Monday, November 14, 2022

Tafsir Mimpi Harimau Belang

 

Pertanyaan tentang tafsir mimpi oleh seorang hamba Allah dari Singapura, lebih kurang ceritanya (setelah saya perbaiki penulisan dan bahasanya) :

Saya bermimpi berada di sebuah kampung. Ada sebuah rumah dan dalam mimpi tersebut rumah itu ialah rumah tempat tinggal saya. Ketika itu saya sedang berjalan-jalan di halaman rumah menuju ke hujung halaman. Di sebelah halaman rumah itu ialah kawasan hutan kampung.


Tiba-tiba saya ternampak seekor harimau belang besar sedang berjalan perlahan2 melintasi kawasan hutan itu dalam jarak lebih kurang 60-70 meter daripada saya. Saya sangat terkejut kerana tidak menyangka sama sekali yang sekarang harimau sudah merayau-rayau di kawasan pinggir kampung. Sebelum itu memang ada harimau tetapi hanya tinggal jauh di dalam hutan dan tidak merayau-rayau sampai ke kampung.


Saya khuatir harimau itu akan membahayakan penduduk kampung lalu dengan beraninya saya mengambil batu2 kecil dan melempar ke arah harimau itu sekalipun saya tahu perlakuan itu bukanlah masalah bagi si rimau. Walaupun usaha saya itu kecil tetapi saya berharap agar si harimau terkesan juga sedikit lalu beredar masuk ke hutan semula. Namun ternyata si harimau buat tak endah sahaja. Melihat saya pun tidak.


Tiba-tiba, muncul dua ekor harimau dewasa lagi yang kecil sedikit daripada harimau tadi. Kedua-dua ekor harimau itu mengikut si harimau besar dari belakang sambil mencari-cari. Tanpa disangka-sangka dua ekor harimau itu terus melompat tinggi ke udara, setinggi pokok kelapa lalu mendarat di tepi rumah saya. Tujuannya untuk mencari mangsa iaitu manusia.


Pada mulanya harimau2 itu tidak menyedari kewujuan saya yang sedang berada di tepi halaman. Oleh kerana ketakutan, saya berusaha berlari ke arah rumah untuk menyelamatkan diri. Ketika itulah harimau2 itu ternampak akan saya lalu salah seekor daripada harimau itu pun mengejar.


Saya cuba masuk ikut pintu di tepi rumah tapi ternyata pintu itu terkunci. Saya memanggil orang sambil mengetuk pintu tetapi tiada siapa yang menyahut. Saya berlari lagi lalu berjaya masuk melalui pintu bilik air. Dengan cepat saya menutup dan mengunci pintu bilik air itu. Si harimau sangat marah lalu mencari2 jalan untuk masuk. Saya pun terus memanjat ke alang/kekuda di bumbung rumah. Kemudian saya meniti ke arah hadapan, ke rumah bahagian atas.


Di rumah bahagian atas (depan), saya ternampak saudara-mara saya semua sedang tidur. Saya pun menjerit sekuat hati untuk mengejutkan mereka. Saya berharap agar saudara-mara saya terselamat dan dapat pula saling membantu untuk mengusir si harimau. Namun malangnya mereka terus lena sedangkan si harimau sudah menerkam ke serata dinding dan tingkap untuk cuba masuk.


Ketika itu saya pun terjaga.


Apakah tafsir mimpi ini dan adakah isi kandungan mimpi ini ada kaitan dengan saka atau sihir? Adakah harimau itu jin?


JAWAPANNYA


Mimpi ini tidak berkaitan dengan saka atau sihir. Mimpi ini menyampaikan maklumat bahawa anda mempunyai orang atasan atau pemerintah, atau yang seumpama dengannya, yang ada sifat zalim. Orang itu tidak berseorangan. Dia mempunyai pembantu2 yang zalim juga. Dan mereka memang berkuasa, kuat, dan tindakan mereka memang secara mengejut lagi tidak dijangka.


Sebelum ini kezaliman mereka tidak kelihatan tetapi kini dilakukan secara terang-terangan. Anda sebenarnya memang sedar akan ketidakbaikan mereka tetapi tidak menyangka yang mereka sudah sampai ke tahap sekarang. Maka anda pun berusaha untuk menghalang hal itu sekalipun anda sangat kurang kemampuan. Kemudian kezaliman mereka sudah sampai kepada kaum kerabat anda pula lalu anda cuba mengingatkan/mengejutkan mereka, sambil anda berusaha menyelamatkan diri. Namun kaum kerabat masih buat tak tahu sahaja.


Setakat itulah sahaja maklumat yang diperolehi daripada mimpi ini. Kesudahannya tidaklah dimaklumkan dalam mimpi ini. Saya kira semua hal di atas sudah pun berlaku (mungkin sudah berbulan atau mungkin juga sudah bertahun) dan mimpi ini hanya menceritakan semula sahaja pengalaman anda. Wallahua'lam.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

4/11/22

Laman Debunga Teratai Syurgawi

No comments: