Sunday, July 16, 2023

Dua Kisah Pegangan yang Bermasalah

 

KISAH PERTAMA : Setelah beberapa hari bertukar2 fikiran melalui internet ini dengan seorang hamba Allah yang tidak sedar bahawa dirinya selama hari ini sudah berpegang dengan fahaman jabbariyah, dengan izin Allah setakat ini pegangannya berjaya dineutralkan. Dia sudah mengakui bahawa dirinya memang kena berusaha dan berikhtiar dengan gigih untuk melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.


Sebelum ini dia menyangka bahawa dengan ma’rifatnya (sebagaimana yang dia pelajari dan fahami) membuatkan dia hanya perlu melalui sahaja hidup di dunia ini dengan senang hati tanpa perlu mempedulikan syariat. Oleh sebab itu sudah bertahun2 dia tidak mengerjakan solat sebagaimana amalan para R4’S dan umat Islam lainnya, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan, dia mandi di pantai2 terkenal pakai seluar dalam sahaja, sengaja tidak pergi solat Jumaat (solat2 biasa pun tidak) dan sesekali minum arak. Semua hal itu dilaluinya tanpa sebarang rasa bersalah. Alhamdulillah. Syukur. Baru tahap neutral, semoga ada perubahan yang lebih baik.


KISAH KEDUA : Lebih 25 tahun yang lalu sahaya ada juga bertukar2 fikiran dengan seorang hamba Allah. Orang ini pula tidak belajar mana-mana ajaran yang bermasalah. Dia orang biasa2 sahaja sebagaimana kebanyakan orang lain tetapi pegangannya lebih kurang sama juga dengan hamba Allah di atas tadi, cuma dalam keadaan2 yang berbeza.


Dia “makan” duit “pejabat” senyap2 tapi apabila hal itu disedari orang, dia buat tak kisah sahaja. Dia langsung tidak berusaha untuk mengakui kesalahan, meminta maaf atau berusaha menggantikan wang tersebut. Dia sekadar berkata, “Yakin le setiap kejadian itu ada hikmahnya.”


Dengar khabar macam2 masalah yang dia buat – tipu sahabatnya tentang sewa rumah, lesapkan duit rombongan, menggoda isteri orang (masuk ke rumah), makan di kedai lalu blah begitu sahaja, pinjam duit tak pernah berbayar, dan macam-macam lagi. Tapi sebagaimana biasa dia sekadar melapangkan fikirannya sahaja dengan mengulang2 ayat yang lebih kurang sama iaitu :

Ini semua takdir Allah. Dah tentu ada hikmahnya.”

Apa yang Allah takdirkan itu adalah yang terbaik untuk kita. Yakin je.”

Allah Maha Pengampun. Allah Maha Pemurah. Apa kita nak risau?”

Fikir positif le.” (Ini ayat yang paling lazim digunakannya)


Yang melucukan tapi membengangkan, suatu hari orang ini hendak keluar ke kedai. Sahabatnya pun beri duit dan berpesan untuk membelikan makanan (contohnya nasi goreng kampung dan teh ais). Setelah dia pulang dari kedai ke rumah sewa mereka itu, dia terus duduk di ruang tamu berbual dengan rakan2 lain sambil dia sendiri yang habiskan nasi goreng dan teh ais tadi. Kemudian barulah dia masuk ke bilik tempat sahabat sebiliknya sedang menunggu.


Sahabat yang menanti pun bertanya, “Mana nasi goreng kampung dan teh ais aku?”

Jawabnya, “Aku dah makan kat ruang tamu tadi.” Lalu sambungnya selamba, “Begitulah ye... jika sesuatu rezeki itu bukan rezeki kita, sudah dekat dengan mulut kita pun, tetap akhirnya masuk ke mulut orang lain juga. Allah punya kuasa belaka.”

Langsung dia tidak ada rasa bersalah. Semua masalah yang melibatkan dirinya dia sandarkan kepada Allah (tetapi dengan cara sandaran yang salah). Nasib baik mereka tidak bertumbuk hari itu.


KESIMPULAN


Wakil2 fahaman sebegini ada sahaja di sekeliling kita. Sangat sukar untuk mereka mengakui kesilapan/ kesalahan/ kecuaian, untuk membuat pembetulan, untuk menggantirugi, untuk menjaga perasaan orang lain, dan untuk bertanggungjawab. Mereka sentiasa berasa tidak berdosa, atau kurang berdosa, berasa jauh daripada neraka, berasa selamat daripada murka-Nya, dan berasa ok2 sahaja.


Jadi, fahaman2 seperti ini bukan terkena pada orang2 yang belajar ajaran2 yang bermasalah sahaja, orang2 biasa yang tak belajar apa-apa ajaran bermasalah pun ramai yang kena.


Sebab itulah kita kena :

*Berguru, belajar bersungguh2, dan tafakurkan ilmu2 yang dipelajari.

*Selalu semak semula kebetulan dan ketepatan aqidah kita, berterusan.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

16/7/23

Blog Debunga Teratai Syurgawi


*Rugi di dunia sementara cuma, rugi di akhirat mungkin selama-lamanya.

*Semoga kita berada dalam 1 daripada 73 golongan.

*Tiada belajar, tiadalah tahu. Sudah belajar, insya-Allah tahu.

 


No comments: