Harta itu seperti ular. Padanya ada racun dan ubat. Sesiapa yang tahu akan manfaat dan mudaratnya, dapatlah dia mengambil manfaat dan menjauhkan mudarat itu daripadanya. Sesiapa yang tidak tahu, besar kemungkinan dia akan terkena.
Manfaat harta dari segi agama :
Manfaat untuk diri sendiri. Harta berguna untuk membolehkan kita beribadah. Contohnya membolehkan kita pergi mengerjakan haji dan pergi berperang jihad. Sedangkan haji dan jihad itu adalah ibadah besar. Harta juga membantu kita dalam memudahkan beribadah. Contohnya membolehkan kita mempunyai makanan, pakaian, tempat tinggal, perkahwinan dan keperluan hidup yang lain.
Manfaat untuk orang lain. Contohnya kita boleh bersedekah kepada orang lain, boleh mengelokkan hubungan kita dengan orang lain melalui pemberian hadiah, kenduri, pertolongan dan seumpamanya. Semua ini disukai Allah dan berpahala.
Manfaat untuk umat. Contohnya untuk pembangunan masjid, jambatan, rumah sakit dan sebagainya.
Bahaya harta dari segi agama :
Boleh membawa kepada maksiat. Harta membuatkan seseorang itu lebih mampu mencapai hal-hal maksiat.
Boleh menarik kepada terpesona yakni terbiasa bersenang-senang dalam hal-hal yang dibolehkan (hal-hal mubah). Apabila kadang-kadang harta itu tidak diperolehi, maka harta itu mungkin dicari melalui jalan-jalan yang tidak sepatutnya. Hal ini kerana manusia akan berusaha juga untuk mendapatkan sesuatu kesenangan yang sudah terbiasa bagi dirinya.
Boleh membuatkan seseorang itu sibuk dengan harta itu sehingga menjadi jauh pula daripada Allah.
- Buku Anugerah Berwangian Cinta untuk Tetamu Taman Cahaya (Petikan, Ringkasan & Rumusan kitab Ihya' 'Ulumuddin), ms 115
No comments:
Post a Comment