Sunday, January 31, 2021

Tarekat Syaziliyah dan Tarekat Ghazaliyah

 

SOALAN : Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh. Tadi saya lihat di Youtube kajian tasawuf, dia bantah orang yang bilang Imam kita Hujjatul Islam Imam al-Ghazali tidak berguru, tapi setelah itu dia bilang Tarekat Syaziliyah itu lengkapnya adalah Syaziliyah Al Ghazaliyah. Sepertinya dia menyamakan Tarekat Ghazaliyah dengan Syaziliyah. Mohon pencerahan tuan ustadz.


JAWAPAN : Waalaikumussalam. Ya, saya sudah tonton videonya. Secara keseluruhannya memang bagus ilmunya dan penyampainya juga.


Sebagai tanggapan kepada persoalan-persoalan tersebut :


i) Imam Al-Ghazali ramai sekali guru-gurunya dalam soal agama, termasuklah ilmu-ilmu yang dalam tungku tasawuf. Karena itulah ada banyak sanad keilmuannya. Mana mungkin dia tidak punya guru.


ii) Yang itu juga tidak ada salahnya, cuma penjelasannya mungkin perlu dirincikan sedikit.


Dalam tungku tasawuf, ada tarekat2 yang lebih awal yang lebih berupa “jalan-jalan dasar” atau “mazhab-mazhab dasar” atau “sekte-sekte dasar”. Antaranya Tarekat Qusyairiyah, Tarekat Junaidiyah dan Tarekat Ghazaliyah. Daripada tarekat2 inilah kemudiannya melahirkan tarekat2 yang lebih berupa “organisasi”.


Daripada Tarekat Ghazaliyah itu nantinya melahirkan beberapa tarekat yang lebih berupa “organisasi” (ormas) seperti Tarekat ‘Alawiyah, Tarekat Suhrawardiyah, Tarekat Syaziliyah dan Tarekat Muhammadiyyah. Dasar kepada tarekat2 ini sebenarnya banyak bersumberkan kepada Tarekat Ghazaliyah.


Berikut merupakan mata rantai sanad Tarekat Syaziliyah yang berada dalam pengetahuan Tarekat Ghazaliyah ini.


  1. Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali menyampaikan Tariqat Ghazaliyyah kepada

  2. muridnya Syeikh Abu Muhammad bin Soleh bin Hirzihim/ Harzihim/ Harazem (?-1112) yang menyampaikan kepada

  3. muridnya yang juga anak saudaranya Syeikh Ali Hirzihim (?-1163), iaitu pemimpin zawiyah Tariqat Ghazaliyyah di Fez, Maghribi yang menyampaikan kepada

  4. muridnya Syeikh Abi Madyan (1126-1198) yang menyampaikan kepada

  5. muridnya Syeikh Abdus Salam bin Masyis (?-1227) yang menyampaikan kepada

  6. muridnya Syeikh Abu Hasan asy-Syazili (1197-1258).


Kemudian Syeikh Abu Hasan asy-Syazili mengasaskan Tariqat Syaziliyyah. Daripada Tariqat Syaziliyyah ini nanti menerbitkan beberapa tariqat lain lagi.


(*Masyhur dalam kalangan para pengamal/praktisi Tarekat Syaziliyah bahawa Imam Asy-Syazili ada berpesan, kurang lebih katanya : “Sekiranya kalian berdoa, sertakanlah nama Imam Al-Ghazali.” Wallahua’alam)


Jadinya, memang benar bahawa tarekat-tarekat itu asalnya ialah :

i. Tariqah al-’Alawiyyah al-Ghazaliyyah

ii. Tariqah as-Suhrawardiyyah al-Ghazaliyyah

iii. Tariqah asy-Syaziliyyah al-Ghazaliyyah

iv. Tariqah al-Muhammadiyyah al-Ghazaliyyah


Namun seiring berjalannya waktu, lama-kelamaan “al-Ghazaliyyah” itu sudah semakin tidak disebut-sebut lagi lalu akhirnya seakan-akan menghilang. Dasarnya masih sama tetapi ilmu-imu dan praktiknya ada sedikit berbeda di sana sini. Terjadi perubahan kerana Tarekat Ghazaliyah itu ada kebutuhan/keperluan untuk disesuaikan dengan persekitaran (lingkungan) masa, lokasi, peristiwa dan orang-orangnya pada saat itu. Perubahan-perubahan ini tentunya membawa serba-sedikit perbedaan dengan Tarekat Ghazaliyah yang asal (yang aslinya).


Misalnya, Al-Faqih al-Muqaddam (Muhammad bin ‘Ali Ba’alawi) menerima Tarekat Ghazaliyah daripada Syaikh ‘Abdullah al-Maghribi. Lalu Tarekat Ghazaliyah ini disesuaikan dengan persekitaran masa, lokasi, peristiwa dan keturunan Nabi Muhammad SAW ketika itu. Hal ini kerana pada masa itu mereka tinggal di Yaman yang letaknya sangat jauh daripada mursyid-mursyid lain Tarekat Ghazaliyah di Afrika Utara. Untuk kebaikan semua pihak, maka Tarekat Ghazaliyah yang sudah disesuaikan itu dinamakan sebagai Tarekat ‘Alawiyah (Tarekat Ba’lawi) al-Ghazaliyah. Sekiranya berlaku sebarang perbedaan di kemudian hari, tidaklah wujud permasalahn antara Tarekat Ghazaliyah yang asal dan Tarekat Ghazaliyah yang sudah disesuaiakan menjadi Tarekat ‘Alawiyyah.


Kita contohkan dengan silat2 (silek) di Sumatera. Banyak silat2 yang berasal dari sana berkembang di Tanah Melayu sejak ratusan tahun lalu seperti silat Terlak (Taralak, Sitaralak), Harimau (Macan), Lintau, Minang (Minangkabau), Kemanga (Kumango), Tua, Cekak (Cakak), Luncur (Luncua) dan lain-lain.


Untuk tidak menimbulkan isu, misalkan saja ada silat dari sana yang namanya Silat Lautan (sekadar rekaan/fiksi sahaja, mohon maaf sekiranya ada kemiripan dengan pencak silat apa pun). 200 tahun yang lalu silat ini dibawa ke Tanah Melayu dan tersebar ke serata negerinya seperti Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Kedah dan lain-lain. Pada 200 tahun yang lalu perhubungan komunikasi dan kendaraan masih sangat terkebelakang (mundur). Oleh itu persekitaran masa, lokasi, peristiwa dan orang-orang sangat mempengaruhi perjalanan Silat Lautan. Hal ini membuatkan wujudnya serba- sedikit perbedaan antara kebanyakan perguruan Silat Lautan di Tanah Melayu berbanding yang asalnya di Sumatera.


Oleh itu kemudiannya wujudlah perguruan Silat Lautan Biru, Silat Lautan Sakti Raya, Silat Seri 7 Lautan, Silat Naga Lautan, Silat Lautan Senja dan sebagainya. Lama-kelamaan tinggallah nama Silat Biru, Silat Sakti Raya, Silat Seri 7, Silat Naga dan Silat Senja. Nama “lautan”nya sudah tenggelam. Kesemua perguruan ini dasarnya masih sama dengan Silat Lautan asli di Sumatera, tetapi sudah berbeda dalam beberapa hal yang lain.


150 tahun kemudian, salah seorang wakil Silat Lautan asli dari Sumatera diutus ke Malaysia untuk mengembangkan Silat Lautan asli dan mendapati kebanyakan silat2 Lautan yang sedia ada di Malaysia sudah ada perbedaan daripada yang asal. Namun baik Silat Lautan yang asal mahupun yang sudah disesuaikan, kesemuanya tetap bagus belaka. Yang asal terus kekal sebagaimana asalnya, yang disesuaikan terus kekal dengan kesesuaiannya. Begitulah tamsilannya.


Contoh aliran tiga tungku agama bagi seorang pengamal Tarekat Syaziliyah :

i) “Dari segi fikih aku jalannya Asy-Syafi’iiyyah, dari segi ‘aqidah aku jalannya Al-Asya’irah, dan dari segi tasawuf aku jalannya Al-Ghazaliyyah yang jalannya Syaziliyyah.

ii) “Aku mengikut (fiqh) Al-Hanafiyyah, (‘aqidah) Maturudiyyah, (tasawuf) Junaidiyyah jalan Syaziliyyah.”


Jika dicontohkan dengan para pengamal Silat Lautan yang berbeda-beda tadi :

i) Aku pengamal Silat Lautan aliran Silat Lautan Biru.

ii) Saya pula pengamal Silat Lautan aliran Silat Lautan Sakti Raya.

iii) Kami pula pengamal Silat Lautan aliran Silat Seri 7 Lautan.

iv) Aku pula pengamal Silat Lautan (aliran yang asal ,maka tidak perlu disebutkan lagi aliran kemudiannya).


KESIMPULANNYA


i) Imam Al-Ghazali itu ada guru-gurunya.

ii) Tarekat Syaziliyah itu dasar binaannya (lantai, tiang) memang daripada Tarekat Ghazaliyah tetapi bangunannya (reka bentuk dinding, bumbung, hiasan) ada perbedaan.


Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

31 Januari 2021

No comments: