Tuesday, February 16, 2021

Kisah Lafaz Zikir Harian

Soalan : Saya ada bersembang dengan teman beberapa waktu yang lalu. Malam ini saya teringat. Dia bertanya, di mana rujukan kitab tentang zikir harian (lafaz Zikir Harian Tarekat Ghazaliyah) itu? Saya pernah bilang seperti yang tuan ustadz katakan bahawa semua amalan Imam al-Ghazali terdapat dalam kitab-kitabnya. Tetapi dia minta bukti. Dan akhirnya saya cuma jumpa wirid harian (10 Bacaan Harian) sahaja di dalam kitab Bidayatul Hidayah tetapi belum jumpa zikir harian itu dari mana. Dulu pernah dengar di Youtube penjelasan KH Bakhiet. Katanya dalam kitab manaqib Imam Al-Ghazali tetapi saya tak punya (manaqib itu). Mohon pencerahannya tuan ustadz.


Jawapan : Sahaya pun pernah bertanyakan tentang hal ini kepada guru sahaya.


Amalan lafaz Zikir Harian ini diperturunkan secara lisan daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya. Ia seolah-olah khabar yang mutawatir kerana rata-rata ilmuwan dan masyarakat Islam tahu akan lafaz-lafaz zikir ini dan kaitannya dengan Imam Al-Ghazali. Walaupun banyak ilmu dan amalan Tarekat Ghazaliyah ditulis oleh beliau sendiri, tetapi ada juga hal-hal yang kita tidak temui tulisannya. Contohnya tentang lafaz ketika mengijazah dan menerima ijazah, serta lafaz menyatakan bai'ah dan menerima bai'ah. Lafaz-lafaz ini diperturunkan secara lisan turun-temurun sahaja terutamanya daripada seorang guru kepada seorang guru di bawahnya. Begitu jugalah halnya dengan lafaz Zikir Harian.


Dari satu sudut, lafaz-lafaz ini sangat pendek lagi mudah. Tanpa perlu ditulis pun kita boleh mengingatinya. Contohnya :

Jumaat - Ya Allah.

Sabtu - Laa Ilahaillallah.

Ahad - Ya Hayyu Ya Qayyum.

Jadi, kurang keperluan untuk menuliskannya dalam mana-mana kitab kerana ia sangat ringkas. Cukup dengan diberitahu dan diingati sahaja.


Tidak mustahil lafaz-lafaz ini ada ditulis oleh Imam al-Ghazali dalam kitab-kitab atau risalah-risalah karangannya. Namun sebagaimana yang kita sedia maklum, banyak sekali karya-karya Imam al-Ghazali yang hilang musnah ketika tentera Monggol membinasakan Baghdad. Buku-buku yang ditemui di perpustakaan negara dan di seluruh Baghdad dibuang ke dalam Sungai Tigris sehinggakan air sungai itu bertukar menjadi hitam kemerah-merahan oleh dakwat buku-buku dan darah para korban. Puluhan atau ratusan kitab dan risalah Imam Al-Ghazali turut terlibat.


Orang yang mula-mula menyatakan lafaz-lafaz ini dalam bentuk tulisan bagi Tarekat Ghazaliyah ini mungkin Sayyid Ahmad ad-Dayurbi. Beliau dikenali sebagai "Penzahir Tarekat Ghazaliyah" kerana beliau dikatakan sebagai orang terawal yang membawa ilmu dan amalan tarekat ini secara jelas ke tengah masyarakat melalui murid-muridnya. Ada tarekat-tarekat lain yang mengamalkan lafaz Zikir Harian yang sama tetapi kami tidak tahu sama ada mereka ada menuliskannya atau tidak dalam karya-karya mereka. Sekiranya ada, kami juga tidak tahu sama ada mereka menghidangkannya dalam bentuk tulisan sebelum atau selepas Sayyid Ahmad ad-Dayurbi.


Di Nusantara ini, kitab terawal yang menulis tentang lafaz Zikir Harian ini mungkinlah kitab Al-Futuhat al-Ilahiyyah fi Bayani Kaifiyyah at-Tariqah al-Ghazaliyah karangan Syeikh Muhammad bin Abdullah (salah seorang mursyid tarekat ini) pada tahun 1900 masihi. Ketika beliau di Tanah Arab, beliau tidak menulis lafaz-lafaz ini kerana ia sangat ringkas dan mudah diingati. Apatah lagi dengan kebiasaan orang-orang Arab dan para penuntut ilmu dari serata dunia yang berada di sana yang memang kuat dari segi ingatan dan hafazan. Apalah sangat lafaz-lafaz yang penden-pendek itu.


Tetapi apabila beliau kembali ke Nusantara, dilihatnya sudah ramai orang yang mengamalkan Tarekat Ghazaliyah, lebih ramai lagi yang sekadar mengamalkan lafaz Zikir Harian, dan semakin ramai yang berminat untuk mengamalkannya. Yang mengamalkannya itu pula, sudah berbeza-beza lafaznya dan bercampur-aduk walaupun ia sangat ringkas lagi mudah. Oleh itu beliau mula menulisnya untuk dilekatkan di dinding, dan sebagai sebaran kepada murid-muridnya dan orang lain, dan akhirnya dibuatnya satu kitab terus. Barulah selepas itu dapat diseragamkan kembali lafaz-lafaz itu. Di Tanah Arab, hal sedemikian tidak berlaku. Jadi, lafaz-lafaz Zikir Harian itu ditulis atas keperluan zaman, tempat dan manusia di sekitarnya. Jadi, bolehlah merujuk kepada kitab tersebut.


Sebenarnya lafaz Zikir Harian itu tidak lain ialah ringkasan kepada 10 Bacaan Harian. Oleh kerana 10 Bacaan Harian itu lebih panjang (sebenarnya tidak sepanjang mana pun), maka untuk menghayatinya akan ada kesukaran. Dalam usaha untuk memudahkan pengamalan dan untuk melorongkan para pengamal kepada 10 Bacaan Harian yang lebih panjang itu, didahulukanlah lafaz Zikir Harian yang pendek-pendek. Perhatikan, ketujuh-tujuh lafaz pendek Zikir Harian itu ada dalam 10 Bacaan Harian.


Bagi seseorang pemula, untuk membaca, "Laailahaillallahu wahdahu lasyarikalah, lahulmulku walahul hamduyuhyi wa yumitu wahuwaala kulli syaiin qadir" tidaklah menjadi masalah, tetapi dari segi penghayatannya ketika membaca itu, bahagian itulah yang akan bermasalah. Oleh itu, mereka diperkenalkan terlebih dahulu dengan lafaz Zikir harian pada hari Sabtu iaitu, "Laa Ilahaillallah" sahaja. Yang ini lebih ringkas dan lebih mudah untuk mencapai penghayatannya.


Begitu juga dengan bacaan, "Astaghfirullahal 'azim allazi laa Ilahaillahu wal hayyul qayyum watubu ilaih". Dipendekkan dan dipecahkan menjadi lafaz pada hari Rabu iaitu "Astaghfirullahal azim" dan lafaz pada hari Ahad iaitu "Ya Hayyu, ya Qayyum".


Sebab itulah amalan lafaz Zikir Harian ini sebenarnya hanyalah asas atau pengenalan kepada Tarekat Ghazaliyah sahaja. Amalan sebenarnya ialah 10 Bacaan Harian itulah.


Ada pengamal Tarekat Ghazaliyah berasa keberatan untuk mengamalkan lafaz Zikir Harian kerana setakat ini mereka belum menemui tulisan pengasas tarekat ini sendiri (Imam Al-Ghazali) tentang hal tersebut. Bolehkah mereka mengamalkan 10 Bacaan Harian sahaja?


Jawapannya : Ya, tentu sahaja boleh. Apabila kita mengamalkan 10 Bacaan Harian, lafaz Zikir Harian pun sudah ada siap-siap di dalamnya. Lafaz Zikir Harian itu pun memang peranannya untuk membawa para pengamal kepada 10 Bacaan Harian itu juga. Cuma untuk terus menghayati dan "mengalami" 10 Bacaan Harian itu yang agak sulit jika tidak melalui, menghayati dan "mengalami" Zikir Harian terlebih dahulu.


Tentang sumber 10 Bacan Harian itu, yang tepatnya boleh dirujuk dalam kitab Ihya' 'Ulumuddin pada Kitab Zikir dan Doa.


Wallahua'lam.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

15 Februari 2021



No comments: