Thursday, February 28, 2019

Selain Allah Faqir Belaka

Seluruh makhluk memerlukan Allah. Jika tidak ada Allah, makhluk tidak dapat wujud, tidak dapat tercipta, tidak dapat hidup. Oleh itu semua makhluk adalah faqir.

Satu-satunya yang tidak faqir hanyalah Allah SWT. Hal ini kerana Allah tidak perlukan apa-apa atau siapa-siapa. Dia Maha Sempurna dan Maha Kaya. Dia cukup segala.

Pada hakikatnya, hanya Allah sahaja yang ada dan yang hidup. Dia Maha Kaya, satu-satunya yang kaya kerana Dia tidak perlu kepada apa-apa pun.

Makhluk? Makhluk perlukan Pencipta, Pemelihara, Pengurus.
Manusia perlukan udara, ruang, tempat, langit, bumi, air, api dan bermacam-macam lagi. Semua itu disediakan oleh Allah SWT.

Alangkah miskinnya kita………..

Firman Allah : “Allah Serba Cukup (Maha Kaya) tetapi kamu faqir.” (Muhammad : 38)

-          Pengajian kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin : Kitab Faqir & Zuhud
-          Kuliah 7 Ogos 2017

Wednesday, February 27, 2019

ENGKAU HINA NABI MUHAMMAD SAW?

Mengapa wajib untuk kami tidak berdiam apabila kekasih kami Nabi Muhammad saw dihina?

Kerana kami mencintai baginda lebih daripada kami mencintai ibu bapa kami sendiri, diri kami sendiri, pasangan dan anak-anak kami sendiri, bahkan daripada seluruh umat manusia.

Engkau hina ibu bapa kami, diri kami, kaum keluarga kami, dan sebagainya, mungkin kami boleh berdiam. Tetapi apabila engkau hina Nabi Muhammad saw, kami akan segera respons!

Kekasih kami Rasulullah saw bersabda : “Tidak beriman seseorang kamu sebelum Allah dan RASUL-NYA itu LEBIH DICINTAINYA daripada yang lain-lain .” (Bukhari, Muslim)

Kecintaan kami Nabi Muhammad saw bersabda : “Tidak beriman seorang hamba sebelum adalah AKU (RASULULLAH SAW) LEBIH DICINTAINYA daripada isterinya, hartanya dan manusia semuanya.” (Bukhari, Muslim)

Abu Razin Al-‘Uqaili bertanya kepada junjungan kami Nabi Muhammad : “Ya Rasulullah, apakah iman itu?”
Rasulullah saw menjawab : “Bahawa adalah Allah dan RASUL-NYA LEBIH KAMU CINTAI berbanding yang lain-lain.” (Ahmad)

Allah Ta’ala berfirman : “Katakanlah : Sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, kekayaan yang kamu peroleh, perniagaan yang kamu khuatiri menanggung rugi, dan tempat tinggal yang kamu sukai; sekiranya semua itu kamu CINTAI lebih daripada Allah dan RASUL-NYA dan daripada BERJUANG PADA JALAN ALLAH, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintahNya. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.” (At-Taubah : 24)

Monday, February 25, 2019

Tentang Nur dan Allah


Yang paling awal, paling banyak, paling zahir, paling jelas, paling dahulu, paling terkehadapan, paling dekat yang kita nampak ialah CAHAYA. Tetapi mengapa kebanyakan manusia tidak sedar akan hal ini, sebaliknya mereka lebih nampak benda-benda sesudah cahaya?

i. Dari segi hakikatnya - Allah yang buatkan orang itu tidak nampak atau belum nampak. Allah yang tentukan sejak azali.

ii. Dari segi syariatnya -
-          Orang itu yang tidak tahu cara-cara (jalan. kaedah) untuk nampak.
-          Orang itu tidak tahu kerana dia tidak belajar akan cara-cara (jalan) untuk nampak.
-          Orang itu tahu tetapi dia tidak berusaha betul-betul untuk nampak.
-          Orang itu memang fikirannya lemah untuk nampak. Pelajaran yang agak tinggi tidak dapat ditangkapnya.

Begitu jugalah halnya tentang Allah.

Yang paling awal, paling banyak, paling zahir, paling jelas, paling dahulu, paling terkehadapan, paling dekat yang kita ‘nampak’ ialah Allah. Tetapi mengapa kebanyakan manusia tidak sedar akan hal ini sebaliknya mereka lebih nampak yang selain Allah?

i. Dari segi hakikatnya - Allah yang buatkan orang itu tidak ‘nampak’ atau belum ‘nampak’. Allah yang tentukan sejak azali.

ii. Dari segi syariatnya -
-          Orang itu yang tidak tahu cara-cara (jalan) untuk ‘nampak’.
-          Orang itu tidak tahu kerana dia tidak belajar akan cara-cara (jalan) untuk ‘nampak.’
-          Orang itu tahu tetapi dia tidak berusaha betul-betul untuk ‘nampak’.
-          Orang itu memang fikirannya lemah untuk ‘nampak.’ Pelajaran yang agak tinggi tidak dapat ditangkapnya.

Inilah yang dikatakan oleh Imam Al-Ghazali : “Lalu jadilah terang-Nya (terlalu terangnya Allah) itu (menjadi) sebab kepada tersembunyi-Nya. Maha Sucilah (Allah) Yang Terhijab dengan cemerlang Nur-Nya. Dan tersembunyi dari mata hati dan mata kepala dengan sebab terang-Nya.”


Pengajian kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin : Kitab Cinta Allah
Kuliah 11 April 2016

Rakaman audio kuliah :