Sultan Salahuddin al-Ayyubi dilahirkan di Iraq pada tahun 1137 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1193 Masihi dalam usia 56 tahun. Baginda berketurunan Kurdish. Baginda terkenal sebagai Pembebas Baitul Maqdis.
Hubungan Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Imam al-Ghazali
Sultan Salahuddin al-Ayyubi mengambil Tariqah daripada gurunya
Ibnu Asakir, yang mengambil daripada
Marwan bin Ali ath-Thanzi, yang mengambil daripada
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.
Ertinya, Sultan Salahuddin dan mentornya Sultan Nuruddin Zangki mempunyai mursyid yang sama iaitu Ibnu Asakir. Al-hafidz Ibnu Asakir sering diundang oleh Sultan Salahuddin ke majlisnya dan merupakan penasihat kepada Sultan Salahuddin terutamanya dalam menghadapi tentera salib.
Selain daripada Ibnu Asakir, ada seorang lagi ulama bertarekat Ghazaliyah yang rapat dengan Sultan Salahuddin iaitu al-hafidz Abu Tahir As-Silafi. Abu Tahir As-Silafi merupakan ulama besar dan guru hadith di kota Iskandariyah, Mesir. Sultan Salahuddin sering meminta fatwa daripada beliau dalam pelbagai urusan. As-Silafi sendiri berguru dengan adik Imam al-Ghazali iaitu Imam Ahmad al-Ghazali. Seorang lagi guru as-Silafi ialah As-Sulami, juga anak murid kepada Imam al-Ghazali.
Seorang lagi ulama bertarekat Ghazaliyah yang rapat dengan Sultan Salahuddin ialah Najmuddin al-Qubusyani. Najmuddin al-Qubusyani banyak berperanan membantu Sultan Salahuddin meruntuhkan Kerajaan Syiah Fatimiyah di Mesir. Najmuddin berperanan penting mendirikan Madrasah As-Salahiyah di Mesir, berhampiran makam Imam asy-Syafi’i. Najmuddin al-Qubusyani ialah anak murid kepada Ahmad bin Yahya, iaitu murid kepada Imam al-Ghazali.
Ada lagi! Tentera Salahuddin ada qadhi yang tersendiri. Qadhi militer ini ialah Ibnu Syaddad. Ibnu Syaddad ini murid kepada Najmuddin Abu Mansur Muhammad at-Tusi, iaitu murid kepada al-Ghazali. Ibnu Syaddad ada menulis sebuah kitab jihad untuk kegunaan Salahuddin dan anak2nya.
Tambah lagi! Qutbuddin an-Nisaburi yang juga guru kepada Sultan Nuruddin Zangki turut menjadi guru kepada Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Qutbuddin an-Nisaburi ada menulis kitab berkaitan aqidah untuk Sultan Salahuddin. Qutbuddin ialah cucu murid kepada Imam al-Ghazali.
Sedemikian dekatnya Sultan Salahuddin al-Ayyubi dengan Imam al-Ghazali, dengan tarekat Ghazaliyah, dengan aqidah Imam al-Ghazali, dan dengan mursyid2 warisan al-Ghazaliyah, sehinggakan Sultan Salahuddin mewakafkan sebidang tanah untuk madrasah al-Ghazaliyah di Damsyik, berhampiran Masjid Umawi di Damsyik, berhampiran Menara Putih di Timur.
Sejarah Awal Salahuddin al-Ayyubi
Bapanya iaitu Najmuddin Ayyub dan bapa saudaranya Syirkuh datang dari sempadan Azerbaijan ke kota Tikrit, Iraq. Di Iraq mereka berkhidmat dengan pihak pemerintah. Suatu hari bapa saudaranya Syirkuh telah membunuh seorang pegawai keselamatan yang cuba memperkosa seorang wanita. Dikhuatiri pegawai yang lain akan membalas dendam, lalu Najmuddin, Syirkuh, kaum keluarga dan beberapa orang pengikut mereka terpaksa melarikan diri.
Ketika itu Salahuddin al-Ayyubi baru dilahirkan. Di sepanjang pelarian itu, Salahuddin yang masih bayi banyak menangis. Hal tersebut boleh membahayakan kumpulan mereka lalu Najmuddin cuba membunuh anaknya Salahuddin. Nasib baik salah seorang pengikutnya berjaya menasihati Najmuddin. Jika tidak, riwayat Salahuddin akan tamat pada hari tersebut.
Mereka berjaya tiba di kota Mausul atau Mosul, Iraq. Di sana, mereka disambut baik oleh Sultan Imaduddin Zangki. Dahulu Najumuddin dan Syirkuh pernah menyelamatkan Imaduddin Zangki yang cuba dibunuh oleh musuh politiknya. Jadi, Imaduddin membalas jasa baik mereka.
Di Mausul, mereka diberikan sebidang tanah untuk membina petempatan. Mereka juga diberi peluang untuk terlibat dalam pengurusan ketenteraan kota Mausul. Apabila kota Ba’albak jatuh ke tangan Imaduddin Zangki, Najmuddin Ayyub dilantik sebagai gabenor kota tersebut. Di sanalah Salahuddin al-Ayyubi dibesarkan. Salahuddin dilengkapkan dengan ilmu agama, ilmu ketenteraan dan ilmu politik.
Perjuangan dan Pengorbanan Sultan Salahuddin al-Ayyubi
Setelah Sultan Imaduddin Zangki mangkat, tempatnya digantikan oleh anaknya iaitu Sultan Nuruddin Zangki. Sultan Nuruddin mengamanahkan jawatan ketua polis Damsyik atau Damascus di Syria kepada Salahuddin. Salahuddin berjaya membersihkan kota Damsyik daripada jenayah.
Salahuddin sangat mementingkan pendidikan. Oleh sebab itu beliau banyak membina madrasah2.
Sultan Salahuddin Perjuangkan Aqidah Umat
Sewaktu Salahuddin mentadbir Mesir, masalah aqidah sedang melanda dengan hebatnya. Ada fahaman Syiah Rafidhah, Batiniyah, tajsim, falsafah dan sebagainya. Oleh sebab itu, Salahuddin memerintahkan agar pada setiap malam menjelang solat subuh, dibacakan secara lantang di menara2 masjid akan matan Aqidah Mursyidah. Dikatakan hal ini berterusan selama 400 tahun.
Aqidah Mursyidah merupakan ringkasan ilmu tauhid yang dikarang oleh Ibnu Tumart. Ibnu Tumart ialah salah seorang anak murid kepada Imam al-Ghazali dan Imam Ahmad al-Ghazali. Matan Aqidah Mursyidah diringkaskan oleh Ibnu Tumart daripada sebahagian isi kandungan Kitab Qawaid al-’Aqaid yang terdapat dalam kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin.
Aqidah Mursyidah menjadi pakaian utama kerajaan Muwahhiddun di Maghribi dan Sepanyol. Raja pertama kerajaan Muwahhiddun ialah Sultan Abdul Mu’min bin Ali iaitu anak murid kepada Ibnu Tumart sendiri. Sementara itu di sebelah Mesir dan Syam pula, Aqidah Mursyidah banyak disyarahkan dalam pengajian2 oleh seorang mursyid Tariqah Ghazlaiyah iaitu al-hafidz Ibnu Asakir.
Pendek kata pada zaman itu ilmu aqidah atau ilmu al-iman Imam al-Ghazali lebih mendominasi dari Khurasan sampailah ke Maghribi.
Sultan Salahuddin al-Ayyubi Melawan Hasyasyin
Banyak pihak dengki akan Salahuddin. Oleh itu beberapa percubaan membunuhnya dilakukan tetapi semuanya gagal. Pernah satu ketika 3 orang lelaki menyamar sebagai pengawal peribadi Salahuddin dan berjaya masuk ke khemahnya. Salahuddin ditikam tapi terselamat oleh pakaian perangnya. Sebahagian pihak percaya mereka ialah intelijen Hasyasyin Syiah Batiniyah.
Sultan Salahuddin juga pernah terjumpa pisau Hasyasyin diletakkan di atas katil di dalam kamar tidurnya. Pisau itu disapu dengan racun. Terdapat juga nota amaran di situ. Rupa2nya dalam kalangan orang2 yang rapat dengan baginda pun ada tali barut Hasyasyin.
Perang Hattin
Antara perang yang termasyhur dalam sejarah Sultan Salahuddin ialah Perang Hattin atau Perang Hittin pada Julai 1187. Perang ini terjadi di Hattin, berhampiran Tasik Tiberias di Palestin. Ketika itu Sultan Salahuddin dan tentera Salib sedang dalam gencatan senjata. Tiba2 seorang ketua Kristian bernama Raynald of Chatillom menyerang rombongan haji umat Islam.
Sultan Salahuddin murka kerana Raynald mengkhianati perjanjian gencatan senjata malah melakukan jenayah yang keji. Maka Sultan Salahuddin berikrar untuk membalas dendam dan membunuh Raynald. Satu demi satu kubu tentera Kristian dikalahkan oleh tentera Salahuddin.
Akhirnya pertempuran besar berlaku di Hattin. Lebih 20,000 tentera Salahuddin berhadapan dengan hampir 20,000 tentera Kristian. Hampir semua tentera Kristian terbunuh atau ditawan sedangkan hanya sedikit kemusnahan di pihak Sultan Salahuddin. Raynald ditawan lalu ditebas lehernya oleh Sultan Salahuddin. Namun tokoh2 dan tawanan lain dilayan dengan baik. Sermemangnya dalam pelbagai peperangan, Sultan Salahuddin biasa memberikan layanan yang baik kepada musuh2 yang ditawannya.
Sebulan selepas Perang Hattin, pemandangan di medan perang itu kelihatan berkemutih oleh putihnya tulang2 tentera Kristian.
Salahuddin Membebaskan Jerusalem.
Walaupun Jerusalem dikuasi oleh pihak Kristian sejak 100 tahun sebelum itu, namun Sultan Salahuddin tidak menggangu mereka dan patuh dengan perjanjian damai. Tetapi setelah perjanjian itu dikhianat oleh pihak Kristian, Sultan Salahuddin pun berikrar untuk mengembalikan Jerusalem atau Baitul Maqdis ke tangan umat Islam.
Kekalahan tentera Kristian di Hattin memudahkan urusan Salahuddin untuk membebaskan Jerusalem. Pada bulan Ogos 1187, Sultan Salahuddin mengepung dan menyerang Jerusalem setelah pihak Kristian bertegas tidak mahu menyerah ada awalnya. Namun setelah dua minggu, tentera Kristian pun menyerah kalah.
Yang indahnya, Salahuddin melayan dengan baik tentera dan umat Kristian. Mereka diizinkan keluar dari Jerusalem dengan dikawal keselamatan mereka oleh tentera Islam sendiri. Hebatnya jiwa sufi Sultan Salahuddin, Hal ini berbeza ketika tentera Kristian menakluk Jerusalem 100 tahun sebelum itu. Pendek kata, hampir semua umat Islam di Jerusalem dibunuh oleh tentera Kristian walaupun umat Islam sudah menyerah kalah. Alangkah indahnya ajaran Islam.
Peribadi Sultan Salahuddin al-Ayyubi
Salahuddin terkenal sebagai seorang yang sangat zuhud. Walaupun kerajaan Ayyubiyah sangat kaya dan sering mendapat harta rampasan perang, tapi Salahuddin sendiri seorang yang hidup tidak berharta. Apabila Sultan Salahuddin mangkat, hartanya hanya 1 dinar dan 47 dirham. Jumlahnya pada pada hari ini sekitar RM2850.00. Untuk urusan pengkebumian seornag raja sepertinya pun tidak mencukupi hinggakan keluarganya terpaksa meminjam wang. Kain kafannya pula diberikan oleh salah seorang menterinya. Sultan Salahuddin tidak pernah membayar zakat, kerana dia memang tidak berharta, maka tidak layak untuk membayar zakat.
Sultan Salahuddin seorang yang mudah mengalirkan air mata kerana Allah. Baginda sangat rindu untuk mengerjakan ibadah haji tetapi belau langsung tidak berkesempatan mengerjakannya. Baginda juga sering menjadi guru kepada anak2nya dalam pelbagai ilmu termasuklah ilmu agama. Baginda mahir dalam sejarah, geograf, sains dan sastera. Baginda sangat gemar membaca dan mendengar bacaan Al-Quran walaupun pada musim peperangan. Baginda sering menyuruh pengawalnya memanggil masuk alim ulama yang lalu berhampiran khemahnya.
Pedangnya mungkin pedang yang tertajam di dunia pada zaman itu. Dikatakan apabila dilemparkan kain sutera ke udara lalu ditahan dengan mata pedangnya, kain sutera itu akan jatuh ke mata pedang lalu terbelah dua.
Baginda juga sangat mahir dengan hal ehwal intelijen. Baginda sendiri pernah menyamar dan pergi menemui musuhnya King Richard te Lion Heart tanpa mereka sedari bahawa itulah Salahuddin.
Ketika King Richard the Lion Heart jatuh sakit, Salhuddin mengutuskan doktor peribadinya untuk merawat Richard. Ada juga pandangan yang mengatakan Sultan Salahuddin sendiri yang menyamar sebagai doktor untuk merawat Richard. Wallahua’lam.
Anak-anak Sultan Salahuddin al-Ayyubi turut bertariqah Ghazaliyah. Antaranya ialah :
i. Al-Afdhal bin Salahuddin, raja Damsyik
ii. Al-Aziz bin Salahuddin, raja Mesir
iii. Az-Zahir bin Salahuddin, raja Aleppo
Demikian juga dengan abang Salahuddin iaitu Turanshah bin Najmuddin, Raja Yaman dan adik Salahuddin iaitu Al-Adil bin Najmuddin, raja Damsyik.
Kesimpulannya
Sangatlah hebatnya sejarah Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Antara kebaikan2 baginda yang sangat bagus untuk kita contohi adalah keberaniannya, cita2 tingginya, keteguhan hatinya, pengorbanan2nya, sikap mulianya terhadap guru2 dan ulama2, kecintaannya kepada ilmu2 agama dan kesejahteraan umat, kepekaannya terhadap hal ehwal semasa yang melibatkan agama dan umat, mahirkan diri dengan beladiri dan ilmu peperangan, mencintai jihad dan syahid, sangat mencintai Al-Quran, hidup zuhud, qana’ah, mengutamakan Allah dan agama berbanding yang lain2, sangat bertimbangrasa walaupun terhadap musuh2nya, serta kuat perjuangkan aqidah dan tasawuf.
No comments:
Post a Comment