Jika dalam buku Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyah 1 (Pengenalan) pantun-pantun hiasannya menjadi tarikan, dalam Terbit Cahaya Naungan 2 (Lanjutan), syair-syair pula yang menjadi hiasan. Penulisan tentang pantun-pantun itu boleh dibaca di sini http://alexanderwathern.blogspot.com/2020/12/pantun2-dalam-buku-sahaya-terbit-cahaya.html . Di bawah ini pula merupakan rangkap-rangkap syair yang terselit di sepanjang buku kedua.
1.
Hendaklah sedar wahai tetuan,
Ilmu disurat jadi bacaan,
Berkayuh biar perlahan-lahan,
Agar selamat sampai tujuan.
2.
Ahmad Muhammad nama mulia,
Indah terdengar ke mana-mana,
Kuat tersemat di dalam jiwa.
Zaman-berzaman pilihan manusia.
3.
Datang dan pergi kerjanya Tuhan,
Rezeki insan Dia tentukan,
Ikhlaskan hati redha aturan,
Namun usaha tetap teruskan.
4.
Inilah kitab Imam Ghazali,
Isi bicara qalbunya Nabi,
Supaya mantap pakaian diri,
Terpelihara amalnya hati.
5.
Setiap hari jangan berselang,
Wiridkan Quran tandanya sayang,
Kalam Ilahi bukan sebarang,
Ihya jadikan lampu penerang.
6.
Hendaklah kita beristiqamah,
Janganlah hati terasuk lemah,
Doa dipinta supaya gagah,
Pantang berhenti, pantang menyerah.
7.
Hujjatul Islam cetus tariqah,
Jalan kembali kepada Allah,
Ilmu tersulam dalam risalah.,
Guna yang asli saring yang salah.
8.
Tawakal itu sesuai tempat,
Ikut sahabat itu yang tepat,
Kepada Yang Satu memohon hajat,
Bekerja kuat dapat manfaat.
9.
Setiap guru bersalasilah,
Jalurnya sampai ke Rasulullah,
Lalu menuju Jibril yang gagah,
Akhir mencapai kepada Allah.
10.
Awal pertama rajin berdoa
Ikhlas sentiasa di dalam jiwa
Bersama-sama tekad mulia
Juga biasa menurut kata.
11.
Meninggi diri bawa binasa,
Biar merendah agar sejahtera,
Kita diuji oleh Yang Esa,
Walau di bawah, tidak cedera.
12.
Kalamnya imam sangat berharga,
Sering dinukil ulama sedunia,
Ilmunya dalam tiada terduga,
Cantik diambil untuk diguna.
13.
Menjadi guru banyak tanggungnya,
Aneka perkara perlu dikira,
Murid dan seteru banyak ragamnya,
Pelbagai bicara bermacam suara.
14.
Separas lutut kaki direndam,
Terasa sudah handal menyelam.
Lalu menghasut bermacam-macam,
Tersenyum cerah bagi yang faham.
15.
Al-Ghazaliyah untuk semua,
Sangat sesuai di mana-mana,
Amalnya mudah boleh dibawa,
Hasil dituai di akhirat sana.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
2 Januari 2021
No comments:
Post a Comment