Monday, February 8, 2021

Kenangan Mula Bertarekat Ghazaliyah

 

Pada sahaya, cara guru sahaya memancing sahaya untuk bertarekat Ghazaliyah memang mencuit hati kerana sangat tidak disangka-sangka.


Ceritanya begini...


Sahaya ditugaskan bekerja di kawasan pinggir bandar. Sahaya pun menyewalah sebuah rumah kampung. Salah satu pengajian agama di surau kampung itu dibuat oleh Ustaz Muhammad Salleh. Sahaya memang jadi peminat kuliah-kuliahnya. Setelah beberapa lama bergaul dengannya, mungkin kerana melihatkan kesungguhan, ahklak dan ciri-ciri lain yang ada pada sahaya, terbukalah hatinya untuk melorongkan agar sahaya menjadi pengamal Tarekat Ghazaliyah.


Ustaz memang mursyid Tarekat Ghazaliyah. Dalam pengajian-pengajiannya sesekali dia sentuh tentang Tarekat Ghazaliyah. Tapi sebagaimana yang kita sedia maklum, Tarekat Ghazaliyah ini tidak boleh mengajak, cuma boleh menceritakan sahaja. Sebab itulah orang-orang Tarekat Ghazaliyah ini umumnya tidak akan mengajak orang lain untuk bertarekat Ghazaliyah. Hendak bertarekat Ghazaliyah ini mestilah atas keinginan sendiri.


Ketika itu sahaya memang jenis yang mudah kurang sihat. Selesema dan batuk, boleh kata asyik kena sahaja. Bunyi selesema dan batuk sahaya memang sudah biasa berkumandang di surau tersebut. Sihat sekejap, datang balik. Sihat sekejap, datang balik.


Maka dalam salah satu pengajiannya, ustaz pun berkata (lebih kurang) : "Siapa-siapa yang ada masalah selalu tak sihat tu, datanglah jumpa saya. Ada caranya. Kita boleh ikhtiarkan."


Dia bercakap kepada semua orang tetapi matanya melirik ke arah sahaya. Dia bercakap dalam loghat Perak Tengah.


Pada mulanya sahaya buat tak tahu sahajalah kerana menganggap seruannya itu memang ditujukan kepada semua, cuma secara kebetulan sahaja dia menjeling ke arah sahaya. Biasa-biasa sahajalah.


Dalam kuliah yang lain, sekali lagi ustaz buat seruan yang sama sambil menjeling ke arah sahaya. Sahaya pun mula syak. Dia tuju kepada akukah? Tak mungkin kot! Sekadar kebetulan sahaja agaknya. Biarlah.


Tetapi selepas dalam kuliah yang lain sekali lagi ustaz cakap dan buat gaya seperti itu juga, kuatlah di hati sahaya bahawa memang sahayalah yang dia maksudkan. Fahamlah sahaya dan sahaya kenalah ambil respon.


Sejak itu sahaya pun mulalah bertemu dan berbual dengannya. Bukan untuk mengubat sangat pun, tetapi sebenarnya lebih kepada usaha melorongkan sahaya ke arah Tarekat Ghazaliyah.


Sahaya memang berminat untuk mengambil Tarekat Ghazaliyah tetapi memandangkan tidak ada seorang pun ahli-ahli surau yang pernah memberi respon terhadap input-input tentangnya daripada mulut ustaz, niat itu dipendamkan sahajalah. Takkanlah tiba-tiba sahaya hendak mendahului orang tua-tua di kampung itu. Tambahan pula sahaya belum berapa lama lagi bermukim di situ.


Sampailah pada suatu hari sahaya beranikan diri suarakan keinginan saya untuk menjadi pengamal Tarekat Ghazaliyah. Dengan penuh sukacita dan bersemangatnya, ustaz pun mulalah menurunkan segala ilmu dan amalan yang bersesuaian dengan keadaan sahaya dari semasa ke semasa.


Walaupun ustaz tidak pernah menyentuh tentang taktik dan tekniknya memancing sahaya itu, tetapi kemudiannya saya sendiri faham-fahamlah. Hal ini adalah demikian kerana kisah-kisah berubat itu terus tutup buku, tak disentuh-sentuh lagi.


Begitulah asalnya sahaya berkenalan dengan Tarekat Ghazaliyah.

 

Abu Zulfiqar Al-Amsyari

7 Februari 2021


No comments: