Soalan 51 : Benarkah gelaran pendekar itu berasal daripada pandai akal?
Jawapan : Pernah juga terbaca. Ada kata pandai akal kerana pendekar biasanya bijak bertempur. Ada yang kata panjang akal kerana pendekar biasanya tak mudah putus fikiran. Ada pula yang kata pendek akal kerana gerakannya pantas tanpa perlu berfikir-fikir. Macam-macam pandangan lagi.
Saya sendiri sebenarnya lebih cenderung mengatakan ia berasal daripada perkataan pandeka, iaitu gelaran bagi orang-orang yang sudah mencapai tahap tinggi dalam bidang persilatan (dengan syarat-syarat tertentu) di Sumatera khususnya pada zaman dahulu kala. Banyak silat yang berasal dari sana berkembang biak di Tanah Melayu ini seperti silat Terlak, Harimau, Kumango, Lintau, dan sebagainya. Turut sampai ke sini tentunya istilah-istilah yang berkaitan dengan silat-silat itu.
Apabila istilah pandeka tiba ke Tanah Melayu, sebutannya jadi pendekar. Hal ini memang biasa berlaku bagi perkataan-perkataan yang disebut di Sumatera dan di Tanah Melayu. Contohnya lapa jadi lapar, kaba jadi khabar, bibia jadi bibir, pasa jadi pasar, kalua jadi keluar, sabanta jadi sebentar, dan sebagainya. Maka, pandeka jadi pendekar.
Daripada sudut yang lain, orang-orang di utara Tanah Melayu menyebut "pendekaq". Hal ini kerana bunyi akhirnya ialah "kar" (pendekar). Jika bunyi akhirnya "kal" (akal), tentu orang-orang utara Tanah Melayu menyebutnya sebagai pendekai. Jadi, sebutan benarnya ialah pendekar bukannya pendekal atau pendekai.
Soalan (penyataan) 52 : (*Oleh kerana Tarekat Ghazaliyah membenarkan para pengamalnya beramal dengan lebih daripada satu tarekat, ada satu pernyataan sebagaimana di bawah)
Salam. Itu tidak benar. Tak boleh menjalani tariqat lain. Lain tariqat lain jalan nya, lain mursyidnya, lain kifiatnya. Janji mursyid ada sanad sampai kepada baginda.
Jawapan : Waalaikumussalam. Syeikh Yusuf Makasar 12 tarekat. Syeikh Muhammad Nafis 5 tarekat. Pengasas Tarekat Qadariah Naqsyabandiah 5 tarekat. Syeikh Muhammad Abdullah 3 tarekat. Bukan SEMUA tarekat menghukumkan tidak boleh menjalani tarekat lain. Hanya SEBAHAGIAN sahaja.
Mursyid Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah di Malaysia (*ada beberapa orang mursyid tarekat ini di Malaysia) iaitu Syeikh Jahid Sidek pada Ogos 2011 mengatakan dalam satu seminar tasawuf dan tariqat yang saya hadiri di Taiping - Bolehkah banyak tariqat? Jawabnya : Boleh, dengan syarat sudah mantap sesuatu tariqat itu dan dapat keizinan guru. Lalu beliau beri contoh - Maulana Muhammad Zakaria Kandhlawi ada 5 tariqat dan Syeikh Yusuf Makasar ada 12 tariqat.
Soalan 53 : Ada beberapa komen di Facebook yang tak dijawab. Mengapa ustaz?
Jawapan : Saya dan murid-murid saya hanya akan menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh para pemilik akaun Facebook yang jelas akaun Facebooknya (yang kelihatan ikhlas), bukan akaun-akaun yang diguna untuk BERSELINDUNG atau yang kuat disyaki untuk berselindung (yang kelihatan macam tidak ikhlas sahaja).
Akaun-akaun yang diguna untuk berselindung ini BIASANYA (BUKAN SEMESTINYA) mempunyai ciri-ciri berikut :
i) tidak ada gambar-gambar pemiliknya yang asli.
ii) menggunakan gambar-gambar orang lain untuk memberi gambaran bahawa itu ialah/mungkin dirinya.
iii) gambar-gambar profilenya bukan gambar-gambar dirinya.
iv) posting2nya banyak jenis share sahaja. Tidak ada atau sangat jarang dia sendiri menulis ideanya.
v) butiran peribadinya merapu-rapu.
vi) tidak ada atau sangat sedikit butiran peribadinya.
Sekiranya ada BANYAK daripada ciri-ciri di atas, akaun itu BIASANYA (TIDAK SEMESTINYA) digunakan untuk BERSELINDUNG sahaja, dengan niat-niat yang biasanya tidak baik atau kurang baik. Si penulis tidak berani atau mahu berlepas diri daripada bertanggung jawab ke atas kata-katanya. Jenis yang sebegini, terpaksalah kami sengaja lepas pandang.
Soalan 54 : Kan orang kata kita jangan menilai buku dengan melihat kulitnya ustaz?
Jawapan : Saya lebih suka jika diubah sedikit menjadi "Janganlah kita menilai sesebuah buku berdasarkan kulitnya SAHAJA". Maksudnya kita kena tengok kedua-duanya sekali iaitu kulit dan isi, bukan salah satu. Zahir yang bagus dan batin yang bagus saling berkait.
Soalan 55 : Macam mana nak melayari Facebook dengan kebersamaan Allah?
Jawapan : Ada banyak tips yang orang sudah kongsikan di internet. Bagus belaka. Pakailah. Saya cuma tambah satu - setiap kali buka Facebook, mula-mula sekali yang kita nak tulis (posting ke, komen ke), tulislah tentang agama, maksudnya yang khusus berkaitan agama Islam. Dahulukan yang ini. Lepas itu barulah menulis (posting, komen) tentang urusan-urusan lain yang tidak khusus dengan agama. Nak tulis tentang hobi ke, bisnes ke, luahan hati ke, politik ke, diri sendiri ke, kerjaya ke, apa ke... biarlah semua itu jadi posting/komen yang kedua. Begitulah setiap kali buka Facebook. Lagi bagus jika penutupnya pun begitu juga setiap kali nak keluar Facebook. Cara begini dapat membantu sedikit-sebanyak.
Soalan 56 : Assalamualaikum ustaz, Saya minat sangat dengan Tarekat Ghazaliah dan nak sangat berbai'ah atau diijazahkan. Bagaimana nak berbai'ah dan ijazah ye? Saya ada permintaan dan besarlah harapan saya sekiranya ustaz tunaikan. Saya berminat untuk mengamalkan amalan Tarekat Ghazaliah dan nak diijazahkan. Besarlah harapan saya untuk mendapat pengijazahan daripada ustaz kerana saya benar2 berminat dalam amalan ini setelah membaca buku2 penulisan ustaz.
Jawapan : Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Syukur. Tahniah.
Sebarang ilmu tentang Tarekat Ghazaliyah yang kita pernah baca, tonton, dengar, atau rasa (braille), DAN kita JELAS/FAHAM, maka bolehlah terus diamalkan. Yang tidak jelas, tangguhkan dahulu sehinggalah jelas di kemudian hari. Hal ini kerana pelajaran Tarekat Ghazaliyah ini memang sudah siap-siap diniat diijazahkan kepada sesiapa sahaja yang berminat.
Pelajaran tarekat ini boleh diamalkan walau pun tanpa melalui proses ijazah dan bai’ah secara berhadapan. Tidak perlu kenal saya dan ikhwah yang lain pun tidak mengapa. Namun bagi sesiapa yang mahu lebih berpuas hati, majlis pengijazahan dan bai’ah memang ada dibuat sesekali. Majlis terhampir mungkin selepas Covid 19 reda. Sekiranya ada majlis tersebut, akan kita maklumkan di page Tarekat Ghazaliyah insya-Allah.
Soalan 57 : Assalamualaikum. Dulu pernah cerita... masa mula-mula dulu disuruh hidupkan 1 surau usang. Surau kat mana tu ye?
Jawapan : Waalaikumussalam. Biarlah rahsia. Dikhuatiri akan menimbulkan fitnah (*jika dimaklumkan). Kita ambil pengajarannya sahaja.
Soalan 58 : Assalamu'alaikum warohmatullahi wabarokatuh. Ada bab zikir nafas ke Tuan (*dalam Tarekat Ghazaliyah)?
Jawapan : Waalaikumussalam. Mohon maaf tuan. Dalam Tarekat Ghazaliyah tidak ada pelajaran yang namanya zikir nafas.
Soalan 59 : Kalau dalam perkahwinan itu buat kita hidup hanya bertambah dosa je disebabkan pasangan yang selalu saling tuding jari sesama sendiri, dan buat pasangan rasa mental, oleh sebab salah seorang pasangan yang cakap dirinya tidak ada buat apa-apa dan tidak merasakan ada yang tidak betul pada diri dia, jadi pasangan dialah yang semua tidak betul. Sampai membuatkan pasangan dia sakit otak. Kadang-kadang benda yang dah tahu, tapi pasangan itu manipulasikan balik sampai buat pasangan dia ni jadi berfkir pulak. Macam mana nak cakap? Aduh, tapi macam tu la! Harap boleh faham (*akan permasalahan yang diajukan ini).
Jawapan : Antara hal yang suka saya cadangkan dalam usaha untuk mengatasi ataupun mengurangkan permasalahan ini :
i) Mula-mula sekali kita mohon doa kepada Allah. Cakap/berdialog kepada Allah mengunakan bahasa sehari-hari kita dalam doa tersebut, dan mohonlah apa jua hajat yang sesuai, yang berkaitan dengan masalah ini. Kita sedia maklum, bahawa hanya Allah sahajalah pada hakikatnya yang ada kuasa untuk mengubah apa jua pun, termasuklah untuk menyelesaikan permasalahan yang melanda kita. Selain daripada Dia, pada hakikatnya idak ada siapa atau apa pun yang dapat mengubah apa-apa atau menyelesaikan apa-apa. Jadi, kita mintalah yang baik-baik dan selalulah minta dalam doa. Biar berterusan (istiqamah). Insylh.
ii) Yang kedua, kita cuba cari masa yang sesuai dan ketika mood pasangan kita nampaknya sedang bagus dan tenang, cakap baik-baik dan ajak dia berbincang. Sembang biasa2 sahaja seolah-olah sedang berbual kosong dan ringan. Kita beritahu yang kita suka nak dengar pandangan kedua-dua pihak dalam hal ini. Contohnya, mula-mula kita kongsikan apa yang kita rasa dan apa yang kita harap dalam permasalahan ini. Kemudian beri peluang pula kepada pasangan kita untuk dia pula kongsikan apa yang dia rasa dan apa yang dia harap dalam permasalahan ini. Dari situ mungkin akan ada jalan-jalan ke arah penyelesaian atau pengurangan masalah.
iii. Kemudian, keputusan mungkin tidak dapat dicapai ketika itu juga. Tak mengapa. Biar perkongsian kita itu jadi sesuatu yang boleh pasangan kita ifkirkan pada masa-masa lapang. Tak mustahil jalan-jalan penyelesaiannya akan datang kemudian.
iv. Dari segi amalan kita memang kena banyakkan sungguh beristighfar (memohon ampun kepada Allah) dan buatlah solat hajat.
Semoga dapat membantu sedikit-sebanyak.
Soalan 60 : Assalamualaikum w.b.t. Maaf bertanya, sebab saya tertarik dengan jalan & cara Tarikat Ghazaliyah ni. sebelum ni ada saya selidik dengan tarikat-tarikat lain, macam xxxxxxxxx, xxxxxxxx xxxxxxxx, & seumpamanya, tapi mungkin ada sedikit sebanyak yang buat hati tak berapa tertarik. Saya ni masih mencari-cari jalan yang patut saya ikut, dan Alhamdulillah, jalan tarikat ni rasa sangat menyenangkan hati. Macam mana saya nak tahu lebih dalam ye?
Jawapan : Waalaikumussalam. Di page (Tarekat Ghazaliyah) ini hanya penerangan-penerangan ringkas sahaja. Nak tahu lebih dalam, tuan boleh baca buku Terbit Cahaya Naungan ke atas Tarekat Ghazaliyah 1 dan 2. Sahabat-sahabat kami di Khazanah https://web.facebook.com/Khazanah-115012297090461 ada jual. Ada stok lagi rasanya.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
2 Februari 2021
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 41-50)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_17.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 31-40)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya_5.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 21-30)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/01/soalan2-ringkas-dan-jawapan2-ringkasnya.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 11-20)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/soalan2-ringkas-dan-jawapan2.html
Soalan2 Ringkas dan Jawapan2 Ringkasnya (bil. 1-10)
http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/10-soalan-ringkas-dan-jawapan-ringkasnya.html
No comments:
Post a Comment