Soalan 41 : Apa pandangan ustaz tentang teori konspirasi yang mengatakan Covid 19 ni agenda pihak tertentu je untuk buat duit melalui vaksin?
Jawapan : Teori2 konspirasi ini bukanlah bidang saya. Cuma sesekali ada terbaca tentangnya kalau terserempak. Ada macam2 teori dalam dunia itu. Pelbagai perdebatan dan panjang-panjang.
i) Ada yang kata sebagaimana yang tuan kata tu – nak buat duit melalui vaksin.
ii) Ada pula yang kata Covid 19 disebarkan untuk kurangkan populasi manusia. Biar ramai mati lalu dunia lebih sejahtera.
iii) Ada yang kata Covid 19 ini tak wujud pun.
iv) Ada yang kata Covid 19 ini hanya salah satu demam biasa.
iv) Ada pula yang kata sebaran Covid 19 ini hanya untuk sebar tapak sahaja. Selepas majoriti penduduk dunia dah kena Covid 19 (dah ada tapak dalam tubuh badan), barulah mereka akan lakukan sesuatu (contohnya sebar virus baru, atau guna gelombang, atau macam2 caralah yang saya pun tak berapa faham) yang akan menyerang tapak2 ini. Akibatnya, majoriti penduduk dunia pun mati (atau jadi sesuatulah) sama ada pernah ambil vaksin atau tidak. Oleh itu jangan sesekali pernah dijangkiti Covid 19.
v) Ada pula yang kata vaksin itu sendirilah tapak. Sesiapa yang ambil vaksin, siaplah. Covid 10 itukah yang tapak atau vaksin itulah yang tapak, saya pun tak tahulah.
Dan macam2 lagilah.
Jadi, tentang soalan tuan itu, saya pun tak tahulah sejauh mana kebenarannya. Boleh jadi betul juga. Wallahua’lam.
Soalan 42 : Bagaimana kelalaian seseorang ulama tu ustaz?
Jawapan : Saya ringkaskan sebahagian daripada kalam Imam Al-Ghazali :
Ada orang berilmu yang kukuh pemahamannya dalam ilmu syariat dan ilmu akal. Mereka mendalami ilmu-ilmu itu malahan ada yang bekerja dalam lapangan ilmu-ilmu agama itu. Tetapi mereka tidak memelihara diri mereka daripada perkara-perkara yang mendatangkan dosa. Hal ini kerana mereka menyangka bahawa keilmuan dan kedudukan mereka dalam agama itu akan memberikan mereka keistimewaan iaitu mereka akan terselamat dan tidak akan terkena azab Allah. Bahkan mereka menyangkakan yang keilmuan dan kedudukan mereka itu menjadikan mereka orang-orang yang akan dapat memberi syafaat (bantuan) pula kepada orang-orang lain di akhirat nanti. Mereka terpedaya.
Ada ilmuwan agama yang kukuh ilmu dan amal mereka, tetapi di hati mereka banyak sifat-sifat mazmumah seperti takabbur, dengki, riya’, mencari kedudukan, mencari nama dan sebagainya. Mereka menghiasai zahir diri tetapi menyia-nyiakan batin diri.
Ada ilmuwan agama yang sibuk dalam hal ehwal fekah tetapi terabai ilmu tasawuf sufi.
Ada pula yang menghabiskan waktunya terjun dan tenggelam ke dalam ilmu hadith, yakni tentang mendengar (mempelajari) hadith, mengumpulkan banyak riwayat-riwayat, mencari sanad-sanad yang ganjil dan tinggi-tinggi (dalam-dalam). Masa mereka penuh dengan mengembara ke serata pelusuk negeri dan menemui guru-guru. Malangnya mereka meninggalkan ilmu yang menjadi fardhu ‘ain iaitu ma’rifah pengubatan hati (tasawuf sufi).
Lanjutannya boleh dilihat dalam karangan saya Anugerah Berwangian Cinta untuk Tetamu Taman Cahaya (Petikan, Ringkasan & Rumusan kitab Ihya' 'Ulumuddin). Perinciannya pula boleh terus dilihat dalam kitab Ihya' 'Ulumuddin.
Soalan 43 : Macam mana boleh dapat nama Debunga Teratai Syurgawi (*nama salah satu blog saya)?
Jawapan : Sekitar tahun 2008, ketika berpindah dari blog lama (iaitu “Bersama Alexanderwathern” yang sudah hilang pun di PHP-Nuke) ke blog baharu (di Blogger), saya pun berfikir nama blog baharu ini. Fikir punya fikir, saya teringat satu komik yang saya baca pada awal tahun 80-an dahulu. Komik itu judulnya Conan the Barbarian yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Lukisannya memang cantik walaupun sekadar hitam putih.
Dalam komik itu, Conan ada berbicara tentang racun yang diperbuat daripada debunga teratai ungu. Saya pun terfikir bahawa ini idea yang bagus. Saya mahu buang racun itu lalu dituar kepada ubat atau penawar yang disebarkan kepada masyarakat melalui blog ini. Jadi saya pun bercadang untuk menamakannya sebagai Sebaran Debunga Teratai Syurgawi. Namun nama ini agak panjang lalu dipendekkan menjadi Debunga Teratai Syurgawi sahaja. Begitulah asal ceritanya.
Soalan 44 : Apakah orang bertarekat mesti berwuduk sebelum mulakan berzikir? Mohon pencerahan.
Jawapan : Lain tarekat, mungkin lain kaedahnya. Bagi Tarekat Ghazaliyah, tidak perlu berwuduk sebelum mula berzikir.
Soalan 45 : Maaf bertanya tuan... kalam sufiyyah yang bernombor-nombor itu apa sebenarnya?
Jawapan : Sejak tahun 2018, ada anasir-anasir daripada fahaman Salafi Wahhabi (V6-4) yang dapat kedudukan dan pengaruh. Mereka (lawan2 lama sejak 1999) mula mengganggu pengajian2 umum saya di masjid/surau. Pada penghujung 2019 dan awal 2020, sangat kuat gangguan mereka hinggakan saya tidak dapat (*sangat sukar) untuk buat pengajian2, lalu saya pun beralih buat pengajian2 khusus dalam skala kecil sahaja buat sementara waktu. Dalam masa yang sama, saya tambahkan keaktifan dalam halaqah2 usrah Al-Mahabbah (Satu Umat). Zaman itu ramai juga asatizah ASWJ arus perdana yang terganggu di serata negara.
Salah satu program yang saya wujudkan ketika itu ialah pengajian khusus Tarekat Ghazaliyah yang cadangnya sebanyak 7 kali pertemuan. Dapatlah dua group pengajian. Dalam 3-4 bulan itu, hanya sempat 5 kali pertemuan. Kemudian dengan izin Allah, anasir2 V6-4 itu sudah tidak berpengaruh lagi sekitar Februari 2020. Asatizah ASWJ kembali selesa berkuliah termasuklah saya. Terus kelas khusus itu pun terhenti. Cadangnya 7 kali, dapat 5 kali sahaja.
Ada 50 kalam sufiyyah yang merupakan petikan daripada hal-hal yang dibicarakan dalam 5 kali pertemuan itu. Ringkas kata, sekali pengajian ada 10 kalam sufiyyah. Maka semua ada 50 sahajalah. Walaupun mulai Mac 2020 negara mula dilanda wabak, kelas2 khusus itu tidaklah disambung lagi. Ia sekadar aktiviti “terkejut” atau “paln B yang tidak dirancang” sahaja ketika itu. Mungkin tak akan disambung dah sampai bila-bila.
Soalan 46 : Assalamualaikum tuan... Bagaimana cara kalau nak baiah akan Tarekat Ghazaliyah ini tuan?
Jawapan : Waalaikumussalam. Secara ringkasnya, Tarekat Ghazaliyah ini adalah untuk semua dan boleh terus diamalkan sekalipun tanpa berbai'ah. Semua ilmu tarekat ini sudah diniat diijazahkan awal-awal kepada sesiapa sahaja yang mendapat tahu tentang mana-mana bahagian ilmunya. Lanjutan tentang hal ini bolehlah dilihat dalam kedua-dua buah buku saya Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah siri 1 dan siri 2.
Namun kita faham, ramai juga orang yang tidak berasa puas hati jika tidak diijazahkan dan berba'iah secara berhadapan. Sebab itulah majlis-majlis ijazah dan bai'ah berhadapan memang ada dibuat. Untuk majlis terkini, sila tunggu update di laman (page Facebook Tarekat Ghazaliyah) ini. Insya-Allah selepas kes aktif Covid sudah tinggal dua angka, kita akan usahakan majlis seterusnya.
Soalan 47 : Bidang agama (*Islam) ni banyak jurusannya. Tuan berkebolehan dalam jurusan yang mana? Maaf bertanya... supaya senang hendak tanya soalan.
Jawapan : Sahaya ada sedikit ilmu pengetahuan dalam tasawuf (sufi, tarekat), ‘aqidah (usuluddin, tauhid), dan perbandingan agama. Bahagian-bahagian ini selesalah untuk sahaya menjawab. Dalam puluhan jurusan ilmu-jurusan agama yang lain, sahaya sangat kurang pengetahuan untuk dikongsikan.
Soalan 48 : Syaitan-syaitan memang takut dan rasa terancam dengan dakwah golongan tarekat. Dari dahulu lagi. Sebab itu apabila dah terkesan, diorang akan munculkan diri dengan sendirinya. (*Tulisan ini lebih berupa pernyataan)
Jawapan : Golongan yang anti akan dakwah kaum tarekat ini akan sentiasa ada. Sejarah dan situasi hari ini sebagai bukti. Mereka datang daripada pelbagai golongan. Mereka akan berusaha agar ilmu-ilmu dan amal-amal tarekat ini disenyapkan, biar terpencil, biar jadi asing dan pelik, biar umat Islam tidak tahu dan tidak kenal, dan kalau boleh biar terpadam terus. Apabila ada golongan/pihak yang mahu menaikkan semula tarekat ke dalam masyarakat Islam, akan adalah anasir-anasir yang cuba menggagalkan.
Soalan 49 : Macam mana nak join Tarekat Ghazaliyah ni?
Jawapan : Tarekat Ghazaliyah ini adalah untuk semua dan boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja yang ada mendapat tahu tentang ilmu-ilmunya. Apabila hati dan tindakan kita sedang bersama-sama dengan Tarekat Ghazaliyah, ketika itu kita sudah pun join Tarekat Ghazaliyah sekalipun tidak ada orang lain yang tahu. Tidak ada keperluan untuk memberitahu kepada orang lain bahawa "aku bertarekat Ghazaliyah" jika kita mahu beramal sendiri. Memadailah jika kita seorang sahaja yang tahu. Lainlah jika kita hendak menjadi penyampai.
Sebahagian daripada hal-hal di atas telah kami sentuh dalam buku kami Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Ghazaliyyah siri1 dan siri 2. Sekiranya berminat untuk mengetahui lebih lanjut, silalah dapatkan di sana.
Kami juga sedia maklum bahawa ada orang yang berasa tidak cukup sempurna sekiranya tidak diijazahkan dan tidak berba'ah secara berhadapan. Oleh itu memang ada majlis-majlis ijazah dan bai'ah dibuat dari semasa ke semasa dalam tarekat ini. Nantikan update di laman (page Facebook Tarekat Ghazaliyah) ini. Majlis terkini insya-Allah selepas surutnya Covid 19.
Soalan 50 : Dalam Tarekat Ghazaliyah sebelum berzikir kena baca Al-Fatihah untuk gurukah?
Jawapan : Dalam Tarekat Ghazaliyah, tidak ada ketetapan. Boleh dibaca sebarang bacaan yang sesuai, dan boleh tidak dibaca apa-apa lalu terus berzikir. Jika mahu membaca Al-Fatihah juga bagus. Niatkan apa jua manfaatnya kepada seluruh umat Islam yang dahulu dan yang hari ini.
*Selalu ada yang bertanya kepada sahaya baik secara bersemuka atau melalui media-media sosial. Ada banyak. Soal jawab ringkas ini sahaya kumpulkan dan kongsikan. Banyak lagi soal jawab yang tak sempat saya kumpulkan. Bahkan banyak yang tak sempat berjawab dan ada juga yang terlepas pandang – tak berbaca pun. Mana-mana yang sempat saya petik sahajalah. Semoga bermanfaat.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
17 Januari 2021
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 31-40)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_5.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 21-30)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 11-20)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/soalan2-ringkas-dan-jawapan2.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 1-10)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/10-soalan-ringkas-dan-jawapan-ringkasnya.html
No comments:
Post a Comment