Soalan 71 : Saya ada kemusykilan ustaz. Mengapa kitab-kitab Imam Ghazali masa diperkenalkan ke Eropah, namanya diubah kepada Algazel? Macam ada permainan di situ.
Jawapan : Ya, tidak mustahillah ada kepentingan-kepentingan tertentu apabila nama tokoh-tokoh Muslim yang diperkenalkan ke Eropah berubah bunyi dan ejaan nama mereka. Tapi saya secara peribadi lebih memandang hal itu sebagai kebiasaan manusia.
Cara peralatan lisan (lidah, gigi, gusi, mulut, tenggorok dan lain-lain) mengeluarkan kata-kata memang berbeza antara masyarakat dan tempat. Ada perkataan-perkataan Arab yang sukar untuk disebut dengan tepat oleh orang Eropah, dan sebaliknya. Ada perkataan-perkataan Melayu yang sukar disebut dengan tepat oleh orang negara China, dan sebaliknya. Ada perkataan-perkataan Rusia yang sukar disebut tepat oleh orang Parsi. Begitulah seterusnya.
Jadi, memanglah kita lihat Al-Ghazali jadi Algazel, Ibnu Rushd jadi Averros, Abu al-Qasim jadi Abulcasis, Ibnu Sina jadi Avicenna, dan sebagainya. Begitu juga apabila orang Arab menyebut nama tokoh-tokoh Eropah seperti Plato jadi Aflatun, Alexander jadi Iskandar, Caesar jadi Qaisar, nama tempat Constantinople jadi Qustantiniyah, dan sebagainya. Ini semua adalah biasa.
Ada ulama dari Uzbekistan iaitu Syeikh Ibrahim As-Samaqandi datang ke Pulau Jawa pada zaman dahulu. Di Jawa, namanya berbunyi keJawaan lalu menjadi Asmarakandi. Bukannya kerana masyarakat Jawa ada kepentingan tertentu menyebutnya begitu tetapi kerana namanya disebut dengan peralatan lisan yang sudak terbiasa dengan bahasa Jawa.
Orang-orang negara China pada zaman dahaulu kala menyebut Kelantan sebagai Ho Lo Tan atau Kuo Lo Tan, Parmeswara sebagai Pai-li-mi-su-la, Pulau Bali disebut Po-li, dan sebagainya.
Dalam sesama bangsa Melayu sahaja sudah ada perbezaan. Contohnya Raja Ibrohim (bunyi Arab), Raja Ibrahim (bahasa Melayu standard), Raja Ibrahem, Ghaja Berahim (utara), Iberahim, Iberahem, Brahem, Braem, dan sebagainya. Wallahua'lam.
Soalan 72 : Salam tuan. Saya baca buku-buku tuan. Saya perasan ada artikel-artikel dalam buku-buku tu dah ada di blog tuan (*maksudnya sudah disiarkan di blog sahaya lebih awal). Tapi ada beberapa artikel dalam buku yang berbeza sedikit dengan yang dalam blog.
Jawapan : Waalaikumussalam tuan. Sebelum ini pun sudah ada orang yang bertanya. Hal ini ada saya sentuh dalam buku terbaharu (belum keluar, masih dalam proses cetakan) saya iaitu siri ke-3 Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah (Pencerahan) pada bahagian Kata Pengantar.
Saya petik dan bawa ke sini : "Sebahagian daripada isi kandungan buku ini sudah ada disiarkan dalam blog-blog dan akaun-akaun media sosial sahaya yang lain. Sekiranya terdapat sebarang perbezaan, maka yang di dalam buku-buku sahayalah yang rasminya. Hal ini kerana sebelum di masukkan ke dalam sesebuah buku, tulisan-tulisan itu telah disemak sekali lagi dan dikemaskinikan."
Bukan untuk buku ini sahaja. Maksudnya untuk kesemua buku-buku sayalah. Yang rasminya berada dalam buku-buku. Begitulah ceritanya.
Soalan 73 : (*Soalan ini berkaitan dengan pukulan jarak jauh jenis MELANTUNKAN penyerang. Rujuk Soalan 66 dan 70. Ketiga-tiga soalan oleh tiga individu yang berbeza) Camne pulak dengan guru vs murid? Kadang-kadang dalam demo ada guru vs murid lawan pukulan jarak jauh. Biasa guru le menang, murid terpelanting. Kadang-kadang sama-sama kuat.
Jawapan : Ada beberapa keadaan :
i) Si guru TAHU bahawa semua itu adalah pengaturan hipnotis, atau refleks kebiasaan, atau kedua-duanya sekali, lalu dia membatalkan saranan-saranan dan kepercayaan-kepercayaan dalam minda bawah sedarnya. Guru jenis ini biasanya tidak akan menjadikan dirinya sebagai penyerang. Untuk penyerang, dia akan pilih orang lain. Jika perlu, dia hanya mahu jadi penanti sahaja. Jika dia sparring dengan murid-muridnya, dia akan menang kerana dia bebas daripada pengaturan hipnotis dan refleks kebiasaan. Dia tidak akan tersekat, terkeras, kesakitan, terlambung dan sebagainya. Sentuhan pukulannya akan kena pada tubuh si penanti.
ii) Si guru TAHU tetapi dia dengan sukarela atau sengaja tidak mahu membatalkan hipnotis dan refleks kebiasaan pada dirinya. Guru jenis ini biasanya bersetuju jadi penyerang dan dia akan tersekat, terkeras, terpantul, dan sebagainya. Dia juga biasanya mahu sparring dengan murid-muridnya. Maka pertempuran mereka akan jadi macam pertempuran tenaga ghaib jarak jauh (macam Naruto berlawan), tanpa sentuhan.
iii) Si guru TIDAK TAHU bahawa semua itu hanyalah pengaturan hipnotis dan refleks kebiasaan. Dia benar-benar percaya bahawa itu semua satu power yang mencarik adat (seperti kuasa dalaman, tenaga batin, chi, inner power, bantuan malaikat, pertolongan jin-jin, maunah, karamah. dan sebagainya). Dia tidak tahu kerana gurunya dahulu juga tidak memberi tahu kepadanya. Dan mungkin gurunya dahulu juga tidak tahu muslihat ini. Guru-guru jenis inilah yang selalu kita lihat apabila bertempur dengan orang lain yang tidak terhipnotis (contohnya pengamal seni beladiri zahir macam gusti, tinju, MMA, pencak silat, wing chun), biasanya mereka akan kena belasah teruk. Jika sesama murid-muridya memang dia handal, kerana murid-muridnya telah terhipnotis dan diberi refleks kebiasaan. Video-video berkaitan sekarang sudah banyak di internet. Boleh tonton. Wallahua'alam.
Soalan 74 : Ustaz aktif le balik di FB dan WA. Sekarang semua page ustaz nampak macam rasmi je. Sesekali nak juga baca celoteh ustaz. Mohon maaf ustaz saya beri cadangan.
Jawapan : Aktif juga, cuma tak macam dulu. Dah ada yang tolong update, boleh sahaya tumpu yang lain-lain. Kalau aktif macam dulu, tak dapat le nak dapat kumpul dan jawab banyak soal jawab ringkas macam ni, tak dapat menulis dan update blog selalu, dan kena kurangkan banyak aktiviti halaqah usrah, juga lambat le nak keluar buku. Alhamdulillah. Syukur. Dalam masa 4 bulan ni sahaya dapat siapkan 4 buku. Insya-Allah sesekali sahaya menulis juga di Facebook dan WhatsApp. Tolong doakan sahaya.
Soalan 75 : Saya pernah ikut bapa saudara saya ke rumah satu orang ni. Kami berempat, satu kereta. Pendekkan cerita, orang itu masukkan daun-daun ke dalam satu timba. Dia baca sesuatu, agak lama juga. Lepas tu dia minta kami berzikir perlahan-lahan jangan berhenti sambil dia gaul daun-duan di dalam timba tu. Yang peliknya, tak lama lepas tu daun-daun tu bertukar jadi duit kertas. Banyak. Saya tengok sendiri. Apa pandangan ustaz?
Jawapan : Sekiranya kesemua daun-daun itu bertukar menjadi duit, saya tak tahu ilmu apakah itu. Tapi jika masih kelihatan daun-daunnya yang bercampur dengan duit-duit, sefaham saya itu hanyalah permainan teknik silap mata. Duit-duit sudah diletakkan di dalam bekas tersebut (timba, baldi, kotak, beg dan seumpamanya). Cara meletaknya itu dibuat dengan berhati-hati. Duit-duit kertas itu disusun macam duit yang baru dikeluarkan dari mesin ATM, dipadat dan dinipiskan agar mudah disorok di dalam bekas tersebut. Kedudukan duit-duit itu disamarkan guna bahan-bahan yang membuatkan kita tak terperasan menggunakan kertas, atau plastik, warna yang seakan-akan warna bekas, atau diselit sahaja jika bekas itu mudah dibuat lubang (macam kotak), dan sebagainya. Ketika orang itu mengggaul-gaulkan dedaun, sambil-sambil itu jarinya akan mencuit dan menarik keluar helaian-helaian duit itu sehelai demi sehelai. Lama-kelamaan, akan kelihatan semakin banyak duit-duit kertas di dalam himpunan dedaun tadi. Begitulah rahsianya.
Sambungnya : Terima kasih ustaz. Duit-duit tu bercampur gaul dengan daun-daun. Tak semua daun bertukar jadi duit.
Jawapan : Kalau begitu, kuatlah lagi bahawa itu hanyalah teknik permainan silap mata sahaja.
(*Ada geng-geng tarik duit yang bijak memvariasikan lagi permainan ini. Hasilnya lebih menarik dan meyakinkan. Ada yang guna waktu malam, rumah buruk, kawasan pinggir hutan, karung guni, dan sebagainya)
Soalan 76 : Dah berapa lama tuan amalkan Tarekat Ghazaliyah ni?
Jawapan : Masuk tahun ini, baru mencapai 25 tahun.
Soalan 77 : Benarkah Nizam Al-Mulk (*Perdana Menteri Kerajaan Seljuk pada zaman Imam Al-Ghazali, pengasas sekolah Nizamiyah) dibunuh oleh assassin?
Jawapan : Itu pandangan yang paling masyhur dan paling kuat kaitannya. Mungkin betullah tu. Seorang ahli hasyasyin menyamar sebagai seorang sufi lalu menikan Nizam al-Mulk dengan pisau yang menjadi identiti para hasyasyin.
Namun ada juga pandangan-pandangan sampingan. Antaranya yang mengatakan dia dibunuh oleh, atau atas arahan, atau oleh penyokong Sultan Malik Shah sendiri kerana hal ehwal dalaman sesama mereka. Wallahua'alam.
Soalan 78 : (*Soalan ini juga berkaitan pukulan jarak jauh melambung. Para pembaca boleh rujuk Soalan no. 66, 70 dan 73) Ustaz tahu ke tak peristiwa ni saya tak pasti le. Tahun 90-an dulu ada pergaduhan antara agama di xxxxx. Ada seorang kiyai pertahankan sebuah kampung. Pihak musuh tak boleh rapat, terlambung habis. Lepas tu musuh berundur dan datang lagi. Kali ni diorang guna tombak-tombak yang dilumur dengan darah babi. Tapi kali ni diorang dapat bunuh kiyai tu. Yang tu macam mana pulak?
Jawapan : Kebetulan saya tahu cerita tu. Rasanya memang cerita yang sama. Jika salah, mohon maaflah. Namannya Imam Jxxxxxx. Dia seorang imam masjid. Ketika peristiwa itu berlaku, guru agama sahaya itu masih hidup lagi. Dia berkomentar tentang peristiwa tersebut.
Menurutnya, memang benar Imam Jxxxxxx itu ada ilmu "perisai diri". Dia tidak kebal tetapi musuh-musuhnya dan senjata-senjata tradisional mereka tidak dapat menghampirinya. Kalau diserang, musuh-musuhnya akan terhumban ke belakang. Hal ini sedemikian kerana si imam ada ilmu mendapatkan bantuan daripada mahkluk-makhluk halus yang disebut sebagai jin Islam. Tapi tak pasti benar-benar Muslim atau tidak, cuma mereka memang spesis yang tidak suka benda-benda kotor terutamanya darah babi. Kita sedia maklum bahawa banyak jenis jin yang ada pantang-pantang tertentu dna berbeza-beza. Dan bagi jin-jin yang digunakan oleh si imam, mereka pantang dengan benda-benda kotor sebab mereka spesis bersih dan mungkin betul beragama Islam.
Jadi, ketika pihak musuh melontar dan menikamkan tombak-tombak yang sudah dilumur dengan darah babi, jin-jin itu pergi dari situ. Sebab itulah si imam tertikam. Kemudian mayatnya digantung di jalan oleh musuh-musuh yang menyerang tadi dan kampung itu pun dapat mereka tawan. Wallahua'lam.
Soalan 79 : Soal jawab ringkas ni semua ada berapa ustaz? Saya suka baca.
Jawapan : Soalan-soalan yang dikemukakan kepada saya ada banyak. Setiap hari ada. Saya cuma dapat menjawab 2-3 soalan sahaja sehari, kalau tak panjang. Yang saya masukkan ke dalam siri Soal Jawab Ringkas dan Jawapan-jawapan Ringkasnya ini, setakat soalan tuan ini, ada 79.
Soalan 80 : (*Soalan ini pun berkait dengan pukulan terpelanting juga) Tak bahayakan diri ke kalau pernah beri orang hipnotis?
Jawapan : Sahaya tak pasti dalam hal ini, sebab sahaya bukan ahli dalam hipnotis. Kalau ikutkan sebahagian pengamal hipnotis dunia barat dan timur, ok sahaja. Ada pula pengkaji kata tak elok melainkan untuk merawat masalah-masalah kesihatan tertentu. Pandangan si ustaz itu pula, dia tak bagi langsung kita biarkan diri terhipnotis, sama ada kita sedar itu hipnotis atau tidak. Wallahua'lam.
Sambung lagi : Apa alasan dia?
Jawapan : Pandangan dia le, jangan pernah bagi orang "tebuk" lubang ke minda kita. Kalau dah terbuka, ia akan mudah terbuka lagi walaupun dah ditutup kembali. Mungkin juga akan sentiasa terbuka. Baginya hal itu sangat berbahaya kerana pada lain kali orang yang pandai dalam hal itu boleh gunakan kita.
Lagi satu, yang dok beri saranan-saranan (cuba hipnotis) ni bukan manusia sahaja. Jin-jin pun dok tunggu peluang juga. Kita tak nampak mereka. Mereka boleh cuba masukkan saranan-saranan ke minda bawah sedar kita dari semasa ke semasa.
Sambung pula lagi : Bukan susah ke nak hipnotis orang?
Jawapan : Sebenarnya ramai orang mudah dihipnotis, lebih-lebih lagi jika dalam kumpulan besar sekaligus (beramai-ramai) kerana ada faktor pengaruh-mempengaruhi (seakan-akan teori domino). Orang yang handal boleh hipnotis orang lain dengan kata-kata sahaja. Biasanya kata-kata yang sangat berulang-ulang. (*Dalam perkumpulan-perkumpulan atau jemaah-jemaah yang nampak Islamik pun ada juga. Berhati-hati dengan ajaran yang asyik mengulang-ulang saranan tertentu. Mengulang-ulang itu bagus, tapi terlalu mengulang-ulang itu ada bahayanya. Sebab itu ada sebahagian orang jadi taksub)
Ada yang guna sentuhan lembut dan kata-kata memujuk/menasihat. Ada yang guna nama "membuka" sesuatu pada diri kita dengan cara menepuk bahagian-bahagian tubuh tertentu. Ada yang guna nama "pemasuk", kononnya memasukkan sesuatu yang hebat ke dalam diri kita. Ada yang guna tepukan seperti di bahu lalu kemudian dia berkata-kata (berusaha beri saranan kepada minda bawah sedar kita). Selalu dengar kes pukau? Selalunya tak guna sihir atau jin pun, cukup dengan kemahiran hipnotis sahaja. Ada yang suruh kita buat bacaan sekian-sekian sehingga sangat banyak sampaikan kita "lelah" dan berada dalam minda bawah sedar, maka ketika itu dia masukkan saranan-saranannya.
Pernah ada satu ajaran yang guna hipnotis tanpa disedari oleh murid-muridnya, sehinggakan murid-murid kanannya (maksudnya yang sudah selalu sangat terhipnotis dengan dia) boleh nampak malaikat Jibril, nampak 'Arasy, melihat gurunya setinggi langit ke bumi, dan sebagainya.
Orang yang mahir hipnotis boleh buatkan mereka yang terhipnotis ternampak tali kasut dan dipercayainya sebagai ular besar, lopak air dilihat dan dipercayainya sebagai lautan yang luas, batang kayu dilihat dan dipercayainya sebagai naga, dan sebagainya. Wallahua'alam.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
Siap dikumpul lalu disiarkan pada 21 Februari 2021
*Selalu ada yang bertanya kepada sahaya baik secara bersemuka atau melalui media-media sosial. Ada banyak. Soal jawab ringkas ini sahaya kumpulkan dan kongsikan. Banyak lagi soal jawab yang tak sempat saya kumpulkan. Bahkan banyak yang tak sempat berjawab dan ada juga yang terlepas pandang – tak berbaca pun. Mana-mana yang sempat saya petik sahajalah. Semoga bermanfaat.
JOM BACA YANG SEBELUM2 INI
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 61-70)
https://alexanderwathern.blogspot.com/2021/02/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_19.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasanya (bil. 51-60)
https://alexanderwathern.blogspot.com/2021/02/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 41-50)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_17.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 31-40)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_5.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 21-30)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 11-20)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/soalan2-ringkas-dan-jawapan2.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 1-10)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/10-soalan-ringkas-dan-jawapan-ringkasnya.html
No comments:
Post a Comment