Friday, November 25, 2022

Mimpi Keajaiban di Gunung Pokok Pisang

 

Semalam Khamis malam Jumaat 24 November saya mendapat satu mimpi. Saya melihat sebuah gunung yang tinggi. Seluruh kawasan gunung itu dipenuhi dengan pokok-pokok pisang. Di kaki gunung dan di sekitar gunung itu juga dipenuhi dengan pokok-pokok pisang yang lebih banyak jumlahnya. Mungkin berkilo-kilometer kawasan sekitar gunung itu penuh dengan pokok pisang. Nampak macam pemandangan di sawah padi yang luas. Pokok-pokok pisang itu mempunyai buah muda yang berwarna hijau dan jantung pisang. Beberapa ekor burung kelihatan terbang ke sana ke mari dan ada yang hinggap di pokok-pokok pisang.


Di kemuncak gunung itu pula ada satu tempat yang hebat tetapi tertutup dengan awan atau kabus yang menyelubunginya. Oleh itu saya tidak dapat melihat dengan jelas kawasan kemuncak gunung itu tetapi dalam mimpi ini saya seolah-olah sedia maklum akan cantiknya kawasan itu.


Tiba-tiba dari kawasan kemuncak gunung itu meluru terbang ribuan (jutaan?) ekor burung hitam. Saya tidak pasti spesisnya tetapi saya agak semua itu ialah burung gagak. Burung-burung itu hinggap ke pokok-pokok pisang lalu mematuk pangkal pelepah pokok pisang. Pokok-pokok yang dipatuk terus gugur buah dan jantungnya. Warna pokok itu juga berubah daripada hijau kepada coklat. Hampir semua pokok pisang dipatuk. Kemudian burung-burung itu terbang kembali ke kemuncak bukit.


Saya pun berasa sangat hairan melihat kejadian yang ajaib itu. Dari jauh nampak sekan-akan warna perang (coklat kekuningan) semuanya. Sesekali nampak cantik juga seperti pemandangan di luar negara. Sesekali ternampak buruk pula. Hanya tersisa sedikit sahaja di sana sini terselit pokok-pokok pisang yang kehijauan. Fikir saya : "Mengapalah boleh jadi sebegitu? Alangkah ajaibnya!" Saya pun melihat ke sana ke mari.


Tanpa diduga tiba-tiba keluar lagi sekali burung-burung hitam dari kemuncak gunung. Semua meluru ke arah pokok-pokok pisang. Kali ini burung-burung itu mematuk bahagian hujung daun pisang pula. Apabila pokok-pokok pisang yang berwarna coklat dipatuk, semua bertukar daripada warna coklat kepada warna hitam. Pokok-pokok pisang yang masih dalam keadaan asal pula apabila dipatuk terus bertukar warna menjadi biru atau ungu kehitaman selain buah dan jantung pisangnya turut jatuh.


Pada kali ini lebih banyak pokok pisang dipatuk. Kemudian burung-burung itu pun terbang kembali ke puncak gunung. Dari kejauhan, pokok pisang yang masih belum dipatuk seolah-olah tidak kelihatan lagi kerana sangat sedikitnya lagi terselit kedudukannya di celah-celah lautan pepohon warna hitam dan biru/ungu kehitaman itu.


Kemudian saya terperasan bahawa berhampiran perdu pokok-pokok pisang di gunung itu dan sekitarnya ada anak pokok pisang. Ketika itulah saya tersedar yang saya juga sebenarnya merupakan salah sebatang pokok pisang di kawasan pertengahan gunung tersebut. Saya terselamat daripada serangan gagak. Di keliling saya sendiri ada beberapa anak pokok pisang. Sementara itu tandan pisang yang ada pada saya sudah mula menguning (hendak masak). Saya pun tidak mengerti bagaimana saya sebagai sebatang pokok pisang tapi dapat melihat ke serata gunung dan sekitarnya dari jauh. Pelik sungguh memikirkannya.


Lama rasanya berkeadaan sebegitu. Mungkin beberapa hari. Padahal mimpi itu mungkin dalam beberapa minit sahaja.


Suatu hari nun hampir ke kemuncak sebuah gunung lain di kejauhan, kelihatan sebatang pokok yang membesar dengan sangat pantas lagi luar biasa. Pokok itu makin meninggi menjulang ke langit. Sebagai mendekatkan kepada faham, tinggi dan besarnya bolehlah dikatakan macam pokok dalam filem Avatar, malahan besar lagi. Pokok itu merimbun ke serata arah. Dahan-dahan berkembang. Ia jadi seperti satu payung yang mega besar. Saya terus menyaksikan percambahan dahan-dahan lalu saya mengagak ia boleh sampai ke gunung pokok pisang ini.


Ketika itu... mimpi pun berakhir.


Begitulah lebih kurang isi kandungannya.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

25 November 2022

Blog Debunga Teratai Syurgawi

No comments: