Sunday, August 11, 2024

Sejarah Ringkas Sultan Nuruddin Zangki

 

Sultan Nuruddin Zangki lahir pada tahun 1118 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1174 Masihi dalam usia 56 tahun. Baginda hidup sezaman dengan adik kepada Imam al-Ghazali iaitu Imam Ahmad al-Ghazali.


Sultan Nuruddin menjadi raja di Syam atau Syria mewakili Kerajaan Seljuk. Namun wilayah kekuasaanya melebar sehingga ke Mesir, Hijjaz dan Yaman.


Hubungan Sultan Imaduddin Zangki dan Imam al-Ghazali


Sebagaimana bapanya iaitu Sultan Imaduddin Zangki, Sultan Nuruddin Zangki juga bertariqah Ghazaliyah. Guru mursyidnya dalam Tarekat Ghazaliyah ialah al-hafidz Ibnu Asakir.


Dari segi sanadnya :

Sultan Nuruddin Zangki mengambil daripada

Syeikh Ibnu Asakir, yang mengambil daripada

Marwan bin Ali ath-Thanzi, yang mengambil daripada

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.


Ertinya Sultan Nuruddin ialah cicit murid kepada Imam al-Ghazali.


Mursyidnya iaitu Syeikh Ibnu Asakir juga merupakan penasihat kepada Sultan Nuruddin Zangki dalam perang jihad menentang tentera salib.


Selain daripada Ibnu Asakir, ada seorang lagi mursyid Tarekat Ghazaliyah yang sangat rapat dengan Sultan Nuruddin iaitu Qutbuddin an-Nisaburi. Sultan Nuruddin sendiri berusaha membangunkan pusat pengajian agama untuk Qutbuddin an-Nisaburi iaitu Madrasah al-Adiliyah al-Kubra.


Qutbuddin an-Nisaburi ini ialah anak murid kepada Umar bin Sahl dan Ahmad bin Yahya. Kedua-dua orang gurunya itu merupakan anak murid pula kepada Imam al-Ghazali. Ertinya Qutbuddin an-Nisaburi ialah cucu murid kepada Imam al-Ghazali.


Perjuangan dan Pengorbanan Sultan Nuruddin Zangki


Sultan Nuruddin Mahmud Zangki merupakan mentor kepada Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Sebelum Salahuddin al-Ayyubi mengasaskan Kerajaan Ayyubiyah di Mesir, Salahuddin merupakan panglima besar kepada Sultan Nuruddin Zanki.


Sebagaimana bapanya iaitu Sultan Imaduddin Zangki, Sultan Nuruddin Zangki sangat digeruni oleh tenetra Salib kerana baginda banyak berperang dan selalu mencapai kemenangan.


Pada tahun 1169, Nuruddin berjaya memasukkan Mesir ke dalam kekuasaannya. Sebelum itu Mesir diperintah oleh Kerajaan Fatimiyah yang berfahaman Syiah Ismailiyah. Mesir pun diperintah oleh panglima besar kepada Nuruddin ketika itu iaitu Syirkuh. Panglima Syirkuh merupakan bapa saudara kepada Salahuddin al-Ayyubi. Selepas Syirkuh meninggal dunia, Salahuddin al-Ayyubi menggantikan tempatnya sebagai pemerintah di Mesir mewakili kerajaan Zangki.



Kisah Mimpi Sultan Nuruddin Zangki


Pada sekitar tahun 1164 Masihi atau 557 Hijrah, Sultan Nuruddin Zangki bermimpi bertemu dengan Rasulullah saw. Dalam mimpinya itu Rasulullah saw telah berkata kepadanya :

Wahai Mahmud, selamatkanlah aku daripada mereka ini!” Sambil itu Rasulullah menunjukkan kepadanya dua orang lelaki. Sultan Nuruddin mengalami mimpi yang sama sebanyak tiga kali.


Perdana Menterinya yang soleh iaitu Jamaluddin al-Mausili percaya bahawa mimpi itu benar. Sultan Nuruddin pun membuat banyak persiapan lalu menuju ke Madinah. Biasanya perjalanan dari Syam (Syria) ke Madinah mengambil masa sebulan. Tapi cepatnya pergerakan Sultan Nuruddin ketika itu membuatkan mereka dapat tiba di Madinah dalam masa 16 hari sahaja.


Namun setelah tiba di sana, Sultan Nuruddin dan rombongannya kematian akal. Mereka tidak tahu cara untuk memenuhi maksud mimpi tersebut. Kemudian datanglah ilham lalu mereka mendapat idea untuk memberi hadiah kepada semua orang di Madinah. Walaupun hadiah sudah diberikan kepada semua orang, tetapi sultan masih belum nampak rupa kedua2 orang dalam mimpinya itu.


Ketika itu barulah dimaklumkan kepadanya bahawa masih tersisa dua orang asing yang tidak mengambil hadiah. Apabila mereka dibawa menghadap baginda, ternyata wajah mereka sama dengan yang dilihat dalam mimpinya. Mereka mengaku berasal dari Maghribi. Perwatakan mereka seperti orang alim. Mereka bercadang untuk tinggal beribadah di Madinah selama setahun.


Sultan Nuruddin sendiri dan orang2nya pergi menyiasat rumah sewa kedua-dua orang itu. Tidak ada sebarang keganjilan melainkan ada banyak wang. Dengan kehendak Allah, sultan tersepak sekeping kayu atau papan di lantai. Apabila diangkat, rupa2nya di bawah papan itu ada terowong. Terowong itu pula menuju ke makam Rasulullah saw dan sudah melepasi pun dinding Masjid Nabawi (yang makam Rasulullah ada di dalamnya). Mereka berdua pun ditangkap dan disebat.


Akhirnya mereka mengaku bahawa mereka ialah orang Kristian yang menyamar sebagai jemaah haji Maghribi yang datang dari Andalus (Sepanyol). Tujuan mereka adalah untuk mencuri jasad Nabi. Mereka pandai berlakon bagaikan orang alim lagi dermawan. Tanah yang mereka korek dibuang ke dalam telaga berhampiran rumah mereka dan ada yang diisi ke dalam beg lalu dibuang di kawasan perkuburan Baqi’ berhampiran Masjid Nabawi.


Sulan Nuruddin sangat murka lalu mereka pun dihukum mati. Mayat mereka dibakar. Selain itu baginda juga memerintahkan supaya digali lubang yang dalam di sekeliling makam Nabi. Kemudian lubang itu dipenuhkan dengan timah sampailah ke atas. Ia seolah2 satu tembok bawah tanah yang dapat menghalang sebarang cubaan menggali terowong menuju ke makam Nabi. Dipercayai tembok dinding itu masih wujud sehinggalah sekarang.



Kesudahan Hidup Sultan Nuruddin Zangki


Sultan Nuruddin Zangki meninggal dunia pada tahun 1174 M lalu digantikan oleh anaknya yang berusia 11 tahun. Selepas kematian Nuruddin, berlaku kekacauan politik di Syria lalu diselesaikan oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Akhirnya seluruh wilayah kekuasaan Nuruddin Zangki berpindah ke tangan Salahuddin al-Ayyubi lalu kembali stabil. Salahuddin pun mengasaskan kerajaan Ayyubiyah.


Kesimpulannya


Jelaslah bahawa menjadi seorang sufi tidak menghalang kita darupada berjuang untuk agama dan umat. Bahkan kesufian itu menjadi pendorong pula. Antara kebaikan2 Sultan Nuruddin Zangki yang patut kita contohi adalah gigih berjuang untuk agama dan umat, rajin membuat perancangan dan persediaan, cepat bertindak, bersemangat jihad, menghargai guru dan ulama, rajin mengasah bakat generasi pelapis, berpandangan jauh, peka dengan isu2 penting semasa, soleh, warak, berilmu dalam agama, beladiri, peperangan dan siasah.

No comments: