Seorang hamba Allah menghubungi sahaya. Dia menceritakan yang dirinya ada mengikuti Tarekat Ghazaliyah. Gurunya bernama sekian-sekian. Dia cuma mahukan kepastian - adakah Tarekat Ghazaliyah yang diikutinya sama dengan Tarekat Ghazaliyah yang saya bawa?
Dia pun menunjukkan sanad Tarekat Ghazaliyah yang diikutinya. Sekali imbas, nampaknya sanad itu tidak mengapa. Namun sahaya tidaklah mengkaji sanad itu.
Kemudian sahaya tanyakan tentang pelajaran Tarekat Ghazaliyah yang sudah dilalui dan diamalkannya. Menurutnya, pada malam-malam tertentu mereka akan berkumpul beramai-ramai lalu melafazkan lafaz Zikir Harian yang 1000x itu. Dimulai dengan beberapa bacaan seperti istighfar, Al-Fatihah, melakukan rabitah dan sebagainya.
Kemudian sahaya tanyakan : "Lagi?"
Hamba Allah itu berasa pelik. Apa yang "lagi"?
Sahaya pun tanyakanlah pelajaran-pelajaran dan amalan-amalan Tarekat Ghazaliyah yang lain. Rupa-rupanya, setakat itu sahajalah pelajaran dan amalan Tarekat Ghazaliyah yang disampaikan. Sudah makan tahun lamanya bertarekat Ghazaliyah, itu sahajalah yang ada dan tidak nampak tanda-tanda akan ada penambahan.
Sahaya pun memberikanlah sedikit penjelasan, bahawa Tarekat Ghazaliyah itu bukanlah lafaz Zikir Harian yang 1000x sehari itu sahaja. Sanad yang dibawa oleh si guru itu mungkin benar tetapi ternyata bukanlah sanad Tarekat Ghazaliyah melainkan sanad bagi salah satu amalan dalam Tarekat Ghazaliyah iaitu sanad bagi amalan lafaz Zikir Harian. Dhaif sangatlah Tarekat Ghazaliyah yang diasaskan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali jika isinya hanyalah amalan Zikir Harian yang 1000 kali sehari itu sahaja.
Memang ada guru agama lain yang membawa sanad dan amalan 10 Bacaan Harian Tarekat Ghazaliyah, tetapi bukan membawa sanad dan amalan bagi Tarekat Ghazaliyah keseluruhannya.
Jadi, yang diikutinya selama hari itu hanyalah salah satu amalan daripada Tarekat Ghazaliyah, bukannya mengikuti Tarekat Ghazaliyah secara khusus. Wallahua'lam.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
7 Februari 2021
No comments:
Post a Comment