Tidak menjadi masalah jika anda menggunakan bahan-bahan hasil karya orang lain (penulisan, audio, video) dalam berhujah, tetapi ketika mengeluarkan hujah-hujah daripada bahan-bahan itu, anda hendaklah menggunakan TULISAN atau SUARA (kata-kata) anda sendiri.
Hal ini dapat menunjukkan yang anda memang TELAH MEMBACA, MENDENGAR atau MENONTON HUJAH-HUJAH yang terdapat di dalam bahan-bahan itu dan bukannya sekadar menyerahkan kepada kami tanpa anda sendiri membaca, mendengar atau menontonnya.
Hal ini juga bermaksud anda juga telah meneliti dan ada usaha untuk MEMAHAMI HUJAH-HUJAH BERKENAAN, bukannya sekadar baca-baca, dengar-dengar atau lihat-lihat sahaja. Maksudnya anda memang sedia maklum bahawa hujah-hujah itu sudah bertaraf kuat atau agak kuat.
Selain itu, cara begini menunjukkan keyakinan, kesediaan dan keberanian anda untuk BERTANGGUNGJAWAB KE ATAS HUJAH-HUJAH anda yang dalam bentuk tulisan atau suara anda itu. Tentunya anda tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas bahan-bahan karya orang lain itu kerana ia bukan asli datang daripada pemikiran dan perasaan anda. Bahan-bahan itu sekadar rujukan sahaja dalam diskusi.
Selalu terjadi, bahan-bahan yang dibawa itu TIDAK BERKAITAN dengan diskusi, tidak berkaitan dengan anda bahkan kadang-kadang MENYANGGAHI ANDA SENDIRI, tidak sama dengan apa yang anda fikir dan rasa, tidak difahami oleh anda sendiri, berisi kesalahan-kesalahan, sangat lemah untuk dimartabatkan sebagai hujah, dan sebagainya.
Jadi, mudah sahaja caranya. Sebarang perkara yang mahu anda bentangkan, TULIS atau CAKAPKAN SENDIRI. Walaupun kita berhujah menggunakan hasil karya orang lain sebagai sumber dan rujukan, tetapi ketika membentangkan hujah-hujah itu, kita GUNAKANLAH BUAH FIKIRAN dan ISI HATI kita sendiri. Nyatakan melalui tulisan atau kata-kata sendiri.
Contoh situasi yang biasa berlaku :
i) "Hujah saya dalam hal ini ialah..... (lalu diberikan 2-3 artikel karangan orang lain)."
ii) "Yang itu hujah tuan. Tapi tuan dengar pula apa kata ustaz sekian-sekian (lalu diberinya fail rakaman audio berdurasi 20 minit dan satu lagi audio syeikh si polan si polan yang berdurasi 5 minit)."
iii) "Apa yang ustaz katakan itu tidak benar (lalu diberinya link kepada video syarahan maulana sekian-sekian yang panjangnya 1 jam 40 minit).
Jadi kerja tambahan lagi tidak berupah pula buat kita untuk tolong baca, tolong dengar dan tolong tonton bagi pihaknya. Masa untuk itu bukan sedikit. Kemudian, kita kena berurusan pula dengan hujah-hujah orang-orang yang terdapat dalam bahan-bahan itu, sedangkan yang berhujah dengan kita tadi entah dibaca, didengar, ditonton dan DIFAHAMNYA ENTAH TIDAK pun isi kandungan bahan-bahan tersebut.
Jika ada jenis penghujah, pengkritik, pengkritis dan seumpama dengan yang sebegini, maka dengan sangat berat hatinya terpaksalah kami bersikap tidak ambil respon. Sekiranya diskusi sedang berjalan, maka dengan berat hatinya terpaksalah kami berhenti setakat itu sahaja (setelah diberi peringatan kepadanya). Harap diambil maklum akan hal ini.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
18 Februari 2021
*Penulisan ini terdiri daripada 3 siri :
1. Cara Kami Menjawab Persoalan Anda
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/02/cara-kami-menjawab-persoalan-anda.html
2. Cara Anda Menyoal Kami
http://alexanderwathern.blogspot.com/2021/02/cara-anda-menyoal-kami.html
3. Cara Kita Berhujah
(yang sedang anda baca ini)
No comments:
Post a Comment