri as-Saqti, yang menyampaikan kepada
Junaid al-Baghdadi, yang menyampaikan kepada
Abu Sa’id al-’Arabi, yang menyampaikan kepada
Abu Talib al-Makki, yang menyampaikan kepada
Yusuf bin Muhammad, yang menyampaikan kepada
Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf, yang menyampaikan kepada
Abdul Malik bin Abdullah, yang menyampaikan kepada
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, yang nama sebenarnya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali.
SEJARAH AWAL HUZAIFAH
Bapa Huzaifah iaitu al-Yaman merupakan penduduk asal Makkah. Ibu Huzaifah pula berasal dari Madinah. Mereka berdua menetap di Madinah dan di sanalah Huzaifah dilahirkan. Bapa Huzaifah adalah antara orang Madinah yang terawal memeluk agama Islam. Huzaifah sendiri termasuk dalam kalangan penduduk Madinah yang terawal memeluk Islam. Ketika itu Nabi Muhammmad masih di kota Makkah dan belum berhijrah ke Madinah.
Orang2 Makkah yang berhijrah ke Madinah dikenali sebagai kaum Muhajirin. Manakala orang2 Madinah pula dikenali sebagai kaum Ansar. Huzaifah punya keistimewaan tersendiri kerana menurut Rasulullah, Huzaifah boleh tergolong dalam golongan Muhajirin dan boleh juga tergolong dalam golongan Ansar.
Sebelum Perang Uhud berlaku, Rasulullah saw meminta agar bapa Huzaifah, seorang lagi sahabat iaitu Thabit ibnu Waqas dan orang2 lain yang tidak berdaya pergi berperang agar tinggal sahaja di Madinah. Hal ini kerana bapa Huzaifah dan Thabit sudah banyak usia mereka. Namun kemudiannya mereka berdua tidak mahu usia menjadi halangan lalu pergi juga ke medan perang. Dalam perang itu, Thabit gugur syahid. Bapa Huzaifah pula yang disangka sebagai pihak musuh telah tersilap dibunuh oleh tentera Islam. Alangkah sedihnya Huzaifah ibnu al-Yaman. Namun Huzaifah memaafkan orang yang membunuh bapanya itu.
Imam Al-Ghazali ada menulis tentang Huzaifah bin al-Yaman dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin sebagaimana berikut :
Hasan Al-Basri merupakan seorang manusia yang kata-katanya menyerupai kata-kata para nabi, dan petunjuk yang diberikannya kepada manusia menghampiri petunjuk para sahabat Nabi saw. Dan telah sepakatlah hal tersebut terhadap al-Hasan itu.
Pernah orang bertanya kepada Hasan al-Basri : “Wahai Abi Sa’id! Tuan berkata-kata dengan kata-kata yang tidak pernah terdengar daripada orang lain. Daripada mana tuan ambil kata2 ini?”
Hasan al-Basri pun menjawab : “Daripada Huzaifah bin al-Yaman.”
Kemudian orang bertanya kepada Huzaifah bin Al-Yaman : “Kami melihat tuan mengeluarkan kata-kata yang tidak pernah terdengar daripada para sahabat Nabi saw yang lain. Daripada mana tuan ambil kata2 ini?”
Huzaifah menjawab : “Dikhususkan oleh Nabi saw perkataan-perkataan itu kepada aku. Orang lain bertanya kepada Nabi saw tentang kebajikan, tetapi aku bertanya kepada baginda tentang kejahatan, kerana aku khuatir aku akan terjatuh ke dalam kejahatan itu. Dan aku juga tahu bahawa kebajikan itu tidak perlu untuk aku mengetahuinya dengan tergesa-gesa.”
PERJUANGAN DAN PENGORBANAN HUZAIFAH
Huzaifah terlibat dalam hampir kesemua peperangan kecuali Perang Badar. Hal ini sedemikian kerana sebelum tentera musuh datang, Huzaifah ada mengembara ke luar kota Madinah. Tiba2 mereka tertangkap oleh tentera musyikin Quraisy. Namun Huzaifah berhelah mengatakan yang dia tidak punya hubungan dengan Nabi Muhammad. Huzaifah juga mengatakan yang dia tidak akan berperang dengan tentera musyrikin Quraisy yang sedang menuju ke Madinah. Maka Huzaifah pun dilepaskan. Oleh sebab itulah Rasulullah saw menyuruh agar Huzaifah tidak menyertai tentera Badar sebagai memenuhi kata2nya dengan kaum musyrikin Quraisy.
HUZAIFAH DALAM PERANG KHANDAQ
Perang Khandaq juga dikenali sebagai Perang Al-Ahzab. Tentera musyrikin dari Makkah dan gabungannya berjumlah lebih kurang 10,000 orang datang menyerang umat Islam di Madinah. Rasululah berjaya mengumpulkan lebih kurang 3,000 orang tentera Islam untuk memeprtahankan Madinah.
Salman al-Farisi ra yang berasal dari Parsi mencadangkan agar digali parit di sekitar kota Madinah. Kaedah ini tidak biasa digunakan oleh orang2 Arab kerana ia merupakan cara orang2 Parsi. Oleh itu kaedah ini memang berjaya menghalang tentera musyrik daripada membuat serbuan terus ke kota Madinah.
Berhari2 Madinah dikepung. Pada suatu ketika, Rasulullah saw mengarahkan Huzaifah menyusup masuk ke perkhemahan tentera musuh untuk mencari maklumat. Pada malam itu sebenarnya Huzaifah sedang kelaparan dan kedinginan. Tapi dia tetap pergi berseorangan diri dalam kegelapan malam dan berjaya berada dalam kalangan tentera musuh untuk mencuri maklumat.
HUZAIFAH DAN ORANG2 MUNAFIK
Rasulullah saw ada memaklumkan kepada Huzaifah akan nama beberapa orang munafik. Huzaifah mempelajari gerak-geri dan ciri-ciri mereka hinggakan beliau mendapat satu kelebihan iaitu dapat mengenal orang2 yang munafik. Namun begitu Huzaifah tidak mendedahkan identiti mereka.
Saiyidina Umar ra ketika menjadi khalifah pernah bertanya kepada Huzaifah: “Apakah terdapat orang munafik dalam kalangan kakitanganku?”
Huzaifah menjawab: “Ya. Ada seorang.”
Saiyidina Umar pun bertanya tentang identiti orang itu tetapi Huzaifah tidak mahu menyatakannya. Namun tidak lama selepas itu, Huzaifah memaklumkan bahawa orang yang seorang itu baru sahaja dipecat oleh Saiyidina Umar. Ertinya Saiyidina Umar sendiri dapat menjangka akan orangnya.
Apabila berlaku sesuatu kematian, Saiyidina Umar akan meneliti sama ada Huzaifah hadir atau tidak untuk mengerjakan solat jenazah. Jika Huzaifah tidak hadir, maka Saiyidina Umar pun akan beredar pergi tanpa menyertai solat jenazah tersebut. Hal ini kerana Saiyidina Umar yakin bahawa jenazah itu seorang munafik.
KEUTAMAAN DAN KELEBIHAN HUZAIFAH BIN AL-YAMAN
1. Huzaifah merupakan penyimpan rahsia Nabi saw yang utama.
2. Huzaifah arif dalam mengenal orang2 munafik (ertinya dia mahir ilmu membeza).
3. Huzaifah juga pernah menjadi intelijen/ perisik bagi tentera Islam.
4. Boleh dikatakan Huzaifahlah sahabat yang paling mahir dengan ilmu akhir zaman, zaman akhir, zaman fitnah dan zaman awal akhirat. Ilmu2 ini merupakan fardhu ad-diin yang keempat iaitu ilmu as-sa’ah. Huzaifah banyak meriwatkan hadith2 tentang akhir zaman.
5. Diakui bahawa kata2 Huzaifah seumpama kata2 para nabi.
6. Huzaifah merupakan pencetus idea kepada keseragaman bacaan Al-Quran mengikut dialek Rasulullah saw iaitu dialek Quraisy.
7. Huzaifah salah seorang komander perang tentera Islam. Beliaulah yang berjaya menamatkan Empayar Parsi keseluruhannya lalu menjadi raja di Parsi. Tenteranya dihantar sehingga ke Armenia dan Azerbaijan di selatan Rusia.
8. Huzaifah ialah guru kepada seorang waliyullah besar iaitu Hasan al-Basri.
HUZAIFAH MENJADI RAJA DI PARSI
Pada zaman Saiyidina Umar menjadi khalifah, beliau menghantar pasukan tentera di bawah Panglima Nu’man bin Muqarrin ke Parsi. Saiyidina Umar menulis surat mengatakan jika Panglima Nu’man syahid, hendaklah Huzaifah menggantikan tempatnya. Jika Huzaifah syahid, hendaklah Jarir bin Abdullah menggantikan tempatnya. Begitulah seterusnya sehingga ada tujuh nama semuanya.
Dengan takdir Allah ‘Azza wa Jalla, berlakukah Perang Nihawand antara tentera Islam yang berjumlah 30,000 orang dan tentera Parsi yang ebrjumlah 100,000 orang. Peperangan itu dimenangi oleh tentera Islam namun Panglima Nu’man mati syahid. Umumnya perang itu telah menghancurkan seluruh kekuatan Parsi. Parsi pun jatuh ke tangan Islam dan tidka bangung2 lagi selepas itu. Huzaifah pula diamanahkan sebagai wakil khalifah di Parsi, yang setaraf kedudukannya sebagai seorang raja.
Pada hari Huzaifah datang untuk berkhidmat di kota Madain, orang ramai pun berkumpul menantikan raja mereka yang baharu. Mereka terkejut kerana Huzaifah datang dengan berpakaian biasa dan menunggang kaldai. Oleh kerana orang ramai menantikan ucapannya yang pertama sebagai pemerintah yang baharu, Huzaifah pun berkata, “Jauhilah tempat2 fitnah.”
Orang ramai bertanya, “Apakah tempat2 fitnah itu?”
Jawab Huzaifah, “Pintu2 pihak pemerintah.”
HUZAIFAH IBNU AL-YAMAN DAN KESERAGAMAN BACAAN AL-QURAN
Sewaktu Huzaifah bertugas di Parsi, beliau mendapati tentera dan orang awam di sana membaca Al-Quran dalam pelbagai dialek sehingga memungkinkan berlakunya kesilapan, kekeliruan dan perubahan makna. Oleh sebab itu Huzaifah mengadu kepada Saiyidina Uthman agar khalifah melakukan sesuatu untuk menyelamatkan umat ini daripada apa yang telah berlaku ke atas kitab2 Yahudi dan Nasrani.
Hasilnya, Saiyidina Uthman pun mengerahkan beberapa orang sahabat untuk mengambil tindakan. Maka Al-Quran ditulis dan dibacakan secara seragam iaiatu mengikut dialek Rasulullah saw iaitu dialek Quraisy. Sangat besar jasa Huzaifah dalam hal ini.
Huzaifah bin al-Yaman meningal dunia di Parsi pada tahun 39 Hijrah atau 656 Masihi. Beliau meninggal dunia tidak lama selepas terbunuhnya Saiyidina Uthman.
Kesimpulannya
Huzaifah bin al-Yaman ini salah seorang sahabat Nabi yang sangat istimewa. Antara kebaikan2nya yang sangat bagus untuk kita contohi adalah keberaniannya, sikap amanahnya, kerahsiaannya, kemahiran beladiri dan ilmu perangnya, ilmu intelijen dan ilmu perang sarafnya, keagamaannya, kezuhudannya, kecekapan mentadbirnya, ketaataannya kepada Rasulullah, kepekaannya tentang hal ehwal semasa yang melanda agama dan umat, serta kebijaksanaannya membuat keputusan dalam situasi yang mencabar.
Julai 2024
No comments:
Post a Comment