CARA ANDA MENYOAL KAMI
Sebelum ini sahaya ada menyiapkan satu penulisan yang bertajuk "Cara Kami Menjawab Persoalan Anda" http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/02/cara-kami-menjawab-persoalan-anda.html . Sekarang sahaya buatkan sambungannya dengan tajuk "Cara Anda Menyoal Kami" pula.
TUJUAN SOALAN
Apakah tujuan penanya bertanya? Antaranya :
i. Ada yang benar-benar tidak tahu dan ikhlas ingin tahu.
ii. Ada yang bertujuan untuk menguji, kerana kepentingan-kepentingan tertentu.
iii. Ada yang bertujuan untuk mengorek maklumat, kerana kepentingan-kepentingan tertentu.
iv. Ada yang bertujuan untuk memerangkap kita berdasarkan jawapan-jawapan kita, untuk kepentingan-kepentingan tertentu. Isi kandungan jawapan kita itu nanti akan digunakannya untuk tujuan-tujuan tersebut, lebih-lebih lagi jika ia mengandungi kelemahan atau kesalahan. Ringkas kata, isi jawapan itu nanti hendak digunakannya terhadap kita kembali.
v. Ada yang bertujuan untuk mempengaruhi kita sebenarnya tetapi menggunakan jalan yang tidak langsung. Dibuat-buatnya bertanya soalan tetapi sebenarnya dia hendak mempengaruhi kita melalui isi kandungan bahan dan soalan itu, untuk kepentingan-kepentingan tertentu. Biasanya soalannya akan berbunyi, "Betul ke ni?" dan "Apa pandangan tuan tentang perkara ini?". Sesekali datang pula dalam bentuk yang lebih berbunga seperti , "Nampak macam ada yang tak kena, tapi sekadar nak tahu pandangan ustaz tentang hal ini", "Saya tak ada ilmu dalam hal ini, sebab itu saya bertanya", dan sebagainya.
vi. Ada yang bertujuan untuk mengalihkan tumpuan kita, menghabiskan masa kita, mewujudkan kekeliruan kepada kita, dan seumpamanya. Biasanya teknik sebegini digunakan oleh lawan-lawan kita.
Ramai asatizah yang rajin menjawab soalan pernah mengalamai masalah-masalah yang dinyatakan di atas.
CARA MENYOAL YANG SEJAHTERA
Seterusnya, bagaimanakah cara yang sejahtera dalam bertanyakan soalan?
Caranya - tulis sendiri atau guna suara sendiri ketika bertanya. Mengapa ya? Kerana isi kandungan soalan itu biasanya memang benar-benar perkara yang anda hendak tanyakan, datang daripada minda dan hati anda sendiri, akan lebih menjelaskan maksud sebenar soalan kepada tukang jawab, menunjukkan yang anda tahu apa yang dipersoalkan, dan anda akan bertanggungjawab terhadap isi soalan.
Contoh : Ada penanya yang menghantar bahan-bahan (artikel, gambar, audio, video dan seumpamanya) lalu bertanya, "Apa pandangan ustaz?"
Masalahnya, pandangan tentang apa? Perkara apa dan bahagian mana daripada bahan-bahan yang dihantar itu yang dimaksudkan? Tak termampu kita untuk menghuraikan segala yang tersurat dan tersirat daripada bahan-bahan itu. Soalan sebegitu sangat umum. Jadi, kita khususkan agar skopnya lebih menjurus lagi tepat. Sebab itulah kena tulis atau suarakan sendiri soalannya.
PENGALAMAN MENGAJAR KITA
Berdasarkan pengalaman sahaya, majoriti daripada para penanya yang menyertakan bahan-bahan, tidak mengerti pun apa yang sedang mereka soal.
i) Apabila kita meneliti bahan-bahan yang disertakan, ternyata hal yang hendak ditanya itu bukan persoalan pun. Tidak ada persoalan atau tidak sesuai dijadikan persoalan.
ii) Ada yang bahannya bercerita tentang hal lain tetapi soalannya tentang hal lain pula. Tak berkait pun antara bahan dan soalan.
iii) Ada yang beranggapan bahan yang disertakannya itu bertentangan dengan pegangan atau fahamannya, tetapi ternyata bahan itu sama sahaja dengan pegangan dan fahamannya.
iv) Ada pula yang beranggapan bahan yang disertakannya itu bersamaan dengan pegangan dan fahamannya, tetapi ternyata bahan itu bertentangan dengan pegangan dan fahamannya. Bahan-bahan yang dibawa untuk menjadi hujah bagi pihaknya ternyata adalah hujah bagi lawan-lawannya.
Kita kenalah sentiasa beringat bahawa isi kandungan sesuatu bahan tidak semestinya sama dengan yang sedang kita fikirkan. Untuk memastikannya, telitilah terlebih dahulu bahan tersebut. Selalu berlaku, idea-idea yang terdapat dalam bahan yang djadikan sandaran itu ternyata tidak sama dengan idea-idea yang berada dalam fikiran dan hati si penanya sendiri. Jadi, keluarkanlah idea-idea itu menggunakan ayat (tulisan) atau suara sendiri (audio)
Hal-hal seperti ini berlaku kerana si penanya tidak meneliti pun bahan-bahan tersebut sebaliknya terus bertanya dengan berpegang kepada anggapan-anggapan yang dibuat secara terburu-buru. Sepatutnya ditelitinya terlebih dahulu bahan yang hendak ditanya, kemudian tentukan dengan baik apa dan bahagian mana yang hendak dijadikan pertanyaan daripada bahan itu, lalu kemudiannya barulah bertanyakan soalan dengan menggunakan ayat atau suara sendiri.
Menulis sendiri soalan atau bertanya menggunakan suara sendiri dapat menunjukkan yang kita benar-benar telah meneliti bahan tersebut, dan kita faham apa yang hendak kita tanya.
SEBELUM BERTANYA
Sebelum bertanya, pastikan anda telah pun melihat, membaca, menonton, mendengar dan cuba memahami bahan-bahan yang anda hendak ajukan itu. Yang tidak punya sebarang bahan, tidak menjadi hal kerana mereka akan menulis atau menyuarakannya sendiri.
Ada orang menghantar artikel yang panjang-panjang, kemudian minta kita beri komen.
Apa yang kita hendak komen itu? Luas benar skopnya.
Ada yang menghantar link demi link, dan minta kita jelaskan.
Apa yang hendak kita jelaskan daripada link-link itu? Luas skopnya tu.
Ada yang hantar audio 40 minit, dan bertanya, "Apa pandangan ustaz?"
Pandangan tentang apa dan bahagian yang mana? Keseluruhan isi kandungan audio itukah? Memang tak terjawab.
Ada yang menghantar video 1-2 jam panjangnya, kemudian bertanya, "Betul ke apa yang dikatanya tu ustaz?" atau pun "Mohon komen".
Dua jam punya video syarahan kalau hendak dikomen isi kandungannya, boleh jadi buku tebal berjilid-jilid.
Bayangkan, dalam sehari kita menerima banyak persoalan. Tiba-tiba kita kena baca pula untuk penanya-penanya akan artikel yang panjang-panjang, mendengar untuk mereka audio demi audio, buka dan terokai link demi link, tonton video yang berdurasi 8 minit, 20 minit, 1 jam, 2 setengah jam... Silap-silap 7-8 jam masa kita dalam sehari itu habis untuk meneliti bahan-bahan itu sahaja. Belum menjawabnya lagi. Jika kita terlewat menjawab atau tidak menjawab, digesa-gesanya pula untuk menjawab. Itu pun selalunya isi persoalan tidak relevan dengan isi bahan-bahan yang diajukan.
Sebab itulah, sebagai langkah untuk mengurangkan masalah yang sebegini, para penanya hantarlah bahan-bahan tetapi tanyakan soalannya menggunakan idea dan ayat sendiri melalui tulisan atau suara sendiri. Maka soalannya akan lebih menjurus, lebih tepat, dan menunjukkan si penanya faham apa yang hendak dipersoalkannya.
Ada penyoal yang tidak mahu atau tidak berani bertanggungjawab terhadap soalan dan bahan-bahan yang disertakannya, lalu mereka hanya copy n paste bahagian-bahgaian tertentu apabila ditanya, "Apa persoalan yang hendak ditanyakan atau diminta komen?", lalu di copy n paste sedikit daripada petikan. Ataupun disebutnya "ustaz dengar minit ke18 sampai 20 dalam video itu". Itu sahaja.
Jadi, apa yang hendak dipersoal atau diminta komen itu? Tukang jawab bukan boleh tentukan dengan tepat isi minda dan hati si penanya. Dan seperti yang dimaklumi, lebih ramai penanya yang tidak tahu apa yang mereka tanyakan, selalu tidak berkaitan, dan selalu tidak sama antara isi bahan dan isi soalan mereka.
KESIMPULANNYA
Maka caranya mudah sahaja. Walau apa pun bahan yang dihantar, soalan-soalan yang hendak dikemukakan itu tulis sahaja menggunakan kata-kata sendiri atau cakapkan sahaja menggunakan suara sendiri. Yang tidak menggunakan cara sebegini, mohon maaflah banyak-banyak kerana dengan sangat berat hatinya kami terpaksalah tidak mengambil sebarang respon.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
17 Februari 2021
No comments:
Post a Comment