Salam ustaz. Saya ada satu masalah, iaitu saya selalu tinggal solat. Akibatnya saya ni miskin duit. Miskin maknanya kurang. Soalannya, saya dah letih dan tak larat tinggal2 solat ni. Saya pun kecewa dengan diri saya kenapa saya jadi begini. Apakah punca seseorang itu tinggal solat dan bagaimana nak mengatasinya?
JAWAPANNYA : Waalaikumussalam.
Adanya PERASAAN KECEWA kerana meninggalkan solat itu sebenarnya satu HADIAH daripada Allah. Perasaan itu Dia yang beri kerana Dia menyayangi kita dan mahu kita berfikir lalu bertindak. Ramai lagi orang2 yang sering meninggalkan solat tetapi mereka langsung tidak berasa apa-apa. Semoga Allah jauhkan kita daripada menjadi seperti itu.
Tentunya banyak faktor yang boleh kita senaraikan. Antara punca utama kita meninggalkan solat adalah kerana kita tidak dapat merasai KEMANISAN dan kenikmatan mengerjakan solat itu. Apabila manis solat itu sudah ada dalam jiwa, insya-Allah susah dah kita nak tinggalkan solat.
Antara jalan untuk mendapatkan kemanisan dan keghairahan untuk mengerjakan solat ini adalah dengan setiap hari kita MENGULANG2 baca/dengar/tonton hadis2 yang menceritakan kelebihan2 (FADHILAT) solat. Apabila kelebihan2 solat selalu disuluh dan dipancarkan cahayanya ke dalam hati kita, kita pun akan terdorong untuk menyelesaikan kesemua solat kita kerana hati kita sering dicerahkan. Cuba cari dan kumpulkan hadis2 berkenaan dan bacalah setiap hari. Hal itu ertinya kita mengingatkan diri kita sendiri.
Sabda Nabi saw : "Sesungguhnya solat yang lima itu menghapuskan dosa2 sebagaimana air menghapuskan kotoran." (Muslim)
Sabda baginda : "Tiadalah seorang muslim bersujud kepada Allah dengan satu sujud melainkan diangkat oleh Allah stau tingkatan dan dihapuskan daripadanya satu kejahatan dengan sujud itu." (Muslim)
Faktor lainnya ialah PERGAULAN kita. Jika selalu berdamping dengan orang2 yang mementingkan solat, kita juga akan terdorong untuk mementingkan solat. Sebaliknya jika kita selalu berada dalam kalangan mereka yang tidak/kurang mementingkan solat, kita pun akan terdorong jadi seperti mereka. Begitulah DARI SEGI SYARIATNYA. Jadi, selalu2lah cari peluang untuk bergaul rapat dengan orang2 yang mementingkan solat.
DARI SEGI HAKIKATNYA pula, hanya Allah sahajalah satu-satunya yang ada kuasa untuk membuatkan kita jadi orang yang menggemari solat atau yang mengabaikan solat. Selain daripada Dia, langsung tidak ada walau sezarah kuasa. Oleh itu, kita kena SELALU istighfar dan memohon DOA kepada-Nya agar Dia pilih dan jadikan kita seorang yang gemar malah cinta akan solat. Mudah-mudahan dikabulkan-Nya.
Selain itu, dari segi tasawufnya, ada baiknya kita tidak mengaitkan antara meninggalkan solat dengan KURANGNYA DUIT. Boleh jadi kerana kaitan yang sebegitu yang membuatkan Allah menyempitkan ruang dan peluang kita untuk mengerjakan solat. Kita usaha buat sahaja solat sebagaimana yang diperintahkan dan teruslah berusaha mencari duit.
Rezeki daripada Allah datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin kita kurang duit tetapi kita direzekikan-Nya kesihatan, ada kaum keluarga, ada kawan-kawan, ada rasa minat akan agama, tidak menyusahkan orang, boleh buat pertimbangan yang baik, tempat kerja yang dekat, kawasan tempat tinggal yang selamat, pendengaran yang tajam, tidak perlu menanggung ramai orang, disenangi orang sekeliling, dapat guru agama yang bagus, dihormati orang, mudah buang air kecil air besar, dan sebagainya.
Akhirnya, semoga dengan jawapan yang ringkas ini dapatlah sedikit-sebanyak memberi manfaat. Kita banyakkan dan teruslah bersabar, banyakkan dan teruslah mengerrjakan solat.
Firman Allah SWT : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat." (Al-Baqarah : 45)
Firman-Nya Azza wa Jalla : "Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah : 153)
12/11/22
No comments:
Post a Comment