Saturday, July 22, 2023

Kepentingan Pemahaman Bahasa Halus

 

Kebanyakan orang menyangka bahawa apabila disebut nur, gunung, bumi, dunia, alam, pohon, telur, mutiara dan sebagainya itu betul2 rupanya sebagaimana cahaya, gunung, bumi, dunia, alam, pohon, telur, mutiara dan sebagainya yang biasa dilihat dengan mata kepala manusia, atau sekurang-kurangnya yang menghampiri rupanyanya sebegitu. Sebab itulah dalam tulisan2 kita selalu juga kita letakkan tanda seperti “nur”, “gunung”, “alam” dan lain-lain pada bahagian2 penting agar dimengerti bahawa ada perbezaannya dari segi matlamat yang mahu dicapai walaupun perkataannya sama. Namun begitu masih ramai juga yang “melanggar” begitu sahaja lalu tersalah pemahaman. Biar belum sampai pemahaman daripada tersalah pemahaman. Umumnya mudarat tersalah pemahaman itu lebih besar daripada mudarat belum sampai pemahaman.


Memanglah pada zaman dahulu kala belum ada simbol2 peringatan dalam tulisan sebagaimana sekarang tetapi apabila zaman berubah maka kita perlu kepada tajdid. Dulu2 tidak ada baris dan tidak ada titik dalam tulisan Arab dan Al-Quran. Tidak ada tanda soal, seruan, noktah, koma, pembuka kata, huruf besar huruf kecil dan tiada pemerengganan dalam penulisan rumi. Bayangkan anda membaca sebuah buku ratusan halaman tanpa tanda2 ini, ringkas kata risiko untuk tersalah faham itu agak tinggi.


Dalam hal-hal tertentu, apabila disebut “gunung” lalu anda memahaminya sebagai gunung, maka anda akan jauh tersasar daripada matlamat yang mahu dicapai. Orang2 yang kurang berkebolehan dalam hal ini sukar untuk pergi jauh dalam pelajaran tasawuf, sufi, tafsir Al-Quran, tafsir mimpi, sastera, teks2 purbakala dan sebagainya. Jika kita tidak dapat melepasi wilayah bahasa sufi, bahasa dalam, bahasa khusus, bahasa tinggi atau bahasa halus ini, memang sukarlah untuk kita memajukan kasyaf masing2.


Contoh :

Rumah Ali di gunung merah tidak sama pengertiannya dengan rumah Ali di “gunung merah”.


(Contoh dari sudut yang lain pula :

Katakanlah gunung merah itu tingginya 7000 meter.

Ali berdiri di gunung merah tidak sama dengan Ali berdiri di kemuncak gunung merah. Hal ini kerana jika Ali berada di kaki gunung merah, atau 10 meter ke atas gunung merah, atau 100 meter ke atas gunung merah sahaja pun, maka Ali sudah dikira sebagai berdiri di gunung merah walaupun kemuncaknya setinggi 7000 meter.

Berada di gunung tidak semestinya bermaksud berada di puncak gunung.)


Contoh lain :

Dalam pelajaran yang tinggi2 atau dalam2 berkaitan dengan “nur”, selagi terlintas di hati kita adanya gambaran cahaya, terang, cerah, pancaran, silau, berwarna (putih/ kuning/ merah/ dsb), maka ertinya belum sampailah tu. Masih jauh lagi “perjalanan ke arah nur” itu.


Kesimpulannya, ditarbiahkan oleh guru2 dengan ilmu2 bahasa halus ini adalah sangat penting dan perlu diusahakan. 




Abu Zulfiqar al-Amsyari

22/7/23


No comments: