Persoalan yang sering ditanya kepada kami, pengamal-pengamal Tarekat Ghazaliyah menghitung jumlah zikir menggunakan tangan (jari) sahajakah? Memang tidak menggunakan biji-biji tasbih?
Sebenarnya para pengamal Tarekat Ghazaliyah banyak menghitung jumlah zikrullah menggunakan tangan (jari) berbanding kaedah-kaedah atau benda-benda lain. Ertinya mereka biasanya akan menggunakan jari tetapi sesekali mereka menggunakan juga kaedah-kaedah atau benda-benda lain. Mereka digalakkan untuk mencuba kepelbagaian tersebut walaupun sekadar sekali cuba. Jadi, tidak benarlah pernyataan kononnya pengamal Tarekat Ghazaliyah menghitung jumlah zikrullah tidak menggunakan biji-biji tasbih tetapi menggunakan jari sahaja.
Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa umumnya Rasulullah SAW, para rasul, para nabi, para wali sejak zaman Nabi Adam, dan majoriti para sahabat memang menggunakan jari untuk menghitung jumlah zikrullah (hanya beberapa orang sahabat sahaja yang dikatakan pernah berbuat demikin dengan selain menggunakan jari). Jadi para pengamal Tarekat Ghazaliyah dilorongkan untuk “berkeadaan” sebagaimana “keadaan” mereka kerana “keadaan” merekalah “sebaik-baik keadaan”. Tidak ada yang lebih baik daripada “keadaan” mereka.
Satu hal yang pasti, menghitung lafaz-lafaz zikrullah tidaklah terhad kepada menggunakan jari atau biji-biji tasbih sahaja. Ada pebagai kaedah untuk menghitung lafaz-lafaz zikrullah yang diamalkan oleh para sahabat, para wali dan para ulama. Antaranya menggunakan batu-batu semulajadi, batu-batu buatan, logam-logam, biji buah-buahan, tulang-tulang, arah mata angin, bilah-bilah lidi, bintang-bintang di langit, benang, tali, alat pengira, kayu-kayan, dan sebagainya. Para pengamal Tarekat Ghazaliyah memang digalakkan untuk mencuba pelbagai bahan di atas. Ringkasnya, para pengamal Tarekat Ghazaliyah menggunakan pelbagai kaedah dan bahan, cuma biasanya mereka melazimi menggunakan jari-jari tangan.
R4S (Rasulullah SAW, 4 orang sahabat yang utama, dan sahabat-sahabat besar yang lain) lebih suka menggunakan jari bukan kerana tiada teknologi bahan-bahan tasbih ketika itu. Bahkan para penganut agama lain sebelum itu pun sudah ada yang melazimi biji-biji tasbih termasuklah yang berada di sekitar R4S. Tentunya ada khasiat-khasiat tertentu untuk dunia dan akhirat apabila R4S lebih melazimi penggunaan jari berbanding benda-benda lain. Wallahua’lam.
Abdullah bin ‘Amr berkata : “Aku melihat Rasulullah SAW menghitung tasbih dengan melipatkan jari-jari menggunakan tangan kanannya.” (Abu Dawud, Turmizi)
Umar bin Khattab berkata : “Rasulullah SAW menghitung zikirnya dengan jari-jari dan menyarankan para sahabatnya supaya mengikuti caranya.” (Abu Dawud, Turmizi, An-Nasa’i, Al-Hakim)
Kepada kaum wanita, Rasululah SAW berpesan : “Wahai para wanita beriman! Kalian mestilah rajin bertasbih, bertahlil dan mensucikan nama Allah. Janganlah kalian lalai sehingga melupakan rahmat. Hitunglah dengan jari-jari kalian kerana kesemua jari itu akan ditanya dan diminta untuk berkata-kata (maksudnya akan menjadi saksi pada hari akhirat kelak).” (Ahmad, Abu Dawud, Turmizi)
*Penerangan selanjutnya insya-Allah akan dibentangkan dalam siri ke-3 buku Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Ghazaliyyah (Pencerahan). Ada 8 persoalan berkaitan hal ini yang akan dikongsi nanti. Doa-doakan kejayaan buku tersebut.
No comments:
Post a Comment