Saturday, July 1, 2023

Zikir Ghaflah, Yaqazah, Hudhur dan Ghaibah

 

Soalan oleh M : Dikatakan ada 4 tingkatan zikir. 1. zikir ghaflah 2. zikir yaqazah 3. zikir hudur 4. zaikir ghaybah. Mohon ustaz percerahkan untuk saya.


Jawapan :

1. Zikir ghaflah (lalai, lupa)

Seseorang itu sedang cuba mengingati Allah dengan cara melafazkan kalimah2 zikrullah. Kalimah itu dilafazkannya sama ada di mulut, di qalbu atau pada kedua2nya sekaligus. Namun ketika melafazkan kalimah zikrullah itu, dia tidak sedar (lalai, lupa) daripada mengingati Allah.


Contohnya ketika dia melafazkan, "Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar...", dia sedang tidak ingat akan Allah pun. Pengertian "Allahu Akbar" itu pun tidak ada apa-apa, sekadar bunyi-bunyi sahaja. Kadang2 ada orang yang lupa pun bahawa dirinya sedang berzikrullah kerana hatinya sedang sibuk mengingati (menzikirkan) hal2 lain. Mulutnya sedang melafaz dan jari-jemarinya (atau biji2 tasbihnya) sedang bergerak tetapi hatinya penuh dengan urusan lain. Ibarat juga orang yang sedang solat tetapi dia terlalai sehinggakan dia lupa jumlah rakaat solatnya ketika itu. Dia tidak khusyuk. Ibarat juga orang tidur yang menyebutkan sesuatu tetapi dia tidak sedar pun apa yang disebutnya.


Zikir ghaflah ini walaupun seakan sia-sia dari satu sudut, tetapi sebenarnya ia tetap bagus kerana pelakunya sedang melakukan usaha untuk berzikrullah (mengingati Allah).


2. Zikir yaqazah (sedar, sedang jaga)

Ketika berzikrullah itu dia ada ingat akan Allah. Dia melafaz dalam keadaan sedar bahawa dia sedang mengingati Allah. Hatinya ada intibah (kesedaran peringkat awal) yakni ada sedar tentang perlakuannya ketika itu dan matlamatnya melakukan hal itu iaitu untuk ingat akan Allah.




Contohnya ketika dia melafazkan, "Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar...", dia sedang ada ingat akan Allah. Walaupun hatinya masih ada mengingati hal2 lain tetapi tetap ada juga mengingati akan Allah. Walaupun isi kalimah "Allahu Akbar" itu tidak sedang terisi dalam qalbunya namun sekurang2nya dia ada ingat akan Allah (tanpa "hu Akbar"). Kala mulutnya sedang melafaz dan jari-jemarinya (atau biji2 tasbihnya) sedang bergerak, hatinya ada juga ingat akan Allah. Ibarat juga orang yang sedang solat tetapi bercampur-campur antara khusyuk dan tidak khusyuk. Ibarat juga orang yang tidak sedang tidur (maksudnya sedang terjaga) yang menyebutkan sesuatu. Biasanya mereka tahu atau sedar akan hal yang mereka sebutkan itu.


Zikir yaqazah ini lebih baik daripada zikir ghaflah.


3. Zikir hudhur (bersama hadirnya hati)

Ketika berzikrullah itu, atau ketika melafaz itu, dia memang sedang ingat akan Allah, banyak ingat akan Allah atau sepenuhnya ingat akan Allah. Hadir qalbunya ketika itu.


Contohnya ketika dia melafazkan, "Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar...", dia memang sedang ingat akan Allah. Walaupun hati sebahagian daripada mereka masih ada mengingati hal2 lain tetapi lebih banyak mengingati akan Allah. Isi kalimah "Allahu Akbar" itu sedang terisi dalam qalbunya. Qalbunya sedang menghayati "Akbar"-Nya Allah. Kala mulutnya sedang melafaz dan jari-jemarinya (atau biji2 tasbihnya) sedang bergerak, hatinya sedang ingat akan Allah. Ibarat juga orang yang sedang solat dan banyak khusyuknya. Ibarat juga orang yang tidak sedang tidur (maksudnya sedang terjaga) yang menyebutkan sesuatu dan sedang memberi tumpuan kepada isi kandungan hal yang disebutkannya itu.


Zikir hudhur ini adalah lebih bagus daripada zikir yaqazah. Begitulah secara ringkasnya, tanpa perinciannya.


4. Zikir ghaibah

Ketika berzikrullah itu, segala selain Allah semuanya hilang (terhapus, ghaib, fana, binasa, lebur). Begitulah secara ringkasnya, tanpa perinciannya.


Zikir ghaibah ini adalah yang terbaik.


Wallahua'lam.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

1/7/23

Blog Debunga Teratai Syurgawi

No comments: