Friday, February 19, 2021

Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 61-70)

 

Soalan 61 : Cukup tak kalau saya punya zikir pagi dan petang tu, saya guna wirid lepas solat Subuh dan lepas solat Asar beramai-ramai dengan tok imam je? Atau kena buat juga wirid pagi petang yang lain?


Jawapan : Sudah memadai dengan cara begitu. Tetapi jika dapat ditambahkan dengan wirid pagi dna petang yang lain selain daripada yang dibaca beramai-ramai dengan imam selepas solat tu, yang itu adalah lebih bagus.



Soalan 62 : As-salam. Tuan buat rawatan Islam?

Jawapan : Waalaikumussalam. Tak buat lagi. Saya berhenti jadi perawat tahun 2012.


Soalan lagi : Kalau minta scan sahaja daripada jarak jauh, boleh? Untuk tengok ada saka atau sihir.

Jawapan : Mohon maaf tuan. Saya tak ada kebolehan scan dari jarak jauh.



Soalan 63 : Saya ada berbual dengan satu orang ni. Dia kata, ibadat solat itu bukan macam solat yang kita buat di masjid, tapi solat itu ialah perbuatan mencegah yang keji dan mungkar. Itulah solat yang sebenar. Dia berhujah guna surah Al-Ankabut ayat 45. Dia memang tak buat solat lima waktu. Camne tu ustaz?


Jawapan : Tersilap faham tu. Al-'Ankabut : 45 : "Solat itu mencegah daripada yang keji dan mungkar".


Ayat ini bukan bermaksud "Solat itu IALAH mencegah daripada yang keji dan mungkar", tetapi yang sebenarnya bermaksud "Solat itu DAPAT mencegah daripada yang keji dan mungkar."


Cara pemahamannya - Solat yang benar itu memang DAPAT mencegah daripada yang keji dan mungkar, tetapi mencegah yang keji dan mungkar itu tidak semestinya solat. Ada perkara-perkara lain yang turut DAPAT mencegah yang keji dan mungkar.


Contoh mudah - Senyum ikhlas itu memberikan ketenangan kepada orang-orang memandangnya.


Kata-kata ini bukan bermaksud "Senyum ikhlas itu IALAH memberikan ketenangan kepada orang-orang yang memandangnya" tetapi sebenarnya bermaksud "Senyum ikhlas itu DAPAT memberikan ketenangan kepada orang-orang yang memandangnya".


Senyum yang ikhlas itu memang DAPAT memberikan ketenangan kepada orang-orang yang memandang, tetapi ketenangan orang-orang yang memandang tidak semestinya dengan senyuman ikhlas. Ada perkara-perkara lain yang turut DAPAT memberikan ketenangan kepada orang-orang yang memandang.


Contoh lain : Berpuasa itu melemahkan kehendak hawa nafsu.


Maksudnya, berpuasa itu DAPAT melemahkan kehendak hawa nafsu, bukannya berpuasa itu IALAH melemahkan kehendak hawa nafsu.



Soalan 64 : Begini ustadz. Dari sejak kecil saya sulit (sukar) bicara/gugup, tapi kalo lagi (sewaktu) membaca Al-Qur'an, atau berdo'a, lagi sholat dan sebagainya, itu gak sulit (tidak ada masalah), tapi kalo ngobrol (berbual) sama teman, susah.


Aku bingung ustadz. Ini kan ujian dari Alloh Apakah saya salah jika aku terus meminta kepada Alloh supaya saya tidak seperti ini? Ataukah menerima keadaan aja?


Tapi kalo menerima keadaan, bagi saya sangat sulit ustadz. Terkadangkan orang tua (ibu bapa) atau guru saya menyuruh yang berhubungan dengan ucapan, saya bingung ustadz, saya sulit mengucapkan itu, dan saya merasa malu jika sulit bicara, sampai-sampai mata saya terpejam. Mungkin ustadz juga pernah melihatnya org yang gugup kaya (keadaannya) bagaimana.


Dan kalo boleh untuk berdo'a, saya akan berdo'a, dan kalo harus (perlu) dibarengi (disertakan) dengan obat, atau pekerjaan (tindakan), insyaAlloh saya akan cari atau lakuin (lakukan) pekerjaan itu. Saya mohon solusinya ustadz. Terima kasih.


Jawapan : Antara usaha yang boleh dilakukan :


i) Berdoa. Mohon kepada Alloh. Nyatakan hajat kita. Boleh dinyatakan sahaja dalam bahasa sehari-hari kita karena Allah memahami segala bahasa. Dia suka abdi-Nya memohon kepada-Nya karena di situ ada pengakuan kerendahan dan kelemahan diri kita, dan yang lebih penting lagi, ada pengagungan serta pengiktirafan kepada-Nya. Sebab itulah berdoa itu berpahala. Itu tandanya Alloh suka. Menurut para sufi, apabila hati kita terdetik untuk berdoa sahaja, itu sudah antara petanda Alloh mahu memberi. Dari segi hakikatnya, hanya Dia sahaja yang ada kuasa untuk memberi (termasuklah memberi kelancaran dalam berbicara). Selain daripada Dia, tidak ada yang berkuasa untuk memberi.


Kita usahakan memohon. Yang diminta terima lagi diminta redha itu adalah hasil permohonannya itu, sama ada dikabulkan atau tidak. Sekiranya sudah banyak kali memohon tapi masih belum berjaya, tiada masalah. Kita terima saja ketentuan-Nya, dan... kita teruskan lagi doa dan usaha.


ii) Dari segi amalan bacaan, kita selalulah baca ayat-ayat daripada Surah Toha : 25-28. Coba cari artinya, sejarahnya dan hayatilah bacaannya agar berbekas di jiwa. Jika ada kesempatan sebelum berbicara sama orang, baca dahulu ayat-ayat ini, lalu terus lontarkan kata-kata, jangan ditunggu diam yang lama. Diam yang lama itu akan membebankan kita untuk berfikir dan menyusun kata-kata.


Satu lagi amalan bacaan yang bagus lagi mudah ialah amalkan Surah Al-Insyirah. Surah ini sesuai dibaca sebelum atau sesudah doa no. (i) tadi karena pada ayat akhirnya bermaksud : "Dan kepada Rabbmu hendaklah engkau meminta."


iii) Ada ketikanya lebih sesuai jika kita pendekkan pemilihan kata, karena jika dipanjangkan, kita akan lebih stress untuk melanjutkan bicara sehingga menyukarkan keluarnya bicara.


Contohnya, jika ada yang bertanya kepada kita : "Kamu tinggal di mana?"

Jawab aja : "Katapang."

Jangan difikir-fikir untuk menjawab : "Saya tinggal di pinggiran kota Bandung, tepatnya di Katapang." Ini bisa bikin stress untuk melontarkan kata-katanya.


iv) Kuatkan sedikit suaranya ketika mengeluarkan kata-kata. Cara begini akan lebih memberi keyakinan kepada diri kita dan orang akan lebih mengambil berat akan kata-kata kita.


v) Gunakan dialek/loghat bahasa yang biasa kita guna. Jika kita guna dialek/loghat yang jarang-jarang kita guna, karena otak kita kena lebih berfikir untuk menyusun kata-kata.


vi) Terus lontarkan kata-kata. Jangan terlalu difikir tentang susunan kata-katanya karena akan membebankan otak kita dengan berfikir. Ketika membaca Al-Quran, berdoa dan mengerjakan solat, kata-katanya tidak perlu kita fikir dan susun. Sebab itulah lancar sahaja. Jadi, kita tanamkan dalam hati bahawa dari segi hakikatnya, Alloh yang membuatkan orang faham akan kata-kata kita, bukannya kita yang ada kuasa untuk membuatkan orang faham.


vii) Dapatkan nasihat doktor juga sangat bagus. Ada terapi-terapi yang mereka boleh saranankan dalam hal ini. Sedikit-sebanyak memang dapat membantu.


viii) Jangan terlalu memandang orang-orangnya ketika mahu berbicara. Tentu ada orang yang lebih tua, lebih berpangkat, lebih alim dan sebagainya di sekitar kita. Kita memang merendah diri tetapi jangan terlalu merendah diri kerana akan membuatkan kita gugup berbicara.


ix) Dari segi pemakanan, sefaham saya sangat bagus jika dapat selalu mengambil badam, kismis, ginkgo biloba dan minum koko.


Semoga perkongsian ringkas ini bermanfaat buat tuan.



Soalan 65 : Tuan, boleh jelaskan tak apa maknanya "tak layak bercakap hal maqam ma'rifat sedangkan dia cuma peringkat bawah"?


Jawapan : Contohnya seseorang yang ada atau suka bercakap tentang hal-hal yang lebih tinggi daripada dapatannya sendiri dalam hal ehwal keRUHanian ini, yang menunjukkan atau mengisyaratkan dirinya ada faham atau sudah "mencapai" hal-hal yang diceritakannya itu. Hal ini berlaku pada semua maqam, bukan pada maqam ma'rifat sahaja.


Contohnya seperti dia berbicara tentang "memandang" Wajah Allah, "mendengar" alam berbicara, haqiqat kenabian, akhir ad-diin, kamal ad-diin, alam malakut, baqa', "mendengar" kalam qadim, "menyaksikan" kejadian syaitan, mendapat ilmu laduni, Nur Allah, dan sebagainya, sedangkan dia tidak "mencapai" pun hal-hal tersebut. Adalah sangat penting agar dia tidak bercerita tentang hal itu kepada orang-orang lain semua kerana ada mudarat-mudaratnya lebih-lebih lagi untuk dirinya sendiri. Ringkasnya begitulah.



Soalan 66 : Ustaz mungkin biasa tengok atau pernah alami sendiri yang dikatakan ilmu pukulan jarak jauh, di mana orang yang menyerang terlambung ke belakang, ada yang terus keras macam patung, yang kelihatan kesakitan dan sebagainya. PERSOALAN SAYA, bagaimana hendak membezakan mana yang benar-benar ada kuasa MELANTUNKAN orang atau dalam kata lain yang benar-benar asli bersifat beladiri dan yang mana sekadar permainan hipnotis sahaja?


Jawapan : Sahaya menjawab bahagian yang DIPERSOALKAN sahaja ya. Tentang "mana yang benar-benar ada kuasa MELANTUNKAN" sahaja. (Sengaja sahaya besarkan perkataan-perkataan itu agar jawapan sahaya nanti tidak terkeluar jauh daripada persoalan yang ditanya)


Sebenarnya persoalan yang lebih kurang serupa pernah ditanyakan kepada salah seorang guru agama saya dahulu (lebih 20 tahun dahulu). Jadi saya ambil idea si gurulah dan saya sesuaikan dengan situasi hari ini.


Pertunjukan/demonstrasi yang biasa kita lihat itu sebahagiannya (maksudnya BUKAN SEMUALAH) yang hanyalah sekadar permainan penguasaan dan pengaturan minda, atau kebiasaan refleks yang dilatih selalu, atau kedua-duanya sekali. Banyak orang mengaitkannya dengan hipnotis. Guru sahaya itu dulu menyebutnya sebagai pukau (istilah ini mungkin tepat dan mungkin tidak). "Setting" ini dilakukan sewaktu seseorang itu berada dalam minda bawah sedar.


Orang-orang yang bersetuju mindanya menerima saranan-saranan (sama ada secara disedarinya atau tidak disedarinya), biasanya akan terdorong bertindak sebegitu. Mereka tidak akan dapat menghampiri, menyentuh dan menyakiti sasaran seperti manusia (tua, muda, lelaki, perempuan, besar, kecil, hidup, mati), botol, batu, tembok, anak patung dan sebagainya.


Ada yang kesakitan apabila menyerang, bukan kerana terkena sebarang pukulan tetapi kerana dia yang menghenyak diri dan tenaganya sendiri secara maksima. Tambahan lagi jika orang itu sendiri seorang yang lemah kerana kurang beraktiviti, kurang sihat, atau ada penyakit-penyakit tertentu, lagilah teruk keadaannya.


Ada yang keras macam patung, terlompat-lompat macam orang hilang kewarasan, tertawa tak berhenti-henti, jika berlari keluar pun seakan-akan tertarik semula ke arah yang diserang, dan sebagainya, mengikut kebijaksanaan si pengajar menanamkan saranan minda lalu diterima dan dan dipercayai oleh murid-muridnya. Jika penyerang melemparkan batu, parang, lembing dan sebagainya pun, tangannya akan mengarahkan benda-benda itu ke kiri, kanan, bawah atau atas, mengikut saranan minda yang diberi penghipnotis dan diterimanya ketika dia berada di minda bawah sedar.


Berbalik kepada persoalan asal yakni tentang TERLAMBUNG atau TERLANTUN. Mana yang benar-benar boleh melambungkan? Jadi, kita FOKUS kepada hal yang ditanya.


Menurut ustaz tadi, antara kaedah mahu menguji yang aslinya (yang bukan permainan hipnotis dan refleks kebiasaan) yang benar-benar boleh melambungkan :


i) Cara yang banyak kerja - Minta para penyerang naik ke atas sesuatu yang lebih tinggi daripada yang diserang seperti tangga, tembok, pokok atau seumpamanya, dan minta si penyerang menyerang dengan cara menjatuhkan dirinya tepat ke atas yang diserang. Kata guru sahaya, macam yang Jimmy "Superfly" Snuka buat dalam gusti. Sekiranya mereka jatuh tidak tepat, maksudnya mereka masih di bawah pengaruh hipnotis atau refleks kebiasaan. Sudah tentu mereka akan jatuh contohnya ke kiri atau ke kanan. Yang ini tidak dikira.


Cari yang betul-betul boleh jatuh tepat ke atas yang diserang. Sekiranya ketika tubuh si penyerang hampir sampai kepada yang diserang dan tiba-tiba tubuh si penyerang terlambung ke atas seolah-olah lantunan bola ping pong, seolah-olah terhalang sebentar oleh sesuatu yang tidak kelihatan, atau seolah-olah terlanggar sesuatu yang ghaib lalu terlantun ke belakang, kemungkinan besar itulah yang aslinya (yakni yang benar-benar boleh melantunkan). Baru mungkin ya, belum pasti lagi.


Jika tidak terlambung pun, sekiranya tiba-tiba tubuh si penyerang terhenti sekejap di udara sekadar separuh detik sebelum terlencong ke kanan atau ke kiri, mungkin benarlah itu. Tetapi jika terus sahaja terlencong, yang itu bukan dia.


Zaman dahulu kala khabarnya guru yang mahir boleh mengawal laras kekuatan kuasa itu dan membuatkan tubuh penyerangnya terapung-apung di atas kepalanya buat beberapa ketika. Tidak terlantun dan tidak terlencong. Wallahua'lam. Tapi kalau para penyerang melompat tidak tepat ke arah si penunggu melainkan asyik ke kiri ke kanan, itu sekadar permainan penyusunan minda atau refleks kebiasaan sahaja. Tidak dikira. (Refleks kebiasaan ini lebih mudah dilihat pada seni beladiri yang banyak melakukan jatuhan, terutamanya yang dari Jepun)


ii) Satu lagi kaedah yang banyak kerja, sediakan satu panah yang berpesawat (agaknya yang dimaskudkan oleh guru sahaya itu macam crossbow tu dan ada punat atau butang untuk menekannya, walau bagaimana pun bentuknya) dalam jarak tiga kaki contohnya, yang mata anak panahnya memang tepat ke arah yang diserang. Jika butang itu ditekan, anak panah memang akan tepat ke arah sasaran. Jadi, para penyerang bolehlah buka langkah, baca sebarang bacaan, atau mengamok meneran dan sebagainya, dengan syarat dia dapat tekan butang tersebut. Sekiranya dia gagal menekan butang, itu juga termasuk yang sudah berjaya dihipnosis. Tak kira yang tu. Hasilnya, sekiranya anak panah itu terlantun ke belakang atau tiba-tiba terlencong ke kiri kanan, mungkin betullah tu. Tapi kalau anak panah mengenai tubuh si penunggu, biasanya permainan hipnotislah tu. Zaman sekarang mungkin boleh guna mesin pelontar bola tenis, sasaran latihan menembak dan sebagainya yang lebih canggih.


iii) Cara yang mudah pula adalah melalui pemerhatian ketika pertunjukan dibuat, sama ada demonstrasi di khayalak ramai atau pun yang untuk seorang dua sahaja. Sekiranya ketika menyerbu itu si penyerang MELOMPAT ke arah yang diserang, tetapi dia tersangkut sebentar walau 0.1 saat di udara lalu terlambung ke belakang atau ke tepi SEBELUM KAKINYA BERJEJAK KE TANAH, insya-Allah betullah tu. Tapi jika kakinya sudah berjejak ke tanah terlebih dahulu lalu baru terlambung ke belakang atau ke sisi, yang itu adalah kerana saranan-saranan yang sudah ditanam kepercayaannya oleh si pengajar dan kerana refleks kebiasaan yang dilatih selalu.


Ada orang mengatakan jika tidak berjejak ke tanah, ia tidak menjadi kerana ilmu ini menggunakan jin tanah. Jawab (arwah) guru saya itu, sebenarnya bukan kerana jin tanah, tetapi kerana proses hendak terlambung atau terlencong itu adalah kerana daya kekuatan diri penyerang sendiri, bukannya kekuatan mana-mana makhluk ghaib, atau kerana power oleh yang diserang, atau kerana bacaan-bacaan tertentu. Ibarat penggusti yang ditolak ke tali gelanggang, mesti akan terpantul berpatah semula. Padahal tali itu umumnya tidak memantulkan sangat pun. Sebaliknya si peggusti berpatah balik kerana daya daripada dirinya sendiri. Lagi, sewaktu penggusti hendak diangkat dijulang oleh lawannya, sebenarnya si penggusti itu sendiri yang melonjakkan badannya sedikit agar mudah diangkat oleh lawannya untuk dilambung dan sebagainya. (Gusti yang dimaksudkan dalam penulisan ini ialah gusti hiburan ala WWE, bukan sukan gusti yang sebenar itu)


Dalam ilmu melantunkan musuh jarak jauh ini, biasanya si guru hanya akan mengunakan orang-orangnya sahaja sebagai penyerang. Kalau dalam demo kecil-kecilan, asyik orang yang sama sahaja akan jadi penyerang. Hal ini kerana orang-orang itu sudah melalui proses hipnotis dan refleks kebiasaan. Guru lebih suka mengambil orang-orang yang kuat terkena pengaruh hipnotisnya dan kuat terbiasa dengan refleks yang sudah dilatih.


Hipnotis itu membuatkan minda bawah sedar para penyerang itu yakin yang mereka tidak boleh mencapai orang yang menanti dan refleks kebiasaan akan membuatkan para penyerang terdorong untuk bergerak mengikut isyarat pergerakan anggota badan si penanti. Contohnya, jika si penanti menggengam tangan, mengenyit mata, menghentakkan tapak kaki ke tanah, tikam jari telunjuk ke tanah, depangkan tangan, dan sebagainya. Para penyerang akan terefleks melakukan pergerakan sebagaimana yang dilatih. Contohnya terjatuh, terhenti, keras macam patung, terlantun (melantunkan diri sendiri), dan sebagainya. Lain pergerakan si penanti, biasanya lain pula refleks yang berlaku kepada para penyerang.


Pertunjukan-pertunjukan seperti ini boleh dipelbagaikan mengikut majlis dengan cara si penanti, merentap kain/tali, bersalaman dengan penyerang, merenung jarak jauh, menghembus dari jauh, dan sebagainya. Lagi kreatif, maka lagilah menarik.


Hal ini sangat panjang untuk dihuraikan. Jadi saya berhenti di sini sahaja kerana rasanya telah terjawab pun antara kaedah untuk mengenal pasti yang sebenar berdasarkan dari segi yang betul-betul ada power untuk MELANTUNKAN tadi. Jika cara lantunannya sebegitu, mungkin benarlah tu. Cuma dari segi selaras atau tidak dengan agama Islam, ada perbahasan yang lain pula kerana berbeza jenis-jenisnya. Wallahua'alam.



Soalan 67 : Salam ustaz. Adakah zikir-zikir yang boleh saya amalkan daripada ustaz?


Jawpaan : Waalaikumussalam. Saya mengamalkan Zikir Harian yang 1000 kali sehari itu, iaitu Zikir Harian al-Ghazaliyah. Tuan bolehlah cuba mengamalkannya.



Soalan 68 : (Sembang-sembang bahagian ini agak panjang, lalu sahaya ringkaskan guna ayat sendiri sahaja) Ada seorang hamba Allah yang menolak vaksin untuk Covid. Katanya cukuplah dengan sunnah mengamalkan habbatus sauda. Baginya kita kena yakin yang habbatus sauda itu dijadikan oleh Allah sebagai penyembuh kepada segala masalah kesihatan tubuh badan manusia. Dalaman badan kita ini, rosaklah macam mana pun, insya-Allah akan sembuh jika kita yakin dan istiqamah mengamalkan habbatus sauda. Rasulullah dah kata habbatus sauda itu penyembuh segala penyakit. Bahkan kalau kita terkena radioaktif nuklear sekali pun, tak mustahil boleh sembuh dengan habbatus sauda. Masalahnya, dia mungkin terpaksa divaksin atas arahan majikannya (peraturan tempat kerjanya) dan dia tidak mahu kerana dia beranggapan isi kandungan vaksin itu akan mendatangkan kemudaratan-kemudaratan tertentu kepada tubuh badannya dari segi kesihatan. (Begitulah lebih kurang katanya dan dia meminta komen sahaya)


Jawapan : Pandangan sahaya, sangat baguslah jika dia suka mengamalkan sunnah dan yakin dengan sunnah. Dan sekiranya dia yakin dengan khasiat habbatus sauda yang boleh menyembuhkan tubuh badan kita sampai ke tahap terkena radioaktif nuklear sekalipun, maka sahaya tak nampaklah sebarang masalah jika dia terpaksa mengambil vaksin. Hal ini kerana sebelum dan selepas mengambil vaksin, dia istiqamah sahajalah dengan habbatus sauda. Kan habbatus sauda itu pengubat segala masalah tubuh badan? Jika benar pun vaksin itu menyebabkan sesuatu kemudaratan kepada tubuh badannya, habbatus sauda yang boleh merawat kesan radioaktif nuklear tentu juga boleh merawat kesan-kesan negatif vaksin. Jadi, tubuh badannya tetap sebegitu juga walau pun mengambil vaksin. Maka, dia kenalah yakin dengan pegangannya sendiri.



Soalan 69 : Bolehkah kami menggantung tasbih di leher?


Jawapan : Boleh. Bukan di leher sahaja. Dililit atau diikat di kepala, digantung di telinga, dililit di tangan, disandang di bahu dan ketiak, diselempangkan ke bahu dan badan, boleh belaka.



Soalan 70 : Saya tertarik dengan penjelasan tuan kepada Xxxxxxxxx tentang pukulan jarak jauh (* maksudnya soalan nombor 66) jenis hipnotik dan kebiasaan refleks. Cuma kemusykilan saya... apakah amalan atau bacaan-bacaan yang mereka amalkan sebab yang biasa saya lihat mereka ada amalan-amalan bacaan tertentu... dan apa kaitannya? Kalau tak keberatan mohon penjelasannya.


Jawapan : Ruang lingkup atau konteks persoalan tuan terhad kepada pukulan jarak jauh JENIS HPNOTIK dan KEBIASAAN REFLEKS sahaja. Maka, hanya jenis itulah yang akan sahaya sentuh, bukan jenis-jenis lain.


Sebenarnya sebarang bacaan tidaklah banyak berkait dengan hal itu melainkan sekadar untuk lebih MENGUATKAN SARANAN atau RANGSANGAN MINDA (sama ada secara langsung atau secara tidak langsung) kepada si penanti atau si penyerang. Lagi kuat kuasa saranan dan rangsangan, akan lebih menjadilah aktiviti tersebut.


Lebih 20 tahun yang lalu (pada zaman muda sahaya), ada kawan-kawan sahaya yang belajar dan mengamalkan ilmu sebegitu. Mereka ada bermain-main sesama mereka dan memang menjadi. Yang diserang tidak boleh dicapai oleh para penyerang dan ada antara penyerang yang terpelanting ke sana -sini. Kemudian mereka minta sahaya join (cuba serang). Waktu itu sahaya tak ada ilmu dan betul-betul percaya macam ada satu power ghaib yang boleh menghalang dan melambungkan orang. Jadi, saya memang takut. Dalam takut-takut itu, saya pun gunakan Pemutus Garis Laksamana lalu menumbuk salah seorang kawan sahaya yang menanti. Kena! Saya pun yakinlah yang Pemutus Garis Laksamana yang saya gunakan memang menjadi.


Sampailah beberapa tahun kemudian, sahaya belajar ilmu agama dengan ustaz yang saya sebutkan dalam jawapan kepada Xxxxxxxxx sebelum ini. Sahaya pun beritahulah kepada dia yang saya pernah tumbuk kawan sahaya yang amal ilmu tersebut dan kena. Ustaz tanya - macam mana saya buat? Saya pun katalah, saya guna Pemutus Garis Laksamana. Ustaz pun tergelak mendengar jawapan sahaya.


Menurutnya, bukan sebab Pemutus Garis Laksamana atau sebarang bacaan lain, tetapi kerana saya tidak terhipnotis (dia sebut "pukau") seperti kawan-kawan sahaya yang lain. Bagi orang-orang yang tidak dihipnotis atau tidak terhipnotis, mereka tak baca apa-apa pun insya-Allah pukulan mereka akan kena. Jika mereka nak baca apa-apa pun, boleh juga. Bacaan-bacaan itu daripada agama mana pun boleh, termasuk yang tak beragama pun. (Pemagaran diri dan pukulan jarak jauh JENIS hipnotis dan kebiasaan refleks ini sudah lama ada di serata dunia. Di China, Jepun, Rusia. India, Indochina, Nusantara, USA, Belanda, dan lain-lain)


Sungguhpun begitu, kata ustaz lagi, jika orang-orang yang dihipnotis atau terhipnotis itu menggunakan Pemutus Garis Laksamana itu, memang pukulan mereka boleh juga kena. Mengapa? Adakah kerana hebatnya amalan Pemutus Garis Laksamana? Jawab ustaz, bukan. Tetapi kerana Pemutus Garis Laksamana itu boleh memutuskan hipnotis (saranan-saranan yang sudah berada dalam minda bawah sedar si penyerang). Seolah-olah ada saranan baru yang membatalkan saranan sedia ada. Itu sahaja sebenarnya. Segala gambaran tembok, pagar, kuasa ghaib, tak akan kena, tak boleh kena dan lain-lain sudah tidak diterima sebagai saranan lagi oleh penyerang lalu penyerang beranggapan tidak wujud tembok, pagar, kuasa ghaib, dan pukulannya akan kena, boleh kena, dan sebagainya.


Ustaz itu memang berani. Katanya dia sudah banyak kali test orang-orang yang ada ilmu SEBAGAIMANA YANG DI ATAS dan penamparnya semua kena, tanpa membaca apa-apa pun. Tapi dia tidaklah test masa pertunjukan. Dia ambil berat air muka orang lain. Dia test pada masa yang lain selepas pertunjukan. Wallahua'lam.


Kesimpulannya, bagi yang jenis hipnotis dan kebiasaan refleks, pendek kata bacaan-bacaan itu tidaklah berkaitan sangat melainkan untuk menguatkan saranan dan rangsangan sahaja. Wallahua'lam.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

Siap dikumpul dan disiarkan pada 19 Februari 2021


*Selalu ada yang bertanya kepada sahaya baik secara bersemuka atau melalui media-media sosial. Ada banyak. Soal jawab ringkas ini sahaya kumpulkan dan kongsikan. Banyak lagi soal jawab yang tak sempat saya kumpulkan. Bahkan banyak yang tak sempat berjawab dan ada juga yang terlepas pandang – tak berbaca pun. Mana-mana yang sempat saya petik sahajalah. Semoga bermanfaat.

 


Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasanya (bil. 51-60)

https://alexanderwathern.blogspot.com/2021/02/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya.html


Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 41-50)

http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_17.html


Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 31-40)

http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_5.html


Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 21-30)

http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya.html


Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 11-20)

http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/soalan2-ringkas-dan-jawapan2.html


Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 1-10)

http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/10-soalan-ringkas-dan-jawapan-ringkasnya.html

 


No comments: