1.
Beristighfar – Kita
beristighfar terlebih dahulu, selalukan dan banyakkan. Maksudnya kita mohon
keampunan kepada Allah atas dosa-dosa yang kita lakukan dahulu dan hari ini,
kerana mungkin ada salah satu daripada dosa-dosa yang kita lakukan (terutamanya
dosa-dosa dahulu, contohnya pada zaman sebelum berkahwin) yang membuatkan Allah
meletakkan suami kita hari ini sebagai pasangan hidup kita dna bukannya orang
lain. Akui dosa-dosa kita dan apabila Allah ampunkan dosa-dosa kita,
insya-Allah Dia akan mudahkan dan untungkan segala urusan keduniaan dan keakhiratan
kita. Doa-doa kita pun akan lebih mudah diangkat.
2.
Doa – Pada
hakikatnya, hanya Allah sahaja yang ada kuasa untuk membuat sebarang perubahan
di dunia ini, termasuklah perubahan sikap suami kita. Selain daripada Dia,
semua tidak punya sebarang kuasa. Jadi, kita rendahkan diri dan minta terus
daripada Dia agar gerakkan suami kita ke arah yang lebih baik terutamanya dalam
pelaksanaan ibadah solat.
3.
Tunjukkan contoh – Selain
beristighfar dan berdoa, antara usaha dan ikhtiar kita adalah dengan kita
sendiri menunjukkan contoh (menjadi suri teladan). Kita laksanakanlah solat
fardhu dengan jayanya dan tambahlah dengan solat-solat sunat. Mudah-mudahan sebagai
permulaan dia akan termotivasi apabila melihat keseronokan kita melayan ibadah
solat, ataupun sekurang-kurangnya dia ada perasaan segan lalu mula cuba-cuba
bersolat.
4.
Jadikan anak2
sebagai contoh - Sekiranya kita sudah punya anak-anak, pastikan anak-anak membereskan
urusan solat mereka. Si suami tentu perasan perlakuan anak-anak. Moga-moga
tersentuh juga hatinya sedikit-sebanyak.
5.
Ajak suami jadi
imam (secara halus dan lembut) – Hal ini antara usaha untuk kita membuatkan
hatinya terbuka ke arah solat. Contohnya : “Jom kita solat berjemaah bang.”
Ajak sambil-sambil lalu sahaja dulu, jangan dibentak-bentak pula. Tak
semestinya dia akan mengikut pada ajakan kali pertama, kedua dan ketiga. Tetapi
kalau sudah selalu, mungkin akan dibuatnya juga.
6.
Ajak sembang dan bincang.
Ceritakan dengan baik kepada si suami tentang keinginan kita yang suka jika dia
membereskan urusan solatnya. Tanyakan : “Apa yang boleh saya bantu dan buat
untuk membolehkan abang bersolat?” Tanyakan : “Ada apa-apakah yang boleh kita
sama-sama usahakan dalam hal ini?”
7.
Ikuti pengajian – Kita
kenalah berusaha dan berikhtiar mencari masa untuk berada dalam mana-mana
majlis pengajian agama. Sesekali ajak suami untuk bersama-sama pergi ke
majlis-majlis pengajian. Hatinya mungkin akan tersentuh dengan mana-mana isi
pengajian atau suasana, yang akan mencetuskan perasaan ingin bersolat pada
dirinya. Sekiranya ada kesukaran, sesekali ajak dia bersama-sama tonton
syarahan-syarahan agama di televisyen.
8.
Setelah diusahakan
sekian lama tetapi masih tidak berubah juga, kita boleh menunjukkan rasa tidak
senang dengan sikapnya tu. Daripada air muka kita biasanya suami boleh rasakan.
9.
Minta bantuan orang
yang dia segan. Contohnya kita boleh ajak berpakat dengan kawan dia, orang
tua-tua, bapa mentua, bapa saudara, ustaz-ustaz dan sebagainya yang biasanya
dia lembut hati untuk mendengar bicara mereka. Minta agar orang-orang ini cuba selit-selit
dan sembang-sembang dengan si suami tetang ibadah solat.
10.
Suatu hal yang
sangat bagus untuk diusahakan ialah biasakan kosongkan waktu mahgrib hingga
isyak daripada sebarang aktiviti. Latih perlahan-lahan dan jadikan budaya agar
waktu itu hanya untuk urusan-urusan keagamaan sahaja (kecuali jika ada hal
penting). Televisyen dan radio jangan langsung dibuka. Hentikan segala gajet.
Seboleh-bolehnya semua telefon tidak di tangan kita dan anak-anak. Jadi, waktu
ini hanya diisi dengan solat fardhu, solat sunat, membaca Al-Quran, belajar dan
mengajar Al-Quran, membaca buku-buku agama, ulang kaji hafazan, buat kerja
sekolah, majlis taklim dan yang seumpama dengannya. Banyak manfaatnya budaya
ini.
Saya yakin ada pelbagai kaedah lagi
yang boleh digunakan dalam hal ini. Saya sekadar mencadangkan beberapa usaha dan
ikhtiar yang terfikir oleh saya ketika menulis ini.
Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
16 Februari 2019
No comments:
Post a Comment